Tag: kebakaran

  • Seorang rakyat Malaysia antara korban kebakaran hotel kasino Kemboja

    Seorang rakyat Malaysia antara korban kebakaran hotel kasino Kemboja

    SEORANG rakyat Malaysia antara yang maut dalam kebakaran di hotel kasino di Poipet, Kemboja.

    Wanita berusia 73 tahun dan suaminya warga Thailand maut dalam kebakaran yang berlaku di hotel kasino Grand Diamond City di Poipet, Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada 11.30 malam (waktu tempatan) Rabu.

    Wanita itu, yang namanya dirahsiakan dan suaminya berusia 70 tahun pergi ke Poipet untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan anak perempuannya.

    M. Ramesh, saudara kepada si mati berkata ahli keluarga cuba menghubungi kedua-dua mereka ketika mengetahui tentang kebakaran itu.

    “Mereka kemudiannya dijumpai terkunci di dalam bilik hotel mereka.

    “Kedua-duanya ditemukan mati akibat terhidu asap,” katanya kepada Bernama.

    Ramesh mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan Bangkok atas bantuan menghantar pulang jenazah.

    Wanita itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Thai Islam di Bangkok pada petang Sabtu.

    Pengebumian dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

    Kebakaran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang – 17 warga Thailand, seorang warga Malaysia dan seorang warga Nepal.

    Timbalan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana, Kun Kim berkata kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas, lapor AFP. – BERNAMA

  • Rumah Persatuan Orang Cacat JB terbakar, penjaga melecur

    Rumah Persatuan Orang Cacat JB terbakar, penjaga melecur

    SEORANG penjaga Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru melecur di bahagian badan susulan kebakaran di rumah tersebut di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin, di Johor Bahru pagi tadi.

    Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata lelaki berusia 64 tahun itu melecur 30 peratus badannya dalam kejadian pada 7.53 pagi.

    Beliau berkata ketika kejadian hanya terdapat empat lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan berusia 60 hingga 70-an di rumah itu dan kesemuanya terselamat hasil bantuan orang awam.

    “Operasi pemadaman dilakukan sebaik Pasukan Keluaran Operasi tiba dan rumah jenis separuh kekal itu terbakar 65 peratus.

    “Seorang penjaga melecur 30 peratus di anggota badan, manakala empat OKU cacat penglihatan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya menerusi kenyataan di sini.

    Beliau berkata penjaga terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Kebakaran di Kementerian Kewangan

    Kebakaran di Kementerian Kewangan

    KEBAKARAN yang berlaku di Kementerian Kewangan hari ini sudah dipadamkan, kata laporan.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya berkata, kebakaran di Kementerian Kewangan itu berlaku pada 2.30 petang tadi.

    “Kebakaran itu berpunca daripada sisa pepejal di tapak pelupusan. Ia berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata sumber JBPM Putrajaya kepada Free Malaysia Today.

    Visual kebakaran itu turut tular di media sosial.

    Jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kebakaran itu dan memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.

  • Kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang

    Kebakaran, letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK setempat dikejutkan dengan satu letupan dan disusuli dengan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Pengerang, Kota Tinggi pukul 3.40 petang tadi.

    Menurut PIC dalam satu kenyataan hari ini, anggota Central Emergency and Fire Services Response (CEFS) mereka bertindak pantas memadam kebakaran daripada merebak.

    “Kita dapat memadam kebakaran tersebut sepenuhnya pada pukul 4.50 petang.
    Tiada kemalangan jiwa dan kejadian tidak menjejaskan atau memberi ancaman kepada masyarakat sekitar,” menurut kenyataan berkenaan.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 4.12 petang.

    “Seramai tujuh anggota dengan tiga buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian. Kebakaran melibatkan penyambungan pada saluran paip untuk projek N-OSBL.

    “Pemadaman telah dilakukan anggota CEFS sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dapat dikawal pada pukul 4.23 petang,” katanya.

  • Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    SEORANG warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut dekat Tangkak semalam.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz  berkata kejadian berlaku kira-kira 7.08 malam ketika mangsa Ab Karim Md Aroff, 93, bersama isteri Jibah Md Hussin, 87, berada di dalam rumah mereka.

    Beliau berkata 19 anggota dan aset dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

    “Bagaimanapun setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal itu telah dipadamkan oleh orang awam dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan rumah,” katanya menerusi kenyataan.

