Tag: kebakaran

  • Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    LEBIH 100 kereta termasuk kereta polis musnah dalam kebakaran di tempat penyimpanan kereta terpakai di Jalan Bendahara, Kampung Temiang di Ipoh pagi tadi.

    Komander Operasi, Mohamad Fadzeli Che Husin ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.30 pagi.

    Beliau berkata, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Kuala Kangsar serta Pasukan Bomba Sukarela dari Pekan Baru, Pasir Pinji dan Menglembu dikerah ke lokasi kejadian.

    Katanya, operasi pemadaman tamat pada 1.34 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa mahupun mangsa terlibat dalam kebakaran itu.

    Menurut Mohamad Fadzeli, anggaran kemusnahan adalah 80 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, seorang pekerja di tempat penyimpanan terbabit S. Raju, 26, berkata, dia ternampak kepulan asap dari jauh dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menghubungi pihak bomba. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 wanita maut dalam kebakaran lima rumah

    [VIDEO] 2 wanita maut dalam kebakaran lima rumah

    DUA wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di Tawau awal pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, mayat Kamisah Mapiasah, 40, dan Sadiah Jabar, 70, ditemukan dalam sebuah rumah jenis dua tingkat.

    “Sepasukan 19 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.53 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang tamat sepenuhnya pada 3 pagi turut dibantu anggota Bomba Komuniti Sri Titingan.

    https://www.tiktok.com/@itsmy20life/video/7108095804509883674?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=kebakaran%20kampung%20titingan&t=1655005382991

    Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. – BERNAMA

  • [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang disahkan maut manakala 46 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan pejabat di bandar Daegu, tenggara Korea Selatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap pada Khamis.

    Kebakaran berlaku kira-kira 10.55 pagi waktu tempatan di bangunan pejabat tujuh tingkat di Daegu.

    Tujuh orang ditemukan maut dan 46 lagi cedera akibat terhidu asap.

    Kira-kira 50 jentera bomba bersama 160 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran.

    Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat. – BERNAMA

  • Polis buru penagih dadah bakar rumah

    Polis buru penagih dadah bakar rumah

    SEORANG lelaki yang dipercayai penagih dadah diburu polis kerana disyaki membakar sebuah rumah di Kampung Keruak di Hulu Besut, di Jertih petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 40an itu dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di sekitar kampung tersebut selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 4 petang.

    “Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dan kes ini sedang disiasat menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

    “Suspek dikatakan mahir dengan selok-belok di dalam hutan di situ menyebabkan usaha memberkasnya berdepan kesulitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam kejadian tersebut, rumah milik Nor Baidi Abdullah, 60, musnah sepenuhnya dipercayai dibakar oleh lelaki itu menggunakan minyak petrol.

    Menurut Nor Baidi, perbuatan suspek itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia 16 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik air sebelum terdengar suatu bunyi mencurigakan.

    “Anak saya terkejut kerana ketika mengintai melalui lubang bilik air, dia ternampak suspek sedang menjirus cecair dipercayai petrol ke dinding rumah sebelum suspek bertindak membaling kain yang dinyalakan api ke salah satu bilik tidur.

    “Kejadian kali ini merupakan perbuatan kali keenam suspek membakar rumah saya termasuk ada sekali suspek membakar kereta saya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, namun kami sekeluarga sempat memadamkan api sebelum merebak pada lima cubaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Nor Baidi berkata, beliau tidak mengetahui motif lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana beliau sekeluarga tidak pernah mengganggunya selama ini. – BERNAMA

  • [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    DERETAN sembilan premis rumah sewa satu tingkat musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, di Dengkil malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam dan anggota tiba di lokasi pada 10 malam dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.

    “Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    https://www.tiktok.com/@rosenieja90/video/7102798888322485531?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=rumah%20sewa%20jenderam%20hilir&t=1653797169712

    Difahamkan, seramai 25 individu tinggal di rumah sewa berkenaan iaitu 20 dewasa dan lima kanak-kanak termasuk warganegara Indonesia dan Pakistan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Hospital terbakar, 11 bayi maut, Menteri Kesihatan dipecat

    [VIDEO] Hospital terbakar, 11 bayi maut, Menteri Kesihatan dipecat

    PRESIDEN Senegal, Macky Sall pada Khamis memecat Menteri Kesihatan, Abdoulaye Diouf Sarr, susulan insiden kebakaran hospital yang mengorbankan nyawa 11 bayi baru lahir.

    Dalam ucapannya di televisyen, Sall menamakan Marie Khemesse Ngom Ndiaye sebagai menteri kesihatan baharu, lapor Agensi Anadolu.

    Ndiaye pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah kesihatan awam.

