Tag: Kedah

  • Kedah mohon pampasan RM200 juta daripada kerajaan Pusat

    Kedah mohon pampasan RM200 juta daripada kerajaan Pusat

    KEDAH memohon jumlah pampasan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan berikutan pengorbanan negeri itu tidak membangunkan kawasan tanah yang luas bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan kepada negara dan sumber air buat negeri jiran.

    Jelas Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), demi kesejahteraan negara, Kedah terpaksa menyimpan seluas 107,495 hektar tanah untuk keterjaminan air bagi Pulau Pinang dan Perlis.

    Selain itu, Ku Abd Rahman yang juga EXCO berkata, kawasan seluas 107,472 hektar tanah pula digunakan untuk tanaman padi di mana Kedah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada keperluan beras negara.

    “Kedah banyak berkorban demi kesejahteraan negara di mana tanah yang luas ini boleh ditanam kelapa sawit selepas ditebang balaknya yang boleh menyumbang hasil kewangan yang besar untuk negeri ini.

    “Justeru, Kedah mohon sebagai penghargaan terhadap pengorbanan ini supaya Kerajaan Persekutuan memberikan (Kedah) pampasan sebanyak RM200 juta, sepatutnya lebih daripada itu,” katanya pada sesi Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, Ku Abd Rahman berkata, pihaknya menekankan soal kepentingan aspek pelaburan kepada semua negeri kerana ia boleh mewujudkan banyak pekerjaan selain hasil premium tanah yang tinggi dapat dikutip, iaitu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding cukai pertanian.

    Katanya, kerajaan Persekutuan juga mendapat manfaat apabila boleh meningkatkan kutipan antaranya cukai korporat dan cukai pendapatan.

    “Bagi negeri pula, Kedah sendiri contohnya berjaya meningkatkan hasilnya kepada kira-kira RM700 juta setahun, berbanding RM400 hingga RM500 juta pada 2008 hingga 2012, yang mana ia disumbang oleh pelaburan.

    “Bagi projek Kedah Rubber City contohnya, Majlis Daerah Padang Terap menerima hasil keseluruhan RM25.5 juta, di mana RM1.1 juta sudah diterima,” katanya.

    Beliau turut menghargai peranan Kerajaan Persekutuan yang mewujudkan ‘One Stop Centre (OSC) for Business Travellers’ ketika pandemik pada Oktober 2020, dengan pendekatan itu berjaya menarik jumlah pelaburan sebanyak RM171.8 bilion kepada negara.

    “Melalui OSC itu ia memudahkan pergerakan bagi tujuan perniagaan dengan mempercepatkan kelulusan kemasukan pelaburan ke Malaysia ketika itu,” katanya.

  • Tiada unsur jenayah kes dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah

    Tiada unsur jenayah kes dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIASATAN dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemukan sebarang unsur jenayah berhubung dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah sebelum ini.

    Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, siasatan dijalankan pihaknya mendapati kes tersebut lebih kepada aspek pematuhan prosedur berkaitan penyampaian dana bantuan tersebut.

    Sehubungan itu beliau berkata, SPRM mengemukakan cadangan kepada kerajaan neger untuk menambah baik prosedur tersebut.

    “Selesai saja melakukan siasatan, hasilnya telah dihantar kepada pihak pendakwaan ibu pejabat.

    “Penilaian dilakukan mendapati itu bukanlah kes jenayah sebaliknya lebih kepada aspek pematuhan prosedur. Disebabkan itu , tiada pertuduhan jenayah dibuat.

    “Sebaliknya pihak kami telah menghantar cadangan kepada kerajaan negeri agar penambah baikan prosedur tersebut dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis persaraannya di Pejabat SPRM Kedah di sini, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan mengenai siasatan dijalankan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana tersebut yang didakwa turut melibatkan seornag exco Kedah.

    Beberapa pihak termasuk exco terlibat turut dipanggil dan memberi kerjasama bagi siasatan kes tersebut.

