Tag: Kelantan

  • PRN: Anwar takut sebab itu kerap ke Kedah, Kelantan, dakwa Mohd. Amar

    PRN: Anwar takut sebab itu kerap ke Kedah, Kelantan, dakwa Mohd. Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan ketakutan apabila sering dilihat turun ke Kedah dan Kelantan untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Menurutnya, kebiasaan kerja-kerja berkempen itu akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kepada sejarah sebelum ini.

    “Kita tengok zaman Tun M. (Dr. Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mereka jarang turun.

    “Biasanya Timbalan Perdana Menteri kerap turun. Kalau turun pun, cukuplah sekali tapi kali ini Perdana Menteri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor, Kota Bharu malam tadi.

    Menurut beliau, tindakan Anwar yang kerap turun ke Kelantan dan Kedah itu menunjukkan kebimbangan beliau tentang peluang PH dan Barisan Nasional (PH-BN) di dua negeri berkenaan.

    “Saya buat contoh begini, kalau kita guru besar, takkan kita nak masuk semua kelas untuk mengajar. Guru besar sepatutnya memantau sahaja dan tindakan masuk kelas mengajar ini satu benda pelik.

    “Saya bimbang, tumpu Kelantan dan Kedah, Selangor pula tumbang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Remaja 17 tahun mengaku salah ‘wheelie’ bersama isteri 16 tahun

    Remaja 17 tahun mengaku salah ‘wheelie’ bersama isteri 16 tahun

    SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal pada 1 Syawal lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, pertuduhan terhadap buruh kasar tersebut dibuat di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal jenis Honda C100B dengan cara mengangkat tayar hadapan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini pada jam 12 tengah hari, 22 April lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum bawah peruntukan sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 sehingga RM15,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM900 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak.

    Lelaki itu dan isterinya berusia 16 tahun yang membonceng motosikal menyerah diri kepada polis pada Khamis lalu selepas aksi mereka tular di laman sosial.

    Remaja perempuan yang hamil dua bulan setengah tersebut bagaimanapun dibebaskan sebagai saksi pertuduhan.

  • Hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan

    Hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan hanya satu kes strok haba menyebabkan kematian daripada lima kes penyakit berkaitan cuaca panas yang dilaporkan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya sehingga hari ini, tiga kes dilaporkan di Sarawak, membabitkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.

    Menurutnya, dua kes lagi dilaporkan di Kelantan dengan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian.

    “Dua kematian akibat strok haba di Kelantan, hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah ‘heat stroke with severe dehydration’.

    “Kematian bayi berusia 19 bulan pula disebabkan oleh ‘severe dehydration with underlying sepsis’ dan bukan disebabkan oleh strok haba,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau merujuk laporan media mengenai dua kematian dikaitkan dengan cuaca panas di Kelantan, semalam.

    KKM juga mengambil maklum laporan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

    Semalam, terdapat beberapa kawasan dilaporkan berada pada Tahap Amaran 1.

    Tahap Amaran 1 adalah berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

    Kawasan dengan Amaran Tahap 1 itu membabitkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang (Kedah), Raub (Pahang), Mukah (Sarawak) dan Nabawan (Sabah).

    Dr Muhammad Radzi berkata, pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

    “Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual.

    “Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma,” katanya.

    Justeru, katanya, KKM ingin mengingatkan orang ramai terutamanya bagimereka yang menyambut perayaan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas ini untuk mengambil langkah-langkah pencegahan.

    “Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas dilaman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuacapanas/).

    Sementara utu maklumat dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan)

    INFO

    Langkah pencegahan:

    1. Rancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga jam 4 petang.
    2. Orang ramai dinasihatkan banyak minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan.
    3. Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.
    4. Bagi golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
    5. Ibu bapa dan penjaga perlu mengawasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari.
    6. Dinasihatkan kerap mandi bagi menyejukkan badan dan mengelakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.
    7. Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas;
    8. Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas. Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas;
    9. Gunakan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan.
  • Sekali lagi, lagu PH bakal jadi senjata makan tuan

    Sekali lagi, lagu PH bakal jadi senjata makan tuan

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Tersemat di minda semua rakyat Malaysia lagu ‘Hoi Ya Hoi’ nyanyian Altimet untuk berkempen menyerang Barisan Nasional (BN) dengan gelaran kaki penyamun dan kluster mahkamah akhirnya menjadi senjata makan tuan bagi Pakatan Harapan (PH).

