Tag: kemasukan

  • 2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

    Bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata dengan kemasukan Xavier yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bebas dan Santhara dari Parti Bersatu, PBM kini mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang; Steven Choong (Tebrau); Larry Sng (Julau) dan Mohammadin Ketapi (Lahad Datu).

    “Dua orang lagi yang berpotensi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita sedang meneliti sedikit perkara dan akan membuat pengumuman,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di sini hari ini. 

    Beliau berkata susulan kemasukan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke dalam PBM, secara automatiknya beliau telah keluar dari Parti Bersatu. 

    Mengenai permohonan PBM yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata perbincangan masih berjalan dan maklum balas yang diterima adalah positif.  – BERNAMA

  • MKN longgar SOP pelawat ke Labuan mulai 24 Sept

    MKN longgar SOP pelawat ke Labuan mulai 24 Sept

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih longgar bagi memasuki Labuan mulai 24 Sept ini.

    Pengarah MKN Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud berkata menerusi SOP baharu itu, pengunjung ke pulau ini tidak lagi wajib menjalani kuarantin dan hanya perlu menunjukkan keputusan RT-PCR atau RTK-Antigen yang negatif, lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak bergejala ketika tiba di Labuan.

    Beliau berkata kelonggaran tersebut adalah selari dengan peralihan Wilayah Persekutuan itu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas.

    “Kita sedang menumpukan pada usaha menyeimbangkan ekonomi pulau bebas cukai ini dengan kesejahteraan dan kesihatan penduduk, oleh itu, kami, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan tekad untuk melindungi Labuan daripada kembali berdepan waktu yang sukar, tanpa menjejaskan kestabilan ekonominya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beliau berkata pelawat mestilah menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum berkunjung ke pulau itu atau melakukan ujian air liur RTK-Antigen (yang diperakui pengamal perubatan berdaftar atau petugas kesihatan Kementerian Kesihatan), 48 jam sebelum tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Labuan atau terminal feri.

    Sementara itu, bagi mereka yang belum melengkapkan vaksin wajib menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari kelapan, kata Mohd Hafiez

    “Pelawat yang bergejala ketika tiba di pintu masuk di sini atau keputusan ujian COVID-19 mereka didapati tidak sah, dikehendaki menjalani kuarantin selama lima hari dan melakukan ujian RTK-Antigen pada hari keempat, manakala 10 hari kuarantin bagi individu yang belum lengkap vaksinasi diikuti saringan RTK-Antigen pada hari kelapan,” katanya.

    Menurut Mohd Hafiez syarat-syarat kemasukan bagi pengunjung dari luar negara pula adalah berbeza, iaitu tempoh kuarantin 14 hingga 21 hari berdasarkan penilaian risiko COVID-19 di pintu masuk dan mereka yang telah menerima vaksin penuh boleh menjalani kuarantin di rumah.

    Beliau berkata pengangkut harian yang membawa barangan keperluan dari Sabah ke Labuan haruslah memiliki kad kesihatan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Labuan, dengan syarat mereka telah lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR atau RT-Antigen yang dilakukan tiga hari sebelum memasuki pulau ini.

    “Kad kesihatan mestilah diperbaharui setiap minggu dan mereka tidak menunjukkan simptom ketika tiba di terminal feri Labuan, kakitangan kesihatan akan menjalankan saringan COVID-19 secara rawak ke atas pengangkut bagi tujuan pemantauan,” katanya.- BERNAMA

  • Kemasukan pesakit kategori 4,5 Covid-19 ke ICU hospital Lembah Klang berkurangan

    Kemasukan pesakit kategori 4,5 Covid-19 ke ICU hospital Lembah Klang berkurangan

    KEMASUKAN pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital Lembah Klang pada minggu ke-34 penularan wabak itu di negara ini menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan Facebook beliau berkata, di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 bagi kategori 4 dan 5 semakin berkurangan selepas mencatatkan peningkatan ketara pada minggu ke-30 penularan wabak.

    “Alhamdulillah, kadar vaksinasi COVID-19 yang kian meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif.

    “Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19,” katanya hari ini.

    Mengikut graf yang dikongsikan Dr Hisham, kemuncak kemasukan pesakit Covid-19 ke Hospital Sungai Buloh bagi kategori 4 dan 5 berlaku pada minggu ke-30 penularan wabak dan pada masa sama, Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang dilancarkan.

    Pada ketika itu, kadar kemasukan pesakit berusia 40-59 tahun adalah sebanyak 285 orang, 20-39 tahun (182 orang) dan 60-79 tahun (109 orang).

    Bagaimanapun pada minggu ke-34, jumlah kemasukan pesakit bagi kategori 4 dan 5 menunjukkan penurunan ketara apabila kemasukan pesakit berusia 40-59 tahun adalah sebanyak 117 orang, 20-39 tahun (57 orang) dan 60-79 tahun (81 orang).

    Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, mengambil vaksin Covid-19, memakai dua pelitup muka dan pelindung muka, menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan kerap mencuci tangan adalah usaha dan ikhtiar rakyat Malaysia.

    Graf kemasukan pesakit kategori 4 dan 5 ke Hospital Sungai Buloh.

    “Ini dilakukan untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus Covid-19. Lindung diri, lindung semua,” katanya.

  • Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke HTAR menurun lebih 50 peratus

    Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke HTAR menurun lebih 50 peratus

    JUMLAH kemasukan harian pesakit COVID-19 untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lepas.

    Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian bagi pesakit COVID-19 untuk menerima rawatan, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

    “Pesakit COVID-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat pukul 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. ‘Gelombang’ kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.

    “Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit kategori tiga ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau mengulas laporan media berhubung keadaan semasa di HTAR berikutan berlaku trend penurunan kemasukan pesakit COVID-19 sejak sebulan lepas dan paling ketara di Hospital Kuala Lumpur sejak seminggu lepas.

    Dr Zulkarnain menjelaskan penurunan kes kemasukan pesakit itu membuktikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula membuahkan hasil dan keadaan di hospital berkenaan juga dalam situasi terkawal.

    Katanya sehingga pukul 1 tengah hari semalam, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit COVID-19 adalah sekitar 92 peratus.- BERNAMA