Tag: kemelut politik Sabah

  • Bersatu teliti terperinci kemelut politik Sabah sebelum keluar kenyataan

    Bersatu teliti terperinci kemelut politik Sabah sebelum keluar kenyataan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung kemelut politik yang berlaku di Sabah ketika ini.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ketika ini, barisan pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu sedang meneliti dengan terperinci berhubung kemelut di negeri tersebut.

    Menurut beliau, hasil penelitian itu kelak akan dikumpulkan dan disuarakan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi mengelakkan percanggahan kenyataan.

    Jelasnya, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung Bersatu juga sedang menguruskan situasi di Sabah termasuk mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli dan barisan pemimpin Bersatu Sabah hujung minggu lalu.

    “Semua input daripada perjumpaan itu akan dikumpulkan sebelum disuarakan oleh mereka kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    “Kita akan keluarkan kenyataan yang lebih tepat bagi mengelakkan sebarang percanggahan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Kemelut politik Sabah bermula apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

    Situasi itu berlanjutan apabila Hajiji mendakwa masih mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala Bung Moktar meneruskan usahanya untuk menumbangkan kerajaan GRS.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, kemelut politik di Sabah berlaku disebabkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang disifatkan sebagai ‘pengganggu’.

    “Saya rasa ini adalah realiti sikap UMNO yang sebenarnya. Kita kena ingat masa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, pihak yang membuat kacau adalah UMNO, daripada sebelum itu lagi apabila kalah, yang buat kacau itu UMNO juga.

    “Jadi (kini) yang menarik sokongan ini ialah UMNO. Inilah realiti UMNO yang tidak menghormati perjanjian yang rakus dalam merebut kuasa dan kita harap penyelesaian terbaik yang akan dicapai,” katanya.

  • Kedudukan sebahagian ADUN BN Sabah berubah, Bung Moktar di blok pembangkang

    Kedudukan sebahagian ADUN BN Sabah berubah, Bung Moktar di blok pembangkang

    KEDUDUKAN sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) telah berubah ke blok pembangkang dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

    Perkembangan itu susulan kemelut politik yang melanda Sabah apabila Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Pada masa sama, kesemua kerusi di blok pembangkang termasuk ADUN dari Parti Warisan (Warisan) ketika ini juga kosong dan ADUN-ADUN tidak hadir atas alasan tertentu namun menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan dalam sidang DUN Khas itu.

    Lapor Sinar Harian, antara tanda nama yang diletakkan di kerusi blok pembangkang ialah ADUN Lamag, Bung Moktar; ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan; ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin dan ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat.

    Lima ADUN BN yang menyokong kerajaan di bawah pimpinan Hajiji difahamkan kekal berada di blok kerajaan dan tiga ADUN berkenaan dilihat hadir pada sidang DUN Khas ini iaitu, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

    Sementara itu, Dr Yusof dalam sidang DUN itu menyatakan kekesalan beliau apabila ADUN di blok pembangkang tiada seorang pun yang hadir.

    “Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyarankan, ini adalah agenda penting untuk negeri Sabah dan mesti diluluskan dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah.

    “Tapi saya kecewa di sebelah sana ‘sebiji’ (seorang) pun tidak ada, sepatutnya ini menjadi keutamaan, saya minta maaflah saya ini kawan juga saya bukan mahu mengungkit, tetapi sepatutnya kita bersama-sama memperjuangkan kerana ia kepentingan rakyat Sabah, saya tidak ada (kepentingan) ‘personal’ Datuk Speaker,” katanya.

    Sebelum itu, Bung Moktar dalam kenyataannya awal pagi Selasa memaklumkan sebahagian besar ADUN BN-UMNO Sabah tidak dapat hadir pada persidangan itu kerana perlu berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

    Namun beliau bersama ADUN-ADUN UMNO Sabah menyokong penuh RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN Sabah Yang Ke-16.

    Sementara itu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa beliau dan ADUN parti itu tidak hadir pada sidang DUN berkenaan namun menyokong penuh RUU terbabit.

    Katanya, ketidakhadiran itu bagi memastikan Jawatankuasa Khas ditubuhkan segera untuk menentukan kepimpinan kerajaan Perpaduan seperti yang dibincangkan dengan Anwar dalam pertemuannya pada Isnin.

    Kemelut politik Sabah bermula apabila Bung Moktar mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Hajiji dan menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan pemimpin parti di Sabah serta mencadangkan kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

  • Tawaran jawatan kabinet Sabah cetus kebimbangan kesan di Putrajaya – Sumber

    Tawaran jawatan kabinet Sabah cetus kebimbangan kesan di Putrajaya – Sumber

    KETIKA kemelut politik Sabah semakin sengit, terdapat kebimbangan bahawa Putrajaya mungkin terjejas dengan apa yang terjadi di Negeri Di Bawah Bayu itu.

    Ketika Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor cuba membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk kekal memerintah, sumber berkata Warisan juga telah membuat tawaran jawatan dalam kabinet negeri kepada Pakatan Harapan untuk mendapatkan kuasa.

    Bagaimanapun, dua sumber PH yang mengetahui perkara ini berkata gabungan itu tidak berhasrat untuk menerima sebarang tawaran daripada Warisan kerana kebimbangan tentang bagaimana ini akan mencerminkan kerajaan persekutuan.

    “Sudah tentu (Presiden Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah kawan kami juga, jadi dia berusaha keras untuk melobi kami.

