Tag: Kemelut politik

  • Krisis politik Sabah: Bung Moktar dakwa ‘game still on’

    Krisis politik Sabah: Bung Moktar dakwa ‘game still on’

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan kemelut politik susulan langkah digerakkan beliau untuk menarik balik sokongan kepada pentadbiran pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, belum bernoktah.

    “Game still on (tindakan masih berterusan),” katanya mengulas dakwaan Hajiji mempunyai sokongan majoriti membabitkan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kekal memimpin sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

    Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun berkata, keputusan berhubung kemelut politik itu dijangka dicapai, malam esok.

    Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertemu semua pemimpin parti politik di negeri ini, esok.

    “Kita menunggu Perdana Menteri yang akan datang, esok. Beliau akan berjumpa kita, Parti Warisan (WARISAN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS)… barulah kita akan bercakap mengenai itu.

    “Keputusan akan dibuat pada malam esok,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ditanya mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah susulan isu berkenaan pula, Bung Moktar enggan mengulas lanjut.

    “Saya tidak tahu… yang saya tahu, kerajaan tidak ada (kini) sebab kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama.

    “Jadi apabila kita tarik diri, bukan berhenti, bermakna Ketua Menteri pun tidak ada,” dakwanya.

    Berhubung perjumpaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, semalam, Bung Moktar berkata, mereka membincangkan hala tuju parti dan isu pergolakan politik di Sabah.

  • Kemelut politik Melaka tidak patut berlaku, namun PN tetap bersedia – Azmin

    Kemelut politik Melaka tidak patut berlaku, namun PN tetap bersedia – Azmin

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kesal dan menyifatkan kemelut yang melanda Melaka, sehingga mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu, tidak sepatutnya berlaku.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, pergolakan tersebut tidak sepatutnya terjadi pada saat kerajaan sedang berusaha membuka kembali sempadan negeri dalam keadaan yang selamat dan memulihkan sektor pelancongan.

    Bagaimanapun katanya, sebagai kerajaan bertanggungjawab, Kabinet akan membuat keputusan berlandaskan Perlembagaan Negeri, Persekutuan, dan mengikut lunas perundangan yang sesuai.

    “Walaupun dah ada tanda positif yang semakin baik, tetapi kita masih lagi bergelut dengan masalah ini. Kita tak mahu ada sudden spike kerana wujudnya pilihan raya negeri.

    “Sebab itu kita melihat, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat masih lagi berhadapan dengan pandemik, dan kita harus ingat Melaka ini negeri pelancongan.

    “Kita baru saja nak buka sempadan untuk pulihkan sektor pelancongan, dan saya bimbang perkara ini akan mengganggu (usaha pembukaan sempadan dengan selamat),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Iltizam Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali dan menyampaikan bantuan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada penduduk, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, Bersatu dan PN akan membuat persediaan seandainya pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan.

    “Sekiranya keputusannya untuk mengadakan pilihan raya negeri, sebagai sebuah parti politik, sudah tentu kita harus bersedia, dan kita mahu jalinan kerjasama yang wujud selama hampir dua tahun ini dipertahankan.

    “Kerana rakyat ingin lihat perpaduan, rakyat ingin lihat permuafakatan yang erat. Dan hanya dengan perpaduan dan kerjasama erat ini, kita dapat mengatasi masalah pandemik dan juga pemulihan ekonomi,” katanya.