Tag: keluarga

  • LHDN beku akaun bank Hamzah, keluarga

    LHDN beku akaun bank Hamzah, keluarga

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaporkan mengambil tindakan membekukan akaun bank milik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Tindakan tersebut turut dikenakan terhadap keluarga Ahli Parlimen Larut itu.

    Sumber yang tahu berkenaan perkara itu memaklumkan, akaun beliau dibekukan bermula semalam.

    Tindakan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan berterusan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik berkenaan.

    Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan maklum balasnya berkenaan perkara ini.

    Terdahulu hari ini, The Star memetik sumber yang tidak didedahkan berkata pembekuan akaun tersebut berlaku semalam, namun laporan itu tidak menyatakan nama ahli politik berkenaan secara khusus.

    LHDN enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menjelaskan hanya pihak yang terlibat boleh mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

    Pun begitu beberapa “sumber yang rapat dengan pemimpin” terbabit memberitahu The Star tindakan yang diambil ke atas tokoh politik pembangkang berkenaan memang benar.

    “Ya, ia berlaku tetapi dia (ahli politik berkenaan) tidak terganggu dengan langkah tersebut.

    “Saya pasti dia ada alternatif lain, sebab itu dia tidak bimbang mengenai pembekukan akaun tersebut,” dakwa sumber itu.

    Sementara itu, Sinar Harian memetik sumber menyatakan ahli politik terbabit ialah Hamzah.

    “Bukan sesuatu yang mengejutkan dan memang Hamzah menjadi sasaran politik,” kata sumber tersebut.

    Pada Jun lalu Malaysiakini melaporkan pegawai LHDN menyerbu kediaman Hamzah di Kuala Lumpur dan sejumlah fail serta dokumen berkaitan akaun dan pemilikan asetnya dikatakan disita.

    Awal bulan ini, Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen menghantar surat tuntutan kepada kerajaan dan Tan Sri Azam Baki dengan menuduh mereka menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas jenayah yang tidak dilakukan.

  • Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    PENDEKATAN baharu termasuk cadangan mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat ASEAN, bagi membendung sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkan beliau untuk melihat isu tersebut dan kerajaan yang memandang serius mengenainya akan mengambil tindakan tertentu, bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diselamatkan.

    “Isu ini memerlukan kerjasama mendalam dengan semua pihak dan ia akan diselesaikan secara lebih holistik esok (dalam mesyurat Kabinet),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan keluarga mangsa penipuan kerja, serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

    Antara NGO yang hadir adalah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang diwakili Setiausaha MHO Datuk Hishamuddin Hashim dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) diwakili presidennya Tan Sri Musa Hassan.

    Semalam, sekumpulan NGO menghantar memorandum kepada perdana menteri, bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

    Setakat semalam, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

    Ditanya adakah kerajaan akan menyekat pergerakan rakyat Malaysia bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa sindiket, Abdul Latiff berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat pergerakan orang ramai.

    “Kita tidak mempunyai punca kuasa untuk sekat rakyat Malaysia tetapi jika ingin mengembara, maklumkanlah kepada ahli keluarga masing-masing.

    “Jika ingin bekerja, boleh semak dengan pelbagai agensi di kedutaan negara yang ingin dituju… majikan Malaysia mempunyai industri di negara ASEAN lain banyak,” katanya.

    Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata beliau telah berhubung dengan pihak polis di Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), bagi mendapatkan  maklumat lanjut mengenai sindiket berkenaan dan berharap bahagian berkenaan juga dapat membantu siasatan dan menyelamatkan mangsa.- BERNAMA

  • Disyaki beri kontrak RM46,000 kepada keluarga, pensyarah ditahan

    Disyaki beri kontrak RM46,000 kepada keluarga, pensyarah ditahan

    SEORANG pensyarah kanan bergelar Doktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas dia dipercayai menyalah guna kuasa dalam pemberian kontrak bernilai kira-kira RM46,000 kepada kakak dan abang iparnya.

    Suspek dalam lingkungan 40-an itu berkhidmat di sebuah universiti awam (UA) dan ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Pemberian kontrak itu difahamkan melibatkan projek pembekalan barang pejabat dan pembelian serta penyelenggaraan mesin jahit di sebuah jabatan di universiti berkenaan pada 2015 sehingga 2017.

    Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai diambil keterangan pada hari sama.

    Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail sementara itu mengesahkan tangkapan tersebut dan enggan mengulas lanjut.

  • Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    EMPAT sekeluarga terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Hungap, di sini awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.40 pagi.

    Beliau berkata mangsa kebakaran dikenal pasti sebagai pasangan Matthew Wong, 50; dan Jecky Vun Kon Fung, 48; bersama dua anak mereka Brendan Wong, 18; dan Eric Wong, 15.

    “Pada awalnya kita diberitahu jiran mungkin penghuni rumah itu masih di dalam dan selepas JBPM berjaya mengawal kebakaran dan membuat pemeriksaan kebakaran rumah tersebut, empat mangsa itu ditemukan rentung kira-kira 5 pagi tadi.

    “Operasi di tempat kejadian ditamatkan pada pukul 6.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Misran berkata 90 peratus daripada rumah teres teres itu terbakar, selain dua buah kenderaan yang terbakar 10 peratus.- BERNAMA