Tag: keadilan

  • Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

    Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

    ADALAH tidak wajar (mischievous) bagi sesiapa untuk cuba mencemar imej mahkamah menerusi kritikan yang tidak adil, berat sebelah, dan kritikan yang sering kali dibuat semata-mata kerana tidak menyukai suatu keputusan mahkamah tertentu, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Beliau berkata kritikan membina sentiasa dialu-alukan, namun bukannya cubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

    “Tahun lepas, cubaan untuk megertak dan memberi tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes-kes kepentingan awam menjadi semakin ketara. Percubaan ini adalah penghinaan secara