Tag: Kementerian Pertahanan

  • ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    KEMENTERIAN Pertahanan memerlukan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang digunakan ketika operasi membantu mangsa banjir, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

    Beliau berkata, ketiadaan aset khusus bagi kerja-kerja menyelamat menyebabkan aset pertahanan sedia ada, diguna pakai ketika operasi banjir.

    Katanya, penyelenggaraan berkala perlu dilakukan, bagi memastikan semua aset ATM bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Apabila berlaku banjir berskala besar dan luar jangka seperti yang berlaku di Selangor dan Pahang baru-baru ini, aset ATM tidak mencukupi dan kita hanya guna apa yang ada.

    “ATM memerlukan bajet untuk penyelenggaraan aset yang sewajarnya bagi penugasan serta menghadapi bencana alam seterusnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Murni (PJM) Pemimpin dan ATM Bersama Rakyat di Felda Kemahang, di Tanah Merah hari ini. – BERNAMA

  • TUDM tubuh jawatankuasa siasat nahas pesawat Hawk

    TUDM tubuh jawatankuasa siasat nahas pesawat Hawk

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM malam tadi.

    Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan.

    Bagaimanapun, beliau berkata, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan.

    Ikmal Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan 15,000 kotak makanan daripada badan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia di Pangkalan Udara Subang.

    Nahas pesawat pejuang Hawk 108 pada kira-kira pukul 10.07 malam tadi mengakibatkan juruterbang TUDM Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

    Mohd Fareez sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam hantaran Facebook berkata, Ikmal Hisham telah menyempurnakan Perasmian Penyerahan 15,000 Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2021 di Pangkalan Udara TUDM, Subang.

    Dalam majlis berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Kementerian Pertahanan telah menerima sumbangan sebanyak 15,000 kotak bekalan makanan daripada pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew menerusi pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.

    Sumbangan ini merupakan sumbangan fasa ke-2 setelah fasa pertama serahan berjumlah 10,000 kotak telah disempurnakan pada 27 Ogos 2021 di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.

    Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM merupakan kesinambungan daripada Program MINDEF PRIHATIN yang merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bertujuan dalam membantu meringankan beban warga pertahanan termasuk Veteran ATM dan keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

    Kementerian Pertahanan sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM serta tanggungan.

    Program seumpama ini dilihat sebagai salah satu langkah yang signifikan oleh JHEV ATM dalam menyokong usaha kerajaan dalam membantu Veteran-veteran ATM dan balu yang terjejas.

  • Kebajikan anggota, veteran agenda utama Kementerian Pertahanan

    Kebajikan anggota, veteran agenda utama Kementerian Pertahanan

    ANTARA agenda utama yang diberi tumpuan dan penekanan oleh Kementerian Pertahanan menerusi Belanjawan 2022 serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah memperkasakan lagi usaha membela kebajikan anggota, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli keluarga mereka.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keutamaan adalah dari sudut perumahan serta perkhidmatan kesihatan.

    Menurut beliau, Kementerian Pertahanan juga akan terus meletakkan agenda memperkukuh keselamatan negara sebagai keutamaan tertinggi.

    “Di era COVID-19 ini terutamanya, fokus Kementerian Pertahanan dan ATM tidak boleh lagi hanya terarah kepada usaha menguatkan pertahanan fizikal tetapi mesti turut memperkukuhkan lagi pertahanan siber memandangkan platform maya semakin kerap digunakan khususnya dalam tempoh lebih setahun ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Hishammuddin menambah, agenda seterusnya adalah mengekalkan tahap keupayaan dan kesiagaan ATM.

    Beliau juga telah menerima perincian dan kemaskini berhubung perkara-perkara yang diperlukan oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk berkaitan aset-aset baharu.

    “Saya amat memahami keperluan berkenaan namun dalam memikirkan perancangan untuk melaksanakan perolehan aset-aset baharu ketika ini, situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran penularan pandemik COVID-19 juga harus diambil kira.

    “Saya telah bincang dan tekankan kepada TDM, TLDM dan TUDM, apa yang paling penting ketika ini ialah tumpuan mesti terus diberikan terhadap usaha menyelenggara aset-aset sedia ada,” jelasnya.

    Hishammuddin turut berkongsi perkembangan beberapa insiatif sedia ada di Kementerian Pertahanan:

    i. Berkaitan Teras Perumahan: Daripada 30,033 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang dijangka siap dibina pada tahun 2030, 5769 unit telah siap dan 1509 unit sedang dibina. Selain itu, 3,500 unit rumah SASaR sedang dibina di Kem Sungai Besi, manakala 7,343 unit akan dibina di Kem Genting Klang dan Kem Wardieburn.

    ii. Berkaitan Teras Kebajikan: Kementerian Pertahanan merancang menaiktaraf lima Hospital Angkatan Tentera dan membina lima buah poliklinik baharu. Setakat ini, poliklinik di Kem Penrissen telah 99 peratus siap, 3 poliklinik sedang dibina dan 1 lagi bakal dibina.

    iii. Berkaitan Teras Keselamatan: Selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi yang mahu sebarang usaha mencabar kedaulatan negara ditangani sebaiknya, Kementerian Pertahanantelah bina 21 Pos Kawalan baharu iaitu 2 di Semenanjung, 5 di Sabah dan 14 di Sarawak. Usaha ini penting bagi memastikan usaha ATM dalam mengawal sempadan negara terus dapat diperkasakan.