    Pada Rabu, 11 bayi baru lahir maut dalam kebakaran di unit neonatal Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di Tivaouane yang mencetuskan kemarahan rakyat.

    Sarr, yang berada di Geneva untuk menghadiri perhimpunan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terpaksa memendekkan lawatannya.

    Sementara itu, pihak pendakwa raya memaklumkan siasatan masih diteruskan untuk menentukan punca sebenar kejadian. – BERNAMA

  • [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    SEBUAH feri membawa 124 penumpang dan 10 anak kapal terbakar pada Isnin ketika dalam perjalanan menuju ke wilayah Quezon di Pulau Luzon, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut, lapor Agensi Berita Xinhua memetik jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG).

    Komodor Armand Balilo berkata, kapal Mercraft 2 itu berlepas pada 5 pagi waktu tempatan dari bandar Polillo, di wilayah itu, menuju ke pelabuhan Real sebelum terbakar kira-kira 900 meter dari pelabuhan.

    Kebakaran memaksa penumpang dan anak kapal terjun ke laut, 105 orang berjaya diselamatkan dan enam penumpang dihantar ke hospital.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • 8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

    8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

    LAPAN unit rumah kedai dua tingkat yang menempatkan bengkel kereta, bengkel kimpalan, unit kediaman serta ruang ternakan burung walit, musnah dalam kebakaran di Jalan Industri di Sarikei semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, tindakan pantas pihak bomba membolehkan empat unit rumah kedai yang terletak bersebelahan berjaya diselamatkan dalam insiden pada kira-kira pukul 7 malam itu.

    Beliau berkata, api marak dengan pantas berikutan dinding pemisah ruang dan lantai bangunan rumah kedai itu diperbuat daripada kayu, selain terdapat pelbagai bahan mudah terbakar disimpan di bengkel kereta berkenaan.

    “Satu pasukan dari BBP Sarikei dan satu dari BBP Bintangor telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja pihak kami menerima panggilan pada pukul 7.31 malam. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.33 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 2.48 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, sebuah lori skylift milik seorang pengusaha bengkel berdekatan turut sama membantu dalam usaha pemadaman api bagi menghalang kebakaran itu merebak.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Asrama sekolah agama didiami 43 pelajar terbakar

    [VIDEO] Asrama sekolah agama didiami 43 pelajar terbakar

    SEBUAH asrama Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin Sungai Berteh di Klang terbakar pada pukul 9.30 malam tadi.

    Namun kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kehilangan jiwa kerana semua 43 penghuninya menunaikan solat tarawih.

    Sinar Harian melaporkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 29 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang dikejarkan ke lokasi kejadian

    “Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

    “Operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.

    Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.09 malam dan tidak membabitkan sebarang mangsa.

    “Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

  • Pusat karaoke terbakar di bulan Ramadan, tiga maut

    Pusat karaoke terbakar di bulan Ramadan, tiga maut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI dua lelaki dan seorang wanita ditemukan maut akibat kebakaran yang berlaku di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong dekat Alor Setar, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Mak Barry, 30, Kim Mei Ki, 31 dan Jeffry Tan Wui, 30.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syufaat Kamaron, ketika kejadian premis itu tidak beroperasi namun ketiga-tiga mangsa yang merupakan pelanggan pusat hiburan berkenaan, dikatakan bermalam di situ.

    “Kami dimaklumkan terdapat 11 individu ketika kejadian itu berlaku dengan lapan daripadanya sempat menyelamatkan diri.

    “Mayat ketiga-tiga mangsa tersebut ditemui dalam dua bilik ‘VVIP’ di tingkat bawah premis tersebut,” katanya.

    pusat karaoke
    Anggota bomba cuba masuk ke dalam pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, Kedah yang terbakar dan dipenuhi asap tebal bagi mencari mangsa.

    Beliau menambah, pihak bomba berdepan kesukaran untuk mencari mangsa berikutan asap yang tebal selain terdapat terlalu banyak bilik dalam pusat karaoke itu.

    Syufaat berkata setakat ini pihak polis dan pemilik mengesahkan tiada mangsa lain yang berada di dalam premis dan kerja-kerja akhir sedang dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang dibimbangi akan menyebabkan berlaku kebakaran lagi.

    “Kerja-kerja untuk mengeluarkan asap dari premis berkenaan sedang dilakukan dan pasukan forensik kebakaran bomba juga telah masuk untuk menjalankan siasatan.

    “Mayat pertama hanya dapat dikeluarkan pada pukul 12.39 tengah hari manakala mangsa kedua dan ketiga ditemui pada pukul 12.58 tengah hari dan 1.13 petang.

    “Punca kejadian dan jumlah kerugian setakat ini masih disiasat,” katanya lagi.