    PH yang kini tidur sebantal dengan pemimpin BN semata-mata kerana mahu berkuasa terpaksa menelan segala bait-bait lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun yang mana lirik ‘Siapa sokong penyamun’ kini menjadi bahan sindiran ditukar menjadi ‘Kami (PH) sokong penyamun (BN)’.

    Sama ada tidak serik atau ‘bermuka tebal’, pemimpin PH mencipta lagi lagu baru sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini apabila sebuah lagu rap pula dicipta khas untuk berkempen mengajak rakyat Kelantan untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri.

    Penulis sudah meneliti lagu ‘PRN Kelantan 2023: Mari Pakat Kita Tukar’ itu dengan isi kandungan lagu itu menyerang kerajaan Kelantan dengan isu air dan masalah peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

    Setelah mendengar lirik lagu rap itu, penulis kemudiannya melihat komen-komen orang ramai di You tube lagu itu dimainkan dan reaksi netizen di Facebook bagi mengetahui pandangan terhadap kempen berkenaan.

    Kebanyakan komen-komen yang ditinggalkan menyindir lagu baru itu kerana bakal menjadi ‘backfire’ kepada kerajaan PH-BN.

    Ini kerana sentimen mahu tukar kerajaan sebenarnya lebih kuat kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PH ketika ini.

    Isu-isu di peringkat nasional misalnya akan memberi kesan kepada pengundi di Selangor dan Negeri Sembilan yang akan menjadi kayu pengukur bahawa rakyat sedang melakukan protes besar-besaran terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

    Banyak isu-isu yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini yang jelas menunjukkan prestasi Anwar dan barisan kabinet sedia ada tidak seperti diharapkan.

    Mereka lebih banyak bercakap daripada melakukan sebarang tindakan komprehensif untuk menyelesaikan isu-isu rakyat.

    Sebarang perancangan jangka pendek belum menampakkan sebarang petanda bahawa masalah kos sara hidup, peningkatan harga barang dan banyak isu lain dapat diselesaikan.

    Dasar-dasar baru pula tidak menepati kehendak dan keperluan rakyat seperti pinjaman bank menggunakan cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kelulusan jualan dan bermain mercun dan pengumuman penurunan harga simen ketika Aidilfitri.

    Laungan untuk menghapuskan rasuah yang meniti di bibir juga nampak seperti retorik kerana masih mengekalkan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan pemimpin itu sedang berdepan dengan pendakwaan kes rasuah di mahkamah.

    Oleh sebab kelemahan kerajaan PH-BN itu sendiri, maka sebarang kempen seperti mencipta lagu seperti itu tidak dapat memberi kesan kepada pengundi untuk mengubah sokongan terhadap Perikatan Nasional yang dianggotai Pas dan Bersatu.

    Jika menyerang masalah air Kelantan pun, ia perlu dilihat asal-usul masalah itu berlaku iaitu masalah berkenaan adalah disebabkan kesan diskriminasi kerajaan pusat (BN) pada tahun 1990 yang mengamalkan dasar pilih kasih terhadap negeri diperintah pembangkang.

    Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) yang telah diluluskan pada tahun 1990 dengan nilai RM60 juta telah ditarik balik menyebabkan Kelantan terpaksa menguruskan fasiliti itu tanpa bantuan kerajaan pusat.

    Menyentuh soal peluang pekerjaan pula, penulis yakin pengundi Kelantan tidak terkesan kerana rata-rata anak-anak perantauan Kelantan boleh menikmati peluang pekerjaan dan kemajuan di negeri-negeri lain.

