Tag: kedai makan

  • Bayi perempuan ditinggalkan depan kedai makan

    Bayi perempuan ditinggalkan depan kedai makan

    SEORANG peniaga menemui bayi perempuan yang ditinggalkan di atas sofa di hadapan sebuah kedai makan Taman Bahtera, Ulu Bernam di sini pada Sabtu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 33 tahun memaklumkan menemui bayi itu pada pukul 9.30 pagi.

    “Hasil siasatan polis mendapati bayi itu masih hidup dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan bertugas mendapati bayi tersebut dalam keadaan sihat serta tiada kesan luka atau kesan gigitan binatang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

    Arsad berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” tambahnya

  • Eksperimen kedai makan: Premis tak patuh SOP diarah tutup

    Eksperimen kedai makan: Premis tak patuh SOP diarah tutup

    POLIS Diraja Malaysia akan mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditutup, susulan tindakan pasangan suami isteri yang tidak divaksin melakukan eksperimen di sebuah kedai makan baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran SOP ini bagi merancakkan semula ekonomi dan berharap masyarakat dapat memanfaatkannya dengan betul, dan tidak mengambil kesempatan.

    “Polis dan pihak berkuasa tempatan melakukan rondaan bersama dan mana-mana premis yang tidak patuh (SOP) akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, dekat sini, hari ini.

    Pada 8 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta makan di restoran.

    Sehubungan itu katanya, polis meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi.

    Susulan kelonggaran berkenaan juga pihaknya akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah-daerah secara berperingkat, bagaimanapun SJR antara negeri akan dikekalkan.

    “Saya telah mengarahkan kontinjen-kontinjen polis negeri untuk mempertingkatkan tinjauan dan pemeriksaan ini untuk pastikan SOP yang baharu ini dipatuhi semua.

    Pada Isnin lepas, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 35 dan 36 tahun ditahan polis pukul 5 petang di sebuah premis makanan.- BERNAMA

  • Enggan ambil risiko, peniaga kedai makan tangguh ‘dine in’

    Enggan ambil risiko, peniaga kedai makan tangguh ‘dine in’

    Beringat sebelum terkena. Itulah pendirian beberapa pemilik restoran dan kedai makan di sekitar negeri ini yang tetap tidak membenarkan pelanggan mereka makan di dalam premis, kerana bimbang akan penularan semula wabak COVID-19.

    Tinjauan Bernama hari ini mendapati, peniaga kedai makan, restoran mahupun kafe masih tidak membenarkan pengunjung untuk makan di dalam premis mereka walaupun kelonggaran diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi, mulai hari ini.

    Pemilik Lieniey Nasi Kerabu Tumis Zaini Ahmad, 51, berkata beliau masih berasa takut selain turut khuatir untuk membenarkan pelanggan makan di kedainya memandangkan kes harian COVID-19 di Kelantan masih tinggi dan membimbangkan.

    “Walaupun kebenaran makan di restoran telah diberikan namun, saya memilih untuk menangguhkan terlebih dahulu kerana berasakan situasi semasa masih tidak bersesuaian lagi dengan kelonggaran itu.

    “Malah, 10 pekerja saya juga masih belum diberikan suntikan vaksin COVID-19 sekali gus membuatkan saya enggan mengambil risiko, sekiranya dibenarkan (dine-in) ia akan mengundang penularan virus di premis dan seterusnya menjangkiti pekerja saya,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

    Sementara itu, Pengurus Kafe Drum & Desk Chew Li Mun, 30, berkata pihaknya merancang untuk membenarkan pengunjung makan di dalam premis mulai September.

    Mengakui bahawa perniagaannya agak terjejas melebihi 50 peratus ekoran ketiadaan pelanggan makan di kedai, namun baginya keselamatan pelanggan tetap perlu diberi keutamaan.

    “Tidak mengapa berlaku sedikit kerugian, kerana keselamatan dan kesihatan yang perlu diutamakan. Buat masa ini jualan banyak bergantung kepada pelanggan yang ‘walk-in’ selain juga pesanan menerusi (aplikasi) Grab Food.

    “Saya merancang untuk membenarkan pengunjung makan di dalam kedai bermula September selepas 12 pekerja saya lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

    Sementara itu, tinjauan pada beberapa akaun Instagram milik kafe-kafe hipster sekitar Kota Bharu juga didapati pemilik kafe memuat naik kandungan dengan slogan #dineincanwait untuk memaklumkan mengenai penangguhan membenarkan pelanggan makan di kedai.

    Pada Ahad, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memberi kemudahan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin COVID-19 di negeri-negeri fasa 2 Pelan Pemulihan Negara untuk makan di restoran.- BERNAMA

  • Orang ramai serbu kedai makan selepas Perlis masuk Fasa 3 PPN

    Orang ramai serbu kedai makan selepas Perlis masuk Fasa 3 PPN

    Oleh:Bernama

    BAGAI melepaskan geram, begitulah suasananya apabila orang ramai mula menyerbu gerai dan kedai makan sebaik negeri Perlis beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, yang antara lain membenarkan pelanggan makan di dalam premis dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    Tinjauan Bernama mendapati gerai dan kedai makan menjadi tumpuan orang ramai seawal 7 pagi untuk bersarapan, dengan masing-masing sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk duduk di meja dan mengikuti SOP penjarakan fizikal ditetapkan iaitu hanya dua orang bagi satu meja.

    Situasi itu turut melegakan peniaga setelah mereka seumpama ‘nyawa-nyawa ikan’ akibat pendapatan merosot apabila Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dikuatkuasakan pada Mei lepas bagi mengekang penularan Covid-19.

    Seorang peniaga gerai roti canai, Mohd Azuam Azwadi, 30, berkata beliau tidak menang tangan melayan lebih 20 pelanggan yang berbaris menunggu giliran kerana jumlah meja terhad.

    “Gerai saya hanya boleh memuatkan 10 meja bagi mematuhi penjarakan fizikal yang ditetapkan. Alhamdulillah pelanggan faham dan mereka sabar menunggu giliran,” katanya hari ini.

    Seorang pemilik kopitiam, Khor Sooi Hwang, 56, berkata beliau memang menjangkakan ramai pelanggan akan datang ke kedainya hari ini kerana menyedari keterujaan orang ramai selepas lebih dua bulan tidak dapat menikmati makanan di kedai.

    “Ramai pelanggan memberitahu makan di rumah tak sama seperti makan di kedai, mereka kata makan di kedai lebih nikmat kerana suasananya berbeza berbanding di rumah,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

    Sementara itu bagi orang ramai, kerinduan mereka untuk kembali makan di restoran atau kedai makan yang sebelum ini menjadi rutin, kini bagaikan terubat.

    Seorang juruteknik syarikat swasta, Rusli Ali, 50, melahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat kembali menikmati makanan di kedai.

    “Hari ini rasa seronok dapat makan di kedai bersama rakan-rakan sebelum masuk pejabat, macam sambut hari raya pula, tetapi SOP tetap dijaga,” katanya sambil ketawa kecil.

    Nur Diyana Radzi, 29, pula berkata sejak pelaksanaan Fasa Satu PPN beliau terpaksa bangun seawal 5 pagi untuk masak bekalan ke tempat kerja kerana tidak gemar membeli makanan yang dibungkus.

    “Alhamdulillah, akhirnya dapat juga makan di premis (kedai) seperti biasa, saya rasa lega kerana tidak perlu lagi masak setiap pagi,” kata penjawat awam itu.- BERNAMA