Tag: kelab malam

  • 47 mayat dalam guni ditemui bawah lantai kelab malam

    47 mayat dalam guni ditemui bawah lantai kelab malam

    SEBUAH kubur besar yang ditanam dengan 47 mayat dalam guni di bawah lantai sebuah kelab malam di Tenango del Valle, ditemui pihak berkuasa Mexico, minggu lalu.

    Penemuan kubur itu dipercayai ada kaitan dengan Kartel Generasi Baharu Jalisco, kartel paling kejam di Mexico susulan penahanan sembilan individu yang didakwa anggota kumpulan berkenaan.

    Lapor The US Sun, suspek membawa anggota polis ke sebuah gudang perindustrian yang bertukar menjadi kelab malam di Tenango del Valle, kira-kira sejam dari Mexico City.

    Semua mayat berkenaan ditemui selepas polis terpaksa menggunakan penggali tapak bangunan untuk memecahkan lantai bangunan di kejiranan La Joya.

    Pegawai penyiasat terkejut dengan penemuan kubur besar di bawah tanah, di mana sekurang-kurangnya 20 mayat ditemui.

    Sebanyak 47 guni berisi mayat manusia dikeluarkan untuk pemeriksaan forensik.

    Jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka masih belum diketahui.

    Pakaian lelaki dan wanita turut ditemui di tapak berkenaan.

    Polis turut dibawa ke beberapa lokasi berbeza, termasuk gudang di Tenango del Valle.

    Antara yang ditahan ialah ketua kartel, Jaime Luis ‘El Pozolero’, yang dituduh menculik seorang wanita di Tenancingo tahun lalu

  • 13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    SEKURANG-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 35 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam penuh sesak di daerah Sattahip, wilayah Chonburi, Thailand awal pagi ini.

    Menurut Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan, kebakaran di kelab malam Mountain B itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi.

    Lapor Bangkok Post, rakaman video menunjukkan orang ramai berlari menyelamatkan diri dan menjerit ketika api sedang marak.

    Ada di antara pengunjung berlari dengan badan mereka sedang terbakar.

    Sembilan lelaki dan empat wanita terbunuh dalam kebakaran itu.

    Ketua Polis Phlu Ta Luang, Kolonel polis, Wuttipong Somjai berkata, kesemua mangsa dipercayai adalah warga Thailand.

    Menurut Komander Polis Chon Buri, Mejar Jeneral Polis Atthasit Kitjahan berkata, kira-kira 40 orang cedera dalam kebakaran itu dengan lapan daripada meecur teruk.

    Premis itu baru dibuka sebulan lalu dan terkenal dalam kalangan belia.Kebakaran dipercayai berlaku semasa pengunjung sedang menikmati muzik mencetuskan situasi berasak-asak.

  • Kelab malam tawar ‘amoi Thai’ untuk aktiviti persundalan diserbu

    Kelab malam tawar ‘amoi Thai’ untuk aktiviti persundalan diserbu

    SERAMAI 44 wanita warganegara asing dari Thailand termasuk seorang dari Laos yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor ditahan semasa satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

    Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu turut menahan enam individu lain iaitu dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan yang bekerja sebagai pekerja am manakala selebihnya rakyat tempatan.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu disertai sepasukan 27 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya.

    Menurutnya, serbuan itu rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu.

    “Modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan ini akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki.

    “Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1,000 ke RM1,500 satu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu, seramai 150 orang diperiksa dan hasilnya seramai 50 orang individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun telah ditahan.

    Tiga warga tempatan yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.

    “Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.

    “Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan,” katanya.

    Khairul Dzaimee memberitahu, semakan awal mendapati wanita warganegara asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong.

    Namun begitu, kemudahan Imigresen yang diberikan ini telah disalah guna.

    “Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Tiga orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen.Turut dirampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara,” katanya.

    Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu Khairul Dzaimee berkata, JIM akan terus memburu saki-baki warga asing yang terlibat dalam rangkaian sindiket ini dan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan khususnya di pintu-pintu masuk di sebelah utara.

  • Pemuda PAS mahu kelab malam, pub tutup selepas 12 tengah malam

    Pemuda PAS mahu kelab malam, pub tutup selepas 12 tengah malam

    DEWAN Pemuda PAS menggesa kerajaan menguatkuasakan peraturan yang meminimumkan masa operasi kelab malam dan pub dengan menutup premis-premis hiburan tersebut mulai pukul 12 tengah malam.

    Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, pihaknya turut mencadangkan agar kelab malam dan pub tidak dibuka di lokasi yang bukan tumpuan pelancong asing serta di kawasan perumahan yang dihuni majoriti orang Melayu dan Islam.

    Beliau juga menggesa agar penguatkuasaan dilakukan terhadap kelab malam yang beroperasi tanpa lesen serta melanggar peraturan dan membenarkan orang Islam memasukinya.

    “Sehubungan itu, Pemuda PAS bercadang bagi pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberikan pantauan dan kawalan terhadap operasi pembukaan pusat hiburan kelab-kelab malam dan pub,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nazir turut menyifatkan pengumuman KPKT bahawa pub dan kelab malam dibenarkan beroperasi setelah ditutup sementara selama dua tahun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai sesuatu yang mengejutkan.

    Beliau menambah, Pemuda PAS meminta MKN, KPKT dan PBT untuk memberi penjelasan ke atas usaha pembukaan semula pub dan kelab malam walaupun umum tahu, pembukaan pusat hiburan terbabit akan membuka ruang kepada kenaikan semula kadar jangkitan COVID-19.

    “Walau bagaimanapun, pihak MKN dan KPKT perlu bersegera bersikap rasional dalam membuat keputusan terhadap pembukaan kelab-kelab malam ini beroperasi dengan pengawalan yang lebih ketat yang perlu dikenakan terhadap pusat-pusat hiburan.

    “Begitu juga dengan PBT yang memberikan lesen kepada kegiatan pusat-pusat hiburan ini, sepatutnya bertegas dalam pemantauan seperti membatalkan lesen bagi premis yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

    “Bahkan berdasarkan rekod, jumlah kelab malam dan pub terbanyak jatuh kepada negeri Selangor yang menyumbang kepada lebih daripada RM189 juta setahun,” jelasnya.