Tag: keluar KWSP

  • Kerajaan tak akan benar keluar KWSP, kata Ahmad Maslan

    Kerajaan tak akan benar keluar KWSP, kata Ahmad Maslan

    KERAJAAN kekal berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar pada ketika ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan kaedah lain bagi membantu rakyat terkesan setelah membenarkan pengeluaran KWSP sebanyak empat kali ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.

    Malah katanya, negara yang membenarkan langkah sama, turut tidak lagi membenarkan pengeluaran wang caruman itu.

    Berdasarkan rekod katanya, sebanyak 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum di bawah usia 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.

    “Saya kira dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ada kaedah lain untuk membantu kumpulan ini.

    “Apabila kita melihat kepada angka, mereka yang layak (untuk membuat pengeluaran), sebenarnya mereka tidak mahu keluarkan pun, masalahnya bagi yang sikit (simpanan), makin sikit pengeluaran (untuk dilakukan).

    “Walaupun mereka akan ada gaji, tapi struktur gaji di Malaysia ini adalah rendah. Kita ingin pastikan rakyat berpendapatan tinggi, maka KWSP mereka merentas kaum juga akan tinggi dan ini antara perkara utama yang ingin kita lakukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad menjawab celahan beberapa Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar, dengan syarat yang lebih ketat.

    Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini, berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang masih kekal positif, terutama disokong permintaan domestik yang stabil, khususnya perbelanjaan swasta.

    Ia susulan jangkaan penambahbaikan pasaran buruh yang berterusan serta peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial, terutama berkaitan pelancongan.

    Katanya, Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan kredit negara pada tahap “triple B plus”, dengan tinjauan stabil pada 2023.

    “Ini mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.

    “Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan daya tahan ekonomi, dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan serta memastikan persekitaran kondusif bagi menarik minat pelabur asing dan domestik, terutama dalam bidang bernilai tambah tinggi, yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan berpendapatan tinggi,” katanya.

    Selain itu, Ahmad berkata, kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada tahun ini, yang antara lain akan mengehadkan pinjaman kerajaan hanya bagi tujuan pembangunan dan kadar pembayaran khidmat hutang tidak lebih 15 peratus daripada hasil.

    “Dari segi tanggungjawab fiskal, kita tidak boleh meminjam untuk membayar gaji atau perbelanjaan mengurus (OE) dan kita hanya meminjam untuk membayar perbelanjaan pembangunan (DE). Itu adalah garis panduan fiskal.

    “Sama ada akan berlaku (pinjaman selain untuk DE) pada masa akan datang, itu kita akan lihat dan cuba untuk mengelakkannya dan sebab itu, kita akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal,” katanya.

    Beliau menjawab celahan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai kemungkinan kerajaan akan menggubal undang-undang, yang akan membolehkan pinjaman dibuat bagi menampung OE, berikutan pendapatan kerajaan tidak berganjak, sedangkan OE meningkat.

  • Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    KONSEP Menu Rahmah disifatkan hanya pendekatan retorik untuk mengalih isu dan desakan rakyat yang mahu kenaikan gaji dan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).

    Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ini kerana impak hasil pelaksanaan program itu kepada peniaga dan rakyat tidak menyeluruh, biarpun konsep itu pernah dilaksana kerajaan sebelum ini ada kebaikannya.

    “Sebenarnya konsep ini sudah dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ia diketepikan.

    “Memang ada kebaikannya (Menu Rahmah), tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh. Rakyat lebih mahu kenaikan gaji dan juga pengeluaran wang KWSP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Muhamad Muqharabbin berkata, sejak tahun 2000 hingga kini, setiap kali pilihan raya mahu diadakan, isu membabitkan kenaikan gaji dijanjikan, tetapi selepas menang, jawapan yang akan dimaklumkan hanya membabitkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

    “Rakyat kini sudah mampu menilai janji manifesto yang langsung tidak berfungsi selepas menang PRU,” katanya.

    Susulan itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau berharap Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini dapat membawa berita gembira berhubung kenaikan gaji di Malaysia.

    “Saya juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada baki simpanan setiap penyimpan.

    “Kita tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Jadi, bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan,” katanya.