    Sementara itu, beliau berkata, sejajar dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saabri Yaakob supaya setiap kementerian menunjukkan hasil dan memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 100 hari pertama, Task Force Kementerian Pertahanan berkaitan usaha memenuhi KPI berkenaan akan fokus terhadap pelaksanaan inisiatif terutamanya yang berimpak tinggi dan memberi manfaat secara langsung kepada keselamatan negara serta kebajikan warga ATM, Kementerian Pertahanandan rakyat secara keseluruhan.

    “Ia antara lain termasuklah melaksanakan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) yang dijangka pada hujung September; melaksanakan perolehan pesawat Maritime Surveillance Aircraft yang dijangka pada hujung November; menyediakan lebih 2,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu bagi manfaat anggota ATM pada hujung Oktober; serta membaik pulih lebih 100 unit rumah milik veteran ATM atau jika perlu ia akan dibina baharu.

    “Selain itu, Operasi Bentengyang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu juga akan terus diperkukuh pelaksanaannya bagi memastikan operasi ini yang melibatkan kerjasama bersepadu antara 19 agensi termasuk ATM terus berupaya mencapai matlamatnya iaitu mengawal sempadan negara daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta mengekang penularan wabak COVID-19 yang mungkin dibawa oleh mereka,” katanya.

  • JK bertindak Kementerian Pertahanan perangi COVID-19

    JK bertindak Kementerian Pertahanan perangi COVID-19

    KEMENTERIAN Pertahanan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi menyelaraskan usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kementerian itu dalam mengurus agenda nasional memerangi COVID-19.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jawatankuasa itu akan diketuai timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

    Menurut beliau, langkah itu merupakan antara inisiatif dalam merealisasikan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kementerian Pertahanan dan ketiga-tiga cabang ATM perlu melaporkan tindakan yang sudah dilaksanakan selama lebih setahun ini serta mencadangkan kepada saya apa lagi tindakan susulan yang boleh ditambah baik.

    “Ini mengambil kira Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF), selain membantu usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media hari ini.

    Yang turut hadir, Ikmal Hisham; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

    Hishammuddin menambah, usaha berkenaan penting demi melindungi rakyat serta merancang bagaimana Kementerian Pertahanan dan ATM boleh membantu negara secara lebih menyeluruh dalam memerangi pandemik COVID-19.

    Beliau memberitahu, kelebihan sedia ada Kementerian Pertahanan dan ATM, termasuk infrastruktur di seluruh negara seperti hospital angkatan tentera, hospital medan serta sekolah dalam kem boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi memenuhi keperluan agenda nasional.

    “Saya, Timbalan Menteri, kepemimpinan Kementerian Pertahanan dan ATM akan segera turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada kakitangan serta anggota terbabit keadaan operasi semasa.

    “Ini kerana saya mahukan usaha yang kita lakukan ini adalah berdasarkan suara kolektif dan konsensus bersama,” jelasnya.

    Hishammuddin berkata, aspek pemantauan dan penguatkuasaan adalah amat penting mengambil kira kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang digubal dan diumumkan sebelum ini terutama kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap.

    “Dalam konteks ini, saya akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Penguatkuasaan, khususnya dalam mengatur gerak semua agensi penguatkuasaan dan pemantauan secara lebih menyeluruh supaya usaha memperkemas dan memperkasa aspek ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

    “Selain itu, Kemenyerian Pertahanan dan ATM akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan rakan negara sekutu sedia ada serta meneruskan hubungan baik bersama negara lain yang saya usahakan sewaktu di Wisma Putra,” katanya.

    Menurut beliau, pengkhususan yang akan diberikan bertumpu kepada aspek diplomasi ketenteraan, aspek keselamatan antarabangsa khususnya dalam memerangi pengganas, pengurusan pandemik COVID-19, sistem kesihatan serta ekonomi dan kesejahteraan.

    “Sebagai contoh, semalam saya mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Kanan Koordinasi Untuk Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean bagi membincangkan perkara-perkara yang saya nyatakan tadi,” ujarnya.

  • Kementerian Pertahanan tingkat sistem keselamatan siber

    Kementerian Pertahanan tingkat sistem keselamatan siber

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 3,647 laporan insiden keselamatan siber direkodkan Kementerian Pertahanan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

    Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abd. Aziz berkata, laporan itu melibatkan antaranya penipuan dalam talian, pencerobohan dan kod jahat, dengan pihak kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima kesannya.

    “Oleh itu, kami telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan memuat naik bahan yang telah diluluskan (di media sosial milik Kementerian Pertahanan),” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemerkasaan Media Sosial Rasmi Kementerian Pertahanan yang diadakan secara maya, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan.

    Muez berkata, seperti sedia maklum, Kementerian Pertahanan dan ATM mempunyai isu-isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya, sehubungan itu pihak berkenaan digalakkan agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat.

    “Adalah penting setiap maklumat yang dimuat naik perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan ia tepat, sahih dan benar,” katanya.

    “Trend perkongsian dan penyebaran maklumat kini semakin meluas membuatkan lebih mudah terdedah kepada isu-isu keselamatan, ketirisan maklumat, perkongsian berita palsu serta penyebaran sumber yang kurang tepat dan sahih,” katanya.