    Mereka sebenarnya selesa suasana negeri kelahiran mereka seperti mana yang ada sekarang kerana mengekalkan nilai dan ciri tradisional yang tidak ada di negeri-negeri lain.

    Kesimpulannya, pada PRN kali ini, PH-BN bukan saja gagal untuk merampas negeri milik PN, tetapi perlu berdepan risiko hilang kuasa terhadap negeri yang ditadbir mereka.

  • Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    POLIS merampas 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta yang dijumpai di dalam sebuah van di tepi jalan Kampung Wan Ahmad, Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, seorang suspek bertindak melarikan diri ke arah semak samun berhampiran dan meninggalkan van itu dalam keadaan enjin masih hidup, ketika serbuan dijalankan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam Op Wawasan.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang van terbabit mendapati 13 guni putih berisi dadah jenis syabu disorokkan di dalam timbunan pakaian terpakai.

    “Bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM700

    Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM700

    KERAJAAN negeri Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua kakitangan awam negeri dan lantikan politik.

    Selain itu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob juga mengumumkan elaun penghulu dinaikkan dari RM1,100 kepada RM1,500.

    “Saya ingin umumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM700 untuk semua penjawat awam dan juga lantikan politik.

    “Pada masa sama, saya mengumumkan kenaikan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian pada sesi sidang dewan undangan negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

  • Banjir: Kerajaan Kelantan sumbang RM50,000 kepada negeri Johor

    Banjir: Kerajaan Kelantan sumbang RM50,000 kepada negeri Johor

    KERAJAAN Kelantan menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Johor yang sedang mengalami bencana banjir.

    Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sumbangan itu sebagai tanda kebersamaan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

    “Kerajaan negeri turut bersimpati kejadian banjir yang berlaku di Johor. Semoga Allah SWT memudahkan urusan dan memberikan ketabahan kepada semua mangsa banjir yang terjejas,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

    Keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 26,633 orang setakat 2 petang ini, berbanding 25,213 orang 8 pagi tadi dengan tujuh lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 193 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah. – BERNAMA

  • Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak, kata Azalina

    Kelantan, Terengganu tak layak terima royalti minyak, kata Azalina

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

    Menurut beliau, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Mengikut Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

    “Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, katanya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

    Azalina menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyalurkan hasil minyak “secara terus” kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu “seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN”.

    Bayaran yang dirujuk oleh Muhyiddin itu ialah wang RM200 juta yang diberikan kepada kerajaan Kelantan masing-masing pada 2020 dan 2021.

    Ini adalah peningkatan yang besar berbanding wang ehsan RM28 juta yang diterima negeri melalui Jabatan Kemajuan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

    Bagaimanapun, pada 2019, Putrajaya di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran “sekali sahaja”. Bayaran itu tidak diminta oleh kerajaan Kelantan yang menuntut bayaran petroleum sebanyak 5 peratus.

    Menjelang pilihan raya Parlimen ke-15, Muhyiddin telah berjanji bahawa Kelantan dan Terengganu akan dibayar royalti 5 peratus sekiranya PN berkuasa.

    Pertikaian berkaitan royalti minyak Kelantan itu telah berlarutan sejak bertahun-tahun sehingga kerajaan negeri membawa kes itu ke mahkamah.

    Kelantan bagaimanapun menarik balik saman itu selepas yakin dengan pentadbiran Mahathir Mohamad ketika memimpin kerajaan kali kedua bersama Pakatan Harapan (PH).

    Bagaimanapun, isu kembali hangat selepas Kelantan tidak mengiktiraf pemberian pusat itu yang menganggapnya hanya sebagai wang ehsan.

    Beberapa pihak beranggapan masalah itu tidak selesai kerana kedudukan telaga minyak dalam sempadan perairan negeri tidak ditentukan.

    Malah, tindakan Kelantan menarik balik samannya pada 2019 menyebabkan perkara itu terus tergantung.

    Menteri ekonomi sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa, bayaran royalti petroleum kepada Kelantan setakat ini daripada lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan saja.

