Tag: Kemalangan maut

  • Pemandu lori rentung pesan jangan ratapi pemergian

    Pemandu lori rentung pesan jangan ratapi pemergian

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERUBAHAN ketara Muhammad Mustaqim Ismadi ke arah yang lebih baik disedari ahli keluarganya sejak akhir-akhir ini sebelum pemandu lori syarikat logistik dan penghantaran bungkusan itu maut akibat kemalangan di Jalan Tasik Utara-Larkin, kelmarin.

    Ibunya, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata, perubahan anak sulungnya itu bukan hanya disedari ahli keluarga tetapi penduduk setempat dan rakan-rakan di tempat kerjanya.

    Malah, arwah juga pernah berpesan kepada ibunya agar jangan menangisi pemergian orang, tetapi sebaliknya mendoakan mereka setelah kehilangan ibu saudaranya akibat Covid-19, empat bulan lalu.

    “Kakak saya meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum ini, ketika saya sedang bersedih, Mustaqim nasihatkan agar jangan menangis sebaliknya sedekah doa.

    “Kerana katanya itu adalah perkara yang lebih baik untuk dilakukan berbanding hanya meratapi pemergian orang tersayang,” katanya di sini hari ini.

    Muhammad Mustaqim

    Selasa lalu, lori dipandu Muhammad Mustaqim terbabas melanggar pokok sebelum terbakar kerana dipercayai mengelak kon yang berada di atas jalan.

    Akibat kemalangan itu, mangsa yang mula berkhidmat dengan syarikat tersebut pada April lalu tersepit dan disahkan rentung setelah kenderaan itu terbakar.

    Terdahulu, keluarga mangsa menerima skim Faedah Orang Tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan pencen bulanan RM1,333.50.

    Faedah disampaikan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang dan turut dihadiri Ahli Majlis Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

    Dalam pada itu, Maglita mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang bertindak pantas mengeluarkan anaknya daripada kebakaran tersebut.

    “Terima kasih kepada anggota bomba kerana tindakan pantas mereka memadamkan api, sekurang-kurangnya mayat tidak terlalu teruk terbakar,” ujarnya.

  • Dua warga asing maut van rempuh belakang treler

    Dua warga asing maut van rempuh belakang treler

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki warganegara asing maut selepas van dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 331.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Tapah, hari ini.

    Dalam nahas pukul 12.54 tengah hari itu, penumpang belakang warga Filipina, Relano Gemar, 35, maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan, Collins Prestly Primus, 29, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati van yang dinaiki empat lelaki itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

    “Treler itu pula dalam perjalanan dari Setia Alam menuju ke Ipoh berada di laluan kiri dan hendak berhenti di lorong kecemasan.

    “Apabila sampai di tempat kejadian van yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler terbabit,” katanya.

    Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang berusia 25 tahun cedera ringan, manakala pemandu van berusia 31 tahun dan pemandu treler berusia 43 tahun tidak cedera.

    “Pemandu van ditahan untuk menjalani ujian dadah dan alkohol. Kenderaan terlibat kemudiannya dibawa untuk pemeriksaan pihak Puspakom.

    “Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lelaki dipercayai mabuk rempuh SJR

    Lelaki dipercayai mabuk rempuh SJR

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima ditahan polis selepas merempuh beberapa peralatan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar, Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, jurutera berusia 41 tahun berkenaan didapati memandu dalam keadaan mabuk.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, ketika kejadian terdapat enam anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas di SJR berkenaan.

    Katanya, anggota Rela yang melihat Toyota Estima berwarna perak itu berada di lorong kanan sebelum secara tiba-tiba membelok ke lorong kiri sempat menjerit sebelum anggota polis mengelak ke bahu jalan.

    “Kenderaan itu bagaimanapun terus merempuh beberapa kon, lampu polis, papan tanda pemeriksaan polis dan payung sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Chong Chern berkata, polis kemudiannya berjaya menahan suspek kira-kira 200 meter selepas melarikan diri dan mendapati nafas lelaki itu berbau alkohol serta dipercayai mabuk.

    Ujar beliau, sisatan lanjut mendapati lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perdana, Simpang Ampat dari tempat kerja di Bukit Mertajam.

    “Dia juga mengaku mengambil minuman keras bersama pelanggan di syarikatnya pada pukul 7 malam hingga 8 malam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967,” katanya.

  • Abang maut, adik parah motosikal bertembung lori

    Abang maut, adik parah motosikal bertembung lori

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG pekerja buruh binaan maut, manakala adiknya pula cedera parah apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori sebelum diseret sejauh 10 meter dalam kejadian di Kilometer (KM) 139 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, petang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 3.05 petang itu, mangsa, T. Vellasamygaenesan, 29, beralamat dari Taman Sri Layang, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, T. Mathanaruban, 27 yang membonceng motosikal itu cedera parah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar, kejadian tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori jenis Hino.

    Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun itu dalam perjalanan dari kilang papan Batu 5 menghala ke kedai di kawasan perindustrian di Mentakab.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu lori tersebut ternampak motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan memasuki ke laluannya.

    “Pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri, namun disebabkan jarak terlalu hampir, kedua-dua kenderaan berkenaan akhirnya bertembung,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Roslee, ekoran pertembungan itu, mangsa bersama motosikalnya diseret dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya patah kaki kiri, pemandu lori pula tidak cedera.

    Sementara itu Roslee berkata, keadaan motosikal mangsa remuk, bumper bahagian kiri dan cermin hadapan pecah.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 dan adiknya juga dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” jelas beliau.

    Katanya, polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan manakala kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Suami maut, isteri cedera kereta langgar tiang elektrik

    Suami maut, isteri cedera kereta langgar tiang elektrik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik berhampiran kedai Mr DIY Rengit, Rengit, Batu Pahat, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Abd. Manan berkata, kemalangan melibatkan kereta dipandu Nuh Hatabik Selamet Ansori, 42, dan isterinya, Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, duduk di bahagian penumpang hadapan.

    Pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan kereta Perodua Kancil tersebut pada pukul 9.27 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Urvan dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Semasa membuat pemeriksaan mendapati pemandu tidak sedarkan diri manakala penumpang hadapan cedera pada bahagian muka.

    “Mangsa kemalangan melibatkan Nuh Hatabik Selamet Ansori, 42, yang memandi kereta itu dan Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, yang duduk di bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir membuat pemeriksaan terhadap pemandu kereta itu mendapatinya sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans untuk menerima rawatan lanjut, operasi tamat pada pukul 12 tengah hari.