  • Kedah hargai PM lulus peruntukan naik taraf dua jeti di Langkawi

    Kedah hargai PM lulus peruntukan naik taraf dua jeti di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membiayai kos menaik taraf kemudahan Jeti Kuah dan Jeti Pulau Tuba di Langkawi.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan itu sudah pun diterima oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Disember 2022.

    “Kerajaan negeri akan memastkan kerja-kerja menaik taraf kedua-dua jeti itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Langkawi.

    “Sesunguhnya peruntukan ini amat diperlukan bagi memulihkan semula ekonomi pulau bebas cukai yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19 pada 2020 hingga 2021,” katanya.

    Tambahnya, pembangunan jeti itu amat memberi makna kepada penduduk Langkawi khususnya yang sering berulang alik ke tanah besar atas pelbagai urusan.

    “Semoga keprihatinan ditunjukkan ini akan diteruskan dalam pelbagai urusan lain bagi mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan atas semangat dan prinsip federalisme yang tulen,” katanya.

  • Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    KEPUTUSAN Kedah untuk menutup operasi premis judi di negeri itu dijangka tidak akan mendatangkan sebarang impak negatif atau menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata pakar ekonomi.

    Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah itu dipercayai hanya akan memberi impak minimum terhadap ekonomi negeri utara itu memandangkan golongan bukan Islam yang menetap di Kedah dianggarkan kurang daripada 300,000 orang.

    Selain itu katanya, daripada jumlah terbabit, mungkin kurang daripada 50,000 dikategorikan sebagai pelanggan pusat perjudian di negeri itu.

    “Hasil daripada cukai taksiran dan permit perniagaan boleh digantikan dengan perniagaan lain.

    “Oleh itu, tiada impak kepada hasil kerajaan negeri dan pelabur tidak melihat industri perjudian sebagai penting di Kedah yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penutupan operasi premis judi di seluruh negeri itu bermula Januari 2023 selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi.

    Langkah ini mengikut jejak daripada Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan sama.

    Keputusan itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat yang mana golongan Islam terutamanya amat menyambut baik tindakan itu.

    Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk parti DAP yang memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan tersebut.

    Menurut setiausaha DAP negeri itu, Teh Swee Leong, tindakan kerajaan negeri dijangka akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia mampu menggalakkan aktiviti perjudian haram.

    Menjawab kepada ulasan ini, Sanusi dalam kenyataan terbaharunya kekal dengan pendirian untuk hentikan operasi judi dan loteri di negeri itu meskipun ia mampu meraih jutaan ringgit.

    Mengulas daripada aspek agama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata, tindakan itu adalah tepat dengan ajaran agama yang wajib dilaksanakan pemimpin Islam.

    “Ya wajib. Ini bererti pemerintah wajib berhenti menguruskan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Ditanya sama ada tindakan itu ibarat melanggar hak orang bukan Islam, beliau menjawab “Allah tidak menjadikan perkara haram sebagai hak kepada sesiapa pun”.

  • Kedah kekalkan khidmat JPKK sedia ada – Sanusi

    Kedah kekalkan khidmat JPKK sedia ada – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN Negeri Kedah membuat keputusan untuk meneruskan perkhidmatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sedia ada hingga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 negeri itu berakhir.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun pelantikan dibuat atas kapasiti mewakili parti politik masing-masing tetapi tugas menunaikan amanah dilaksanakan atas nama kerajaan negeri.

    Katanya, langkah serupa turut melibatkan Ahli-Ahli Majlis yang akan kekal berkhidmat sehingga berakhir tempoh penggal DUN Kedah yang akan terbubar sendiri pada 7 Julai tahun depan.

    “Saya tidak kisah untuk anda pakai baju (parti) apa tetapi dalam melaksanakan amanah, haruslah mengikut dasar-dasar kerajaan negeri yang melantik kita.

    “Sekali lagi saya umumkan, di pihak kerajaan negeri, tidak ada pemecatan JPKK. Kalau pun ada arahan daripada pihak lain (parti yang diwakili) yang mengarahkan seseorang ahli JPKK meletak jawatan atas sebab mereka sudah tidak bersama dengan kita (Perikatan Nasional), anda diberi pilihan sama ada nak letak jawatan atau kekal.

