Tag: kekal

  • Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

    “Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Jan lepas.

    Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

    “Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

    Ahmad Zahid berkata permohonan tersebut tidak bersifat mala fide (berniat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

    “Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

    Menurutnya, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan-permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkannya ke luar negara bagi tujuan-tujuan rasmi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Zahid memohon supaya mahkamah mengetepikan syarat tambahan jaminan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah dan memohon ia dikembalikan kepadanya secara kekal secepat mungkin selain mengekalkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadapnya. 

    Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 Feb ini.

    Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes itu yang kini di peringkat membela diri dan akan bersambung 10 April di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • PRU-15: Pas kekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen

    PRU-15: Pas kekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen

    PAS akan mengekalkan sekurang-kurangnya 10 penyandang kerusi Parlimen termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci nama penyandang terbabit.

    “Pada PRU14, PAS memiliki 18 kerusi Parlimen, jadi untuk pilihan raya kali ini kita akan kekalkan lebih 10 penyandang untuk sekali lagi bertanding kerana kita percaya mereka boleh menang di kawasan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Majlis Ramah Mesra bersama Kelab Media Kelantan di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Perikatan Nasional optimis untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen di Kelantan berdasarkan rekod pencapaian yang baik di negeri itu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan  pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    JUMLAH penganggur di negara ini mengalami sedikit kenaikan kepada 778,200 ketika kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

    Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jumlah guna tenaga terus mencatatkan penurunan namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran mencatatkan sedikit peningkatan.

    Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada awal Julai berkata, seluruh negara diletakkan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan peningkatan mendadak jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

    Katanya, lapan negeri yang beralih ke Fasa 2 PPN, membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

    Berdasarkan sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil.

  • Jawatan tiga duta khas kekal – PMO

    Jawatan tiga duta khas kekal – PMO

    KERAJAAN bersetuju menyambung pelantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri bertaraf menteri ke Timur Tengah, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Mesyuarat Kabinet semalam juga bersetuju menyambung pelantikan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke China dan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Asia Timur. 

    Pelantikan ketiga-tiga duta berkenaan dibuat tahun lepas semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Abdul Hadi dan Tiong memegang jawatan masing-masing pada April manakala Riot pada Mei. 

    Mesyuarat Kabinet semalam adalah yang pertama dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 21 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    KEPUTUSAN untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

    Ini selepas rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik Ziyad ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi ini.

    Permohonan maaf Ziyad dibuat menerusi akaun Instagram miliknya

    Keputusan itu bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

    Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

    Namun penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).

    Dalam pada itu, Ziyad, 31, dalam reaksi pertamanya berikutan keputusan berkenaan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

    “Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya hari ini.

    Selain itu, Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.

    Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang tuurt meminta Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini.

    Katanya dalam catatan terbaharu di akaun Instagram miliknya, sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima, malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.

    Terdahulu, Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

    Bantahan daripada Kontinjen Malaysia, Australia dan Ecuador akan dibawa ke Mesyuarat Chef de Mission (CDM) pasukan bertanding juga dibawa sekali.

    Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum itu melakukan protes kepada jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status Muhammad Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi (DNS) walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir, yang berlangsung di Stadium Olimpik di Tokyo.

    Ziyad sebelum itu secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya, dengan catatan 17.94 meter.

    Kemenangan beliau bagaimanapun dibatalkan selepas atlet Ukraine, Maksym Koval, membuat bantahan.

    Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.