Tag: kecewa

  • Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

    Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa baginda apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat negara ini dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    Baginda bertitah, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

    Titah baginda, bukannya kepentingan diri sendiri perlu diutamakan sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.

    “Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    “Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titah Sultan Ibrahim.

    Sultan Ibrahim bertitah, sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat yang susah dan gelisah akibat pandemik Covid-19.

    Titah baginda, ini bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan.

    “Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim lagi.

  • Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

    Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

    “Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19 dan telah meninggal dunia.

    “Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

    Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

    Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

    “Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda. – BERNAMA