Tag: Kementerian Kerja Raya

  • Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

    Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

    KEMENTERIAN Kerja Raya mengumumkan penurunan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam ini.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

    Menurutnya, penurunan selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu itu juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan yang diputuskan kerajaan.

    “Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya BESRAYA.

    “Manakala kadar tol Lebuhraya LEKAS bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan.

    “Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA, dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.

    “Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Alexander menjelaskan, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya berkenaan, berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi, dan disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

    “Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuh raya, yang mana peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia,” katanya.

    Pada masa sama, Alexander memaklumkan kerajaan sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara.

    Katanya, langkah itu dilaksanakan tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi.

  • Pembaikan infrastruktur rosak akibat banjir telan kos RM1 bilion

    Pembaikan infrastruktur rosak akibat banjir telan kos RM1 bilion

    KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) hari ini memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka menelan belanja RM1 bilion.

    Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman berkata, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

    Beliau berkata, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerja-kerja pembaikan infrastruktur tidak boleh ditangguh, dan perlu dilaksanakan segera.

    “Fokus utama adalah untuk memastikan laluan yang terjejas dapat dilalui dan kemudiannya memastikan cerun-cerun serta infrastruktur berkenaan selamat.” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, Wan Uzir juga memaklumkan bahawa KKR sedang mengambil langlah-langkah untuk menghadapi kemungkinan berlakunya ‘gelombang kedua’ banjir.

    “Yang kami khuatir adalah berlakunya gelombang kedua. Banjir baru-baru ini telah mengakibatkan kerosakan dan gelombang kedua boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan berlaku. Antara contoh langkah berjaga-jaga yang telah diambil, KKR sedang berkerjasama dengan Jabatan Hutan untuk memastikan hutan dan cerun tidak rosak,” katanya.

    “Kami telah mengenal pasti cerun yang ‘cedera’ dan telah memasang perlindungan untuk mengelakkan berlakunya kejadian cerun runtuh” katanya.

    Wan Uzir bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman hari ini hadir melakukan tinjauan kerja pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) di Kampung Tanjung Pauh, Hulu Langat dekat sini.

    Jambatan itu akan menghubungkan kembali sejumlah 12 keluarga yang ‘terperangkap’ apabila jambatan kekal merentasi Sungai Lui ke kampung itu runtuh pada 18 Dis lepas. – BERNAMA

  • Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID

    Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID

    KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) tidak sepatutnya memaksa pengguna lebuh raya bertol menggunakan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).

    Ketua Aktivus Persatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Hussain berkata, penggunaan kad TnGo dan peranti Smart Tag sepatutnya dikekalkan.

    Menurut beliau, para pengguna seharusnya diberi peluang memilih perkhidmatan yang ingin mereka gunakan.

    “Apakah KKR akan membayar semula kerugian yang bakal dihadapi oleh puluhan juta pengguna yang selama ini telah mengeluarkan wang mereka untuk membeli kad TnGo dan mesin Smart Tag?

    “Adakah KKR tidak mempedulikan kerugian yang bakal rakyat hadapi kelak?” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

    Kamarudin berkata, KKR perlu memberi fokus kepada masalah yang lebih penting daripada mengunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.

    Beliau menambah, kebanyakan lebuh raya yang ketika ini masih mengekalkan dua lorong yang perlu ditingkatkan kepada empat lorong atau setidak-tidaknya tiga lorong.

    “Jumlah tol yang ketika ini tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan perlu ditambah agar masalah tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

    Katanya, KKR juga perlu melihat kesesakan yang sering berlaku di hentian rehat dan rawat (RnR) khususnya untuk kenderaan berat juga perlu ditangani, bukannya membiarkan ia berlarutan.

    Semalam, KKR memaklumkan transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan depan.

    Namun, kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.