Tag: keluar parti

  • 5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    5 ADUN UMNO Sabah umum keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta, hari ini.

    ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

    Lapor Berita Harian, kesemua ADUN itu menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pengumuman itu dibuat pada sidang media khas dipengerusikan Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, sebentar tadi.

    Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga ADUN Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.

    Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).

  • Empat bekas ahli Parlimen Bersatu perlu kosong kerusi, kata Wan Junaidi

    Empat bekas ahli Parlimen Bersatu perlu kosong kerusi, kata Wan Junaidi

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-Undang) berpandangan empat ahli Parlimen Bersatu Sabah yang keluar parti mesti mengosongkan kerusi mereka, jika peletakan jawatan mereka diterima.

    Untuk itu kata beliau, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang digubal jawatankuasa Parlimen diketuainya.

    Wan Junaidi berkata, tidak penting empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mewakili mana-mana gabungan lain kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka.

    Beliau juga menolak cadangan Bersatu Sabah adalah entiti berasingan daripada Bersatu kerana menurutnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak akan membenarkan permohonan sedemikian.

    “Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku dan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Empat ahli Parlimen yang mencetuskan polemik itu adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Ini susulan tindakan pemimpin Bersatu Sabah mengumumkan mereka meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu, semalam.

    Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, peletakan jawatan empat Ahli Parlimen itu perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin untuk mengesahkan mereka telah keluar parti.

    “Jika ya, mereka perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan.”

    FMT sudah menghubungi pembantu kepada Hamzah untuk mengulas sama ada empat Ahli Parlimen itu sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada parti.

    Di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain. Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Wan Junaidi berkata, mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

    “Apabila speaker mengesahkan fakta bahawa peletakan jawatan Ahli Parlimen itu diterima parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka. Saya tidak pasti sama ada mahkamah akan mentafsirnya dengan cara lain kerana ia jelas termaktub dalam undang-undang,” katanya.

  • Dr S. Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan

    Dr S. Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan

    CALON Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 2019, Dr S.Streram yang mengumumkan keluar PKR pada 8 Sept lepas, mendakwa beliau berbuat demikian kerana dipinggirkan parti itu.

    Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rantau itu juga berkata beliau kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden PKR, bagi meneruskan khidmat kepada rakyat, sejak bulan lepas.

    “Saya sudah 14 tahun dengan PKR dan sudah lama berkhidmat untuk rakyat tetapi selepas PRK Rantau, saya dan ramai lagi rakan saya dipinggirkan di Negeri Sembilan.

    “Saya membuat keputusan menyertai PBM untuk berkhidmat kepada rakyat, itu adalah matlamat penting saya ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pakar bius itu berkata beberapa rakan lain dalam PKR juga mendakwa mereka tidak bersefahaman dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun selain tidak bersetuju dengan pemilihan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

    Sementara itu Setiausaha PKR Negeri Sembilan Aliudin Mohamed berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang pemakluman dari PKR pusat mengenai surat keluar parti daripada Dr Streram.

    “Saya belum menerima apa-apa surat daripada beliau, mungkin juga dia (Streram) boleh ajukan surat berkenaan kepada PKR pusat, namun setakat ini tiada pemakluman daripada mana-mana pihak,” katanya.

    Beliau juga memaklumkan sebelum ini Streram tidak mempunyai sebarang isu bersama PKR negeri, namun parti berkenaan tetap menghormati keputusannya.- BERNAMA

  • Masir Kujat keluar PSB, jadi MP Bebas sokong kerajaan

    Masir Kujat keluar PSB, jadi MP Bebas sokong kerajaan

    AHLI Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengumumkan beliau keluar dari Parti Sarawak Bersatu (Bersatu) dengan serta-merta hari ini.

    Memetik laporan New Sarawak Tribune, beliau berbuat demikian atas alasan politik di negara ini tidak stabil.

    Masir yang juga Ahli Majlis Presiden PSB berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan para pengundi di kawasannya.

    Menurut beliau, ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

    “Saya percaya ini adalah langkah terbaik dan masa sudah tiba bagi kita mengetepikan politik dan menumpukan usaha menstabilkan negara.

    “Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited untuk menjadi kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan melakukan sebaik mungkin untuk membantu rakyat di negara ini pada masa yang sukar.

    “Sehubungan itu, saya memberi sokongan penuh terhadap Perdana Menteri,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Masir tidak menyatakan sama ada beliau berhasrat untuk kembali menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS).

    Beliau kini merupakan seorang Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan sedia ada.

    Masir meninggalkan PRS dan menyertai PSB pada Mac 2019 serta pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

    PSB yang merupakan pembangkang di Sarawak mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

    Parti itu hanya mampu memenangi empat daripada 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.