    “Tetapi ini bukan soal siapa yang anda mahu cadangkan untuk menjadi ketua menteri baru. Ia adalah isu kenapa kita perlu melakukan ini sekarang.

    “Selepas kita membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, dan kita memberitahu semua orang kita mahu bekerjasama untuk memelihara kestabilan negara tetapi kemudian anda mahu melakukan perkara ini?

    “Ia sesuatu yang tidak mencerminkan naratif kami. Bagaimana kita boleh bersetuju dengan langkah sedemikian?

    “Sebab itu, kawan kami Warisan, tidak kira apa yang mereka tawarkan kepada kami (kami tidak akan terima),” kata salah seorang sumber kepada Malaysiakini hari ini.

    Sambil menyifatkan situasi semasa sebagai perselisihan dalaman keluarga, sumber itu menegaskan semua pihak yang terlibat dalam krisis politik Sabah adalah rakan kongsi di peringkat persekutuan.

    Bukan itu sahaja, sumber itu menegaskan bahawa PH secara konsisten mengkritik Langkah Sheraton yang menyaksikan pentadbiran ketika itu runtuh selepas Bersatu dan beberapa ahli parlimen PKR menarik balik sokongan mereka secara beramai-ramai.

    “Kami pernah mengkritik Langkahg Sheraton dan sekarang kami nak melakukan ini pula? Tak boleh lah,” kata sumber itu.

    Sumber ini berkata PH lebih suka mengekalkan Hajiji sebagai ketua menteri Sabah sehingga akhir penggalnya.

    Sementara itu, sumber kedua PH mendakwa Warisan secara khusus menawarkan empat jawatan menteri, dua timbalan menteri dan satu timbalan ketua menteri kepada gabungan itu, yang menolak tawaran itu.

    Sumber ini memberitahu Malaysiakini salah satu sebab mengapa PH tidak berminat dengan tawaran Warisan ialah terdapat kebimbangan komposisi kerajaan persekutuan mungkin terjejas.

    Untuk rekod, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Hajiji mempunyai enam ahli parlimen manakala Warisan mempunyai tiga ahli parlimen di Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr ketika dihubungi Malaysiakini berkata spekulasi tawaran jawatan itu “tidak betul” dan “tidak dibincangkan sama sekali.”

    Sumber kedua juga mendakwa Hajiji telah menawarkan dua jawatan menteri kepada PH satu kepada ketua DAP Sabah Frankie Poon dan satu kepada Pengerusi PKR Sabah Christina Liew.

    Poon memberitahu Malaysiakini dia tidak tahu apa-apa tentang perkara ini manakala percubaan untuk menghubungi Liew masih belum berjaya.

    Sumber lain tidak mengesahkan atau menafikan perincian ini tetapi hanya berkata adalah “logik” untuk memberikan satu jawatan kepada DAP dan satu kepada PKR sebaik sahaja PH dimasukkan ke dalam kabinet Sabah yang baru.

    Terdapat satu lagi pilihan untuk menyelesaikan kemelut politik di Sabah sekarang, yang akan mencetuskan pilihan raya negeri.

    Rakyat tak minat undi lagi

    Tetapi kedua-dua sumber berkata pilihan raya negeri di Sabah adalah sesuatu yang PH ingin elakkan sekarang.

    “Kalau kata kita biarkan (DUN) Sabah bubar, orang akan kata, kenapa tidak kita biarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menjimatkan wang, jadi kita buat pilihan raya bersama enam negeri lain pada masa yang sama juga.

    “(Maksudnya) kita minta diadakan pilihan raya awal. Pada pandangan peribadi saya, kita sepatutnya mengadakan pilihan raya negeri setengah tahun selepas PRU,” kata salah seorang sumber.

    Enam negeri yang dirujuk sumber itu ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang tidak menyertai pilihan raya umum dan akan menyaksikan tempoh kerajaan negeri mereka sekarang tamat pertengahan tahun ini.

    PH juga sebelum ini menyatakan mahu menunggu sehingga akhir penggal sebelum bertanding di negeri yang mereka kuasai iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Sumber itu berkata majoriti rakyat juga tidak berminat untuk mengadakan pengundian lain sejurus selepas pilihan raya umum dan di tengah-tengah perayaan Tahun Baru Cina akan datang.

    “Sentimen orang ramai di lapangan tidak mengalu-alukan langkah ini,” kata sumber itu.

    Sementara itu, sumber lain berkata keengganan PH untuk mencetuskan pilihan raya negeri di Sabah sekarang adalah kerajaan pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih terlalu baru.

    “Mereka tidak mempunyai keyakinan bahawa gabungan Warisan dan PH boleh menang dalam pilihan raya negeri,” kata sumber itu.

    Difahamkan, kedua-dua Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi akan tiba di Kota Kinabalu malam ini dan satu penyelesaian dijangka dapat dicapai esok.

    Kemelut politik Sabah bermula selepas BN negeri – yang mempunyai 17 kerusi – menarik balik sokongannya kepada Hajiji, seperti yang diumumkan oleh Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin pada 6 Jan.

    Bagaimanapun, lima Adun BN tidak mengikuti langkah Bung dan terus berikrar menyokong Hajiji sebagai ketua menteri.

    Hajiji sejak itu mendakwa mendapat sokongan 44 Adun Sabah, antaranya daripada GRS, PH dan BN, dan oleh itu kerajaan Sabah masih utuh dan dia masih lagi ketua menteri.