Tag: Kedaulatan undang-undang

  • Anwar tak berpegang kepada kedaulatan undang-undang lantik Zahid

    Anwar tak berpegang kepada kedaulatan undang-undang lantik Zahid

    PENTADBIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.

    “Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.

    “Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.

    “Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

    “Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya hari ini lapor Berita Harian.

    Beliau ditemui selepas melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara.

    Beliau mengulas penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.

    Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember lalu.

    Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

    Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

    Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

    Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu, ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.

    Sequerah membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.

  • Thomas dilantik kerana ‘tak berat sebelah’, patuh ‘kedaulatan undang-undang’ – Dr M

    Thomas dilantik kerana ‘tak berat sebelah’, patuh ‘kedaulatan undang-undang’ – Dr M

    TAN Sri Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana beliau dikenali “tidak berat sebelah” dan patuh “kedaulatan undang-undang”, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Bagaimanapun, Mahathir berkata, ia adalah sebelum memoir kontroversi Thomas diterbitkan yang menyaksikan beliau disiasat kerana menghasut dan beberapa kesalahan lain.

    “Selepas beliau menulis buku itu, beliau mula menyuarakan pendapatnya. Tetapi pelantikannya dibuat sebelum beliau menulis buku berkenaan.

    “Kami tahu pada masa itu bahawa beliau seorang peguam yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang. Jadi, beliau dilantik kerana dikenali untuk hal itu.

    “Beliau tidak berat sebelah memihak kepada kerajaan. Malah, beliau sangat mengkritik saya semasa saya menjadi perdana menteri. Beliau tidak berat sebelah, sebab itu beliau dilantik.

    “Jika saya terpaksa melakukannya sekali lagi, saya akan melantik seseorang yang tidak berat sebelah,” kata Mahathir dalam temu bual dengan The Star.

    Thomas dilantik sebagai peguam negara oleh Mahathir ketika PH berkuasa pada 2018 tetapi meletak jawatan selepas gabungan itu tumbang pada Februari 2020.

    Bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness”, diterbitkan pada Januari tahun lalu. Pasukan petugas itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional serta kenyataan berbaur hasutan.

    Salah satu penemuan pasukan petugas yang didedahkan ialah Thomas, sebagai peguam negara, mahu perdana menteri Mahathir ketika itu “melakukan arahannya dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang” dalam melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

    Laporan pasukan petugas itu juga mengatakan Thomas mempunyai “kepentingan yang kuat” dalam pelantikan hakim, dan tindakannya untuk mendekati Mahathir adalah “percubaan untuk menggunakan pengaruh politik atau eksekutif” untuk melihat cadangan pelantikan itu dilaksanakan.

    Dalam wawancaranya dengan The Star, Mahathir menyangkal dakwaan dalam memoir Thomas bahawa kerajaan Melayu akan menjadi tidak cekap.

    Mahathir berkata Malaysia telah merdeka selama lebih 65 tahun dan kerajaannya telah “didominasi oleh orang Melayu” bagi sebahagian besar dari tempoh itu.

    “Ia (Malaysia) menjadi ‘Harimau Asia’ dan menjadi antara negara berprestasi terbaik dari semua bekas jajahan British.

    “Jadi, anda tidak boleh menyalahkan orang Melayu kerana tadbir urus yang buruk kerana mereka membangunkan negara ini sedangkan British tidak melakukannya. Pada zaman British, Malaysia sangat miskin. Ia hanya membangun selepas merdeka,” kata Mahathir.