    Kedua-dua lapangan itu berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

    Sepuluh lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang, menyebabkan hasilnya belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

    Katanya, bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas terhadap 10 lapangan itu disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD) berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019 sementara menunggu persempadanan ditentukan.

  • Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    KERAJAAN Kelantan bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincang dalam pertemuan tidak langsung menteri-menteri besar yang hadir sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu depan, bagi mencari kata sepakat tentang tarikh sesuai diadakan PRN.

    “Pertemuan adalah sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja, itu merupakan perkara biasa dengan menteri besar akan berperanan mengiringi serta menjadi penasihat kepada Raja-Raja Melayu negeri masing-masing.

    “Jadi, pada masa sama kita juga mungkin akan adakan perbincangan secara tidak langsung mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh PRN.

    “Tempoh akhir bagi DUN Kelantan adalah pada 26 Jun, (namun) saya rasa PRN boleh dilaksanakan pada bila-bila masa kerana kita telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad berkata kerajaan Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai soladiriti kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

    “Kita (kerajaan negeri) sangat bersimpati dengan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan dengan jumlah mangsa korban mencecah lebih 40,000 orang.

    “Kita menyumbang walaupun jumlahnya tidak seberapa bagi membantu rakyat kedua-dua negara yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

  • Kerjasama BN-PH tak cukup kuat tandingi Pas di Kelantan, kata penganalisis

    Kerjasama BN-PH tak cukup kuat tandingi Pas di Kelantan, kata penganalisis

    KERJASAMA antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) belum cukup kuat untuk merampas Kelantan daripada Pas, kata seorang penganalisis.

    Menurut Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, gabungan-gabungan itu patut menganggap diri mereka bertuah jika dapat memenangi beberapa kerusi apabila berganding bahu di negeri pantai timur itu.

    “PH tidak mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam kalangan akar umbi di Kelantan. (Kelantan) kekal menjadi medan persaingan antara Pas dengan UMNO.

    “Amanah, harapan PH di Kelantan gagal menembusi nusa teras Melayu luar bandar itu,” kata Fauzi kepada Free Malaysia Today, sambil menambah BN perlu menerajui kempen menentang Pas.

    Dalam pada itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara turut sependapat dan berkata, tumpuan BN-PH di Kelantan sepatutnya untuk mendapatkan beberapa kerusi, berbanding merampas negeri itu daripada Pas.

    Katanya, kedua-dua gabungan itu akan menghadapi situasi yang sama di Terengganu.

    Ketua Pemuda UMNO Kelantan Noor Hariri Mohd Noor berkata, BN dan PH perlu bekerjasama jika mahu menjatuhkan Pas dan Perikatan Nasional di Kelantan pada PRN akan datang.

    PH dan BN menunjukkan prestasi buruk di Kelantan pada PRU15 dengan PN menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

    Pada PRU14, BN hanya menang lapan daripada 45 kerusi DUN di Kelantan, manakala selebihnya diperoleh Pas. PH gagal menang malah satu kerusi.

    Fauzi berkata, tiada jalan pintas untuk bertapak di Kelantan, malah PH dan BN mesti menunjukkan mereka berkebolehan dan cekap dalam mengendalikan hal-hal ekonomi, terutamanya pada masa ini.

    Beliau berkata, kedua-dua parti kerajaan itu perlu berusaha untuk mengurangkan kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar, menyifatkannya sebagai langkah jangka panjang untuk meraih sokongan.

    “Kisah kejayaan di negeri-negeri kendalian PH dan BN, seperti Perak dan Pahang, mesti diketengahkan untuk membuktikan mereka sebenarnya boleh memperbaiki keadaan hidup rakyat, bukan semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya.

    Bagaimanapun, Azmi berkata, PH dan BN boleh menarik sokongan di Kelantan dengan menggunakan pembekuan akaun Bersatu sebagai bahan kempen.

    Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya bertindak ke atas akaun Bersatu, beliau berkata, perkara ini akan turut menjejaskan kempen Pas di negeri itu.