    “Andai kata selepas bulan ini, Kerajaan Persekutuan buat dasar baharu melantik jawatankuasa pengurusan kampung yang lain, tak mahu pakai JPKK yang kita lantik kerajaan negeri tetap akan teruskan khidmat JPKK sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau membuat keputusan itu kerana tidak mahu berlaku sebarang perpecahan dalam masyarakat jika ada pelantikan baharu sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

    “(JPKK) yang duk ada ini kita akan terus iktiraf dan guna pakai.

    “Bagaimanapun saya harap ini tidak akan berlaku (sebaliknya) apa yang saya harap Kerajaan Persekutuan tambah elaun JPKK sedia ada,” katanya.

  • Banjir: Kedah sumbang RM200,000 kepada Kelantan, Terengganu

    Banjir: Kedah sumbang RM200,000 kepada Kelantan, Terengganu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRIHATIN dengan bencana dihadapi Kelantan dan Terengganu, kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk memberikan sumbangan berjumlah RM200,000 bagi membantu meringankan beban dihadapi kedua-dua negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan untuk memberikan sumbangan itu dibuat menerusi mesyuarat Exco dipengerusikannya semalam.

    Katanya, kedua-dua negeri itu masing-masing akan menerima RM100,000 sumbangan kerajaan negeri Kedah.

    “Selain itu sebanyak empat kontena berisi 24,000 beg beras serta bahan makanan asas akan dihantar ke kedua-dua negeri tersebut.

    “Beras serta bahan makanan asas itu adalah sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, penghantaran sumbangan makanan tersebut akan dibuat sebaik keadaan mengizinkan.

    Ratusan ribu rakyat di Terengganu dan Kelantan dilaporkan terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

  • Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

    Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin saman difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya tidak akan menjadi penyebab kepada kerajaan Kedah dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan.

    Muhammad Sanusi berkata, tindakan Anwar mengemukakan saman terhadapnya adalah urusan peribadi kedua-dua mereka dan langsung tidak ada kaitan dengan hubungan antara kerajaan negeri serta Persekutuan.

    “Kes saman itu melibatkan Anwar Ibrahim dengan Sanusi. Saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab yang menjadi punca kepada ‘pemisahan’ antara negeri dan Persekutuan.

    “Semua itu tak perlu kerana apa yang berlaku adalah antara saya dengan Anwar. Kalau beliau ambil perkara itu untuk menganak tirikan Kedah, saya rasa beliau koyaklah.

    “Panas tak apa, jangan koyak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Alor Setar.

    Kelmarin, Anwar memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung ucapan berbaur fitnah yang didakwa dilafazkan dalam kempen ceramah Jelajah PN Best di Tambun, Perak.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyatakan kesediaan untuk berdepan Anwar di mahkamah tanpa menunjukkan sebarang keinginan untuk meminta maaf.

    Dalam pada itu, ditanya pandangannya mengenai isu empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Muhammad Sanusi berkata, semua pihak harus menunggu keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

    “Saya pun tak tahu siapa yang akan buat keputusan kerana ada yang kata jawatan ahli Parlimen mereka itu gugur dan ada yang kata tidak. Saya tak tahu siapa nak buat keputusan itu, mungkin mahkamahlah agaknya.

    “Kerana mereka melompat ‘pergi’ kepada kerajaan dosanya kurang tetapi kalau lompat ke pembangkang, dosanya mungkin besar. Sebab kita berada dalam majlis sastera, macam itulah jawapannya,” katanya.

  • Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    PAS akan menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai parti berkenaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan bersama menteri besar-menteri besar berkenaan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

    “Tarikh pembubaran DUN akan diserahkan kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

    Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan lepas.

    Pada sidang media kempen Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen Padang Serai semalam, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, selesai.

    Beliau berkata ia adalah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir PN itu mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 Nov lepas.

