Tag: kehakiman

  • Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

    Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

    ADALAH tidak wajar (mischievous) bagi sesiapa untuk cuba mencemar imej mahkamah menerusi kritikan yang tidak adil, berat sebelah, dan kritikan yang sering kali dibuat semata-mata kerana tidak menyukai suatu keputusan mahkamah tertentu, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Beliau berkata kritikan membina sentiasa dialu-alukan, namun bukannya cubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

    “Tahun lepas, cubaan untuk megertak dan memberi tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes-kes kepentingan awam menjadi semakin ketara. Percubaan ini adalah penghinaan secara langsung kepada kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

    “Mereka sememangnya patut dikecam dan memang ramai yang secara lantang menentang mereka dengan tegas. Tahun lepas, badan kehakiman menjadi sasaran serangan hebat semasa pendengaran kes berprofil tinggi tertentu,” katanya semasa berucap pada perasmian Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di sini, hari ini.

    Menyentuh sistem keadilan jenayah, Tengku Maimun menegaskan bahawa liabiliti jenayah akan terus ditentukan mengikut undang-undang yang terpakai, dan kekuatan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

    “Mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan, dan mereka yang tidak dapat dibuktikan bersalah akan dibebaskan. Tertuduh yang disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman yang setimpal, tidak lebih dan tidak kurang. Ini tugas kami sebagai hakim, dan kami bertekad untuk melaksanakan kewajipan kami tanpa mengambil kira sebarang ancaman yang dibuat bagi menghalangnya.

    “Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, seperti yang sering saya katakan sebelum ini, bahawa kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa niat jahat atau motif, tanpa sebarang tekanan luaran mahupun dalaman, dan tanpa mengambil kira personaliti,” katanya.

    Beliau berkata selagi setiap hakim komited terhadap prinsip-prinsip ini, dan bersatu dalam usaha menegakkan asasnya, beliau yakin kebebasan badan kehakiman akan dipertahankan.

    Beliau seterusnya mengulangi bahawa hakim perlu tegas membuat keputusan serta menulis penghakiman mereka berlandaskan lunas undang-undang, dan bukan kata-kata yang hanya bertujuan mencari populariti.

    “Kami menulis untuk memastikan orang ramai mengikuti perkembangan fungsi kehakiman dan bukan untuk mendapatkan pengesahan daripada orang ramai atau daripada mana-mana pihak lain. Jika hakim memutuskan sesuatu kes berdasarkan apa-apa selain daripada undang-undang atau fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak betul di sisi undang-undang, dan apabila berlaku, hakim itu dilihat gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

    Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum merumuskan pendapat sendiri, dan meletakkan badan kehakiman kepada keadaan difitnah dalam sebarang bentuk.

    Mengulas mengenai komposisi anggota Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, beliau berkata adalah penting bagi kebebasan kehakiman, bahawa proses pelantikan kehakiman harus kekal tidak berpolitik dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan dan pengaruh. – BERNAMA

  • EGM Majlis Peguam berhubung dakwaan ugut kehakiman

    EGM Majlis Peguam berhubung dakwaan ugut kehakiman

    MAJLIS Peguam akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membincangkan isu berhubung dakwaan ugutan terhadap kehakiman baru-baru ini, kata Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn.

    Bagaimanapun beliau berkata, butiran penuh mengenai EGM itu akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri dan notis EGM berkanun yang diperlukan akan dikeluarkan kepada semua ahli Majlis Peguam selewat-lewatnya hari ini (5 Mei).

    “Kami berharap dapat melihat kehadiran ahli Majlis Peguam di seluruh negara termasuk presiden kami yang lepas untuk menyatakan pendapat mereka mengenai isu ini dan untuk mengundi mengenai usul yang penting bagi masa depan badan kehakiman kita sebagai institusi yang sangat diperlukan dan penting,” kata Cheah dalam kenyataan.

    Cheah selanjutnya berkata, Majlis Peguam juga mengadakan satu lagi mesyuarat tergempar pada Jumaat lepas untuk menangani isu dakwaan ugutan (intimidasi) terhadap kehakiman dan secara kolektif memutuskan EGM akan diadakan segera di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

    “EGM akan datang akan membincangkan kemungkinan pilihan yang ada bagi Badan Peguam Malaysia serta untuk meneliti dan membahaskan usul-usul yang dibentangkan oleh Majlis Peguam, serta apa-apa usul lain yang mungkin kami terima tujuh hari sebelum EGM oleh ahli Majlis Peguam,” katanya.

    Pada 27 April, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap pada majlis angkat sumpah 17 pesuruhjaya kehakiman yang disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, berkata, tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap hakim serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.

    Beliau berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.

    Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lepas memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

    Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – BERNAMA

  • PH gesa agensi penguatkuasaan hormat kebebasan badan kehakiman

    PH gesa agensi penguatkuasaan hormat kebebasan badan kehakiman

    PAKATAN Harapan (PH) menggesa kerajaan Persekutuan memastikan agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman.

    Menurut Majlis Presiden PH, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.

    Tegas mereka, kebebasan itu mesti dikekalkan bagi memastikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan politik yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang terus terlaksana.

    “Majlis Presiden PH mengingatkan bahawa Perkara 4.1 di dalam MoU di antara kerajaan Persekutuan dan PH menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan Persekutuan perlu ‘memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman’.

    “Maka PH mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman,” kata mereka dalam kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau.

    Mereka mengulas tentang kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman agak keterlaluan”.

    Memetik laporan News Straits Times semalam, Tengku Maimun berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik, pada tahap tertentu, bebas untuk mengkritik, ia tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu, bagi kepentingan mereka sendiri.

    Menyedari terdapat banyak kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam sedang dibicarakan di mahkamah, Tengku Maimun menambah, hakim dan badan kehakiman dijangka terdedah kepada kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh mereka yang terkesan akibat keputusan mahkamah.

    Keadaan itu akan berlaku terutamanya jika sesuatu keputusan perbicaraan itu tidak memihak kepada mereka, ujarnya lagi.

    Dalam masa yang sama, Tengku Maimun menegaskan integriti sistem keadilan dan kebebasan badan kehakiman tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

    Tengku Maimun turut menegaskan bahawa campur tangan luar dalam badan kehakiman tidak akan dilayan.

    Sebaliknya, beliau berkata sesuatu kes diputuskan berdasarkan bukti di mahkamah dan prinsip undang-undang yang ditetapkan.