    Beliau berkata isteri mangsa yang  mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Rafiah berkata setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA

  • 13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    SEKURANG-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 35 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam penuh sesak di daerah Sattahip, wilayah Chonburi, Thailand awal pagi ini.

    Menurut Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan, kebakaran di kelab malam Mountain B itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi.

    Lapor Bangkok Post, rakaman video menunjukkan orang ramai berlari menyelamatkan diri dan menjerit ketika api sedang marak.

    Ada di antara pengunjung berlari dengan badan mereka sedang terbakar.

    Sembilan lelaki dan empat wanita terbunuh dalam kebakaran itu.

    Ketua Polis Phlu Ta Luang, Kolonel polis, Wuttipong Somjai berkata, kesemua mangsa dipercayai adalah warga Thailand.

    Menurut Komander Polis Chon Buri, Mejar Jeneral Polis Atthasit Kitjahan berkata, kira-kira 40 orang cedera dalam kebakaran itu dengan lapan daripada meecur teruk.

    Premis itu baru dibuka sebulan lalu dan terkenal dalam kalangan belia.Kebakaran dipercayai berlaku semasa pengunjung sedang menikmati muzik mencetuskan situasi berasak-asak.

  • [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    ASRAMA pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas dekat Rembau terbakar 80 peratus tengah hari tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Izwan Md Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 tengah hari dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

    “Kebakaran melibatkan bangunan asrama lelaki di tingkat tiga yang mempunyai kira-kira 10 bilik dan berkeluasan 40×200 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan.

    Sumber video: Akaun TikTok juraizacheyap

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota serta Senawang itu tamat sepenuhnya pada 3.51 petang manakala punca kejadian sedang disiasat. – BERNAMA

  • Dua rentung van bawa diesel terbakar lepas langgar pokok

    Dua rentung van bawa diesel terbakar lepas langgar pokok

    DUA orang rentung apabila van membawa muatan diesel yang dinaiki terbakar selepas merempuh sebatang pokok di tepi Jalan Khong Yit Khim, di Sibu dalam kemalangan kendiri awal pagi tadi.

    Ketua Bomba Zon Sibu, Janggan Muling berkata, akibat kemalangan tersebut kedua-dua mangsa didapati tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dan penumpang van sebelah hadapan.

    Menurutnya, panggilan kejadian tersebut diterima jam 5.10 pagi dan satu pasukan telah digerakkan ke lokasi yang terletak 17 km dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral kira-kira jam 5.27 pagi.

    “Setibanya di lokasi pasukan Bomba mendapati sebuah van dengan membawa muatan minyak diesel dalam tong mengalami kemalangan kendiri dipercayai hilang kawalan menyebabkan van tersebut terbakar seratus peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Gambar: Facebook BBP Sibu Sentral

    Beliau berkata, apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • 8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    8 kenderaan musnah dalam kebakaran hutan

    SEBANYAK lapan kenderaan musnah terbakar dalam kebakaran hutan berhampiran Jalan Nova U5/94A Laman Permai, di Sungai Buloh malam tadi.

    Memetik laporan BH, semua kenderaan terbabit diletakkan di hadapan bengkel berhampiran kawasan itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 malam.

    “Sejurus selepas menerima panggilan, sepasukan 15 anggota bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, didapati berlaku kebakaran hutan yang turut menyebabkan lapan kenderaan terbakar. Operasi pemadaman segera dilakukan hingga kebakaran berjaya dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    SEORANG ibu dan anak perempuannya ditemukan rentung manakala dua lagi lelaki, cedera dalam kebakaran di sebuah rumah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

    Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Musa Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang rentung itu masing-masing berusia 60-an dan 20-an, ditemukan di bilik tidur berlainan tingkat atas rumah banglo tersebut.

    Katanya, kedua-dua lelaki rakyat tempatan yang cedera, telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

    Menurut Musa sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.22 pagi, pihaknya terus menghantar jentera beserta 35 anggota dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

    “Bomba tiba di lokasi pada 6.32 pagi dan mendapati api sangat marak. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.12 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Musa berkata tingkat satu banglo itu, mengalami kemusnahan 100 peratus manakala tingkat dua 50 peratus.

    banglo empat tingkat terbakar bungalow fire Kuala Lumpur
    Anggota-anggota bomba memadam kebakaran di sebuah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pagi tadi. (Gambar: Facebook Bomba Kuala Lumpur)

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata bahawa kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan punca kebakaran masih di dalam siasatan.

    “Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Balai Polis Brickfields di talian 03-22979222, Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – BERNAMA