    Mengulas mengenai kenyataan Shahidan yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata pada masa ini pihaknya sedang melihat kepada perkembangan semasa sejauh mana pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita lihat kepada perkembangan semasa dan reaksi rakyat selepas ini. Usaha untuk menjadi kerajaan itu sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh memikirkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai dan Tioman.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini adalah waktu terbaik kepada gabungan itu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hasil gelombang rakyat yang menyokong mereka.

    Katanya, perkembangan semasa itu juga ditambah dengan kemarahan rakyat terhadap pelantikan barisan menteri Kabinet baru-baru ini.

    “Rakyat menunjukkan rasa marah kepada Kabinet dan marah kepada UMNO. Orang MIC, India pun banyak yang turut marah kerana tidak diberi pengiktirafan (tiada wakil MIC dalam Kabinet).

    “Jadi saya percaya Kedah, Kelantan dan Terengganu ini masa terbaik diadakan PRN selepas selesai pilihan raya di Padang Serai dan Tioman,” katanya selepas program Flash Mob PN di Lunas, di Kulim.

    Shahidan menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN sekali gus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

    “Pernah berlaku di zaman Rasullah selepas habis berlaku peperangan, Rasullah tidak benarkan askar-askar balik ke rumah sebaliknya terus berperang dengan orang-orang Yahudi.

    “Jadi selepas pilihan raya ini saya ingat askar-askar kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini terus dengan PRN saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya.

  • Kedah bentang Bajet 2023 berjumlah RM1.059 bilion

    Kedah bentang Bajet 2023 berjumlah RM1.059 bilion

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH membentangkan Bajet 2023 berjumlah RM1.059 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri itu dengan jangkaan defisit dianggarkan pada kadar 14.17 peratus atau RM104.12 juta.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perbelanjaan mengurus akan diperuntukkan sebanyak RM839.12 juta dengan RM104.04 daripada jumlah itu sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.

    Katanya, bagi tujuan perbelanjaan pembangunan pula kira-kira RM220 juta dianggarkan dalam Bajet 2023 yang memfokuskan tiga strategi utama itu.

    “Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah seperti berikut iaitu Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM89.73 juta dan Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM749.39 juta.

    “Anggaran perbelanjaan ini meningkat sebanyak 1.07 peratus atau RM8.9 juta. Peningkatan yang tidak terlalu ketara ini disebabkan pengurangan jumlah peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun Negeri daripada RM118.04 juta kepada RM104.04 juta.

    “Tangunggan yang tinggi pada tahun 2022 adalah bagi menampung pengambilan tanah bagi Projek Bekalan Air yang telah diluluskan peruntukan bajet tambahan pada 20 Mac lalu berjumlah RM15 juta,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Antara strategi utama tersebut adalah memulihkan dan mencergaskan pertumbuhan ekonomi domestik; meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat serta mengoptimakan teknologi digital dan peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Bajet 2023 juga mencadangkan Anggaran Pembangunan Hutan berjumlah RM8.9 juta dengan Terimaan Hasil daripada Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dijangkakan berjumlah RM4.5 juta.

    “Kutipan Pembangunan Hutan dan Terimaan daripada Pemberian ‘Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT)’ pula berjumlah RM4.4 juta,” katanya.

    Tambahnya, bagi hasil 2023 pula, kerajaan negeri menganggarkan kutipan sebanyak RM735 juta dengan hasil cukai adalah penyumbang terbesar sebanyak RM346.95 juta atau 47.2 peratus daripada jumlah itu.

    “Hasil kedua tertinggi adalah daripada Hasil Bukan Cukai menyumbang 30.33 peratus atau RM222.92 juta. Terimaan Bukan Hasil pula adalah berjumlah RM165.13 juta atau 22.47 peratus.

    “Pecahan hasil mengikut kategori kutipan pula adalah seperti berikut iaitu Hasil Tanah berjumlah RM495.26 juta; Pelbagai Hasil (RM197.4 juta); Hasil Hutan (RM30.34 juta) dan Hasil Daerah berjumlah RM12.03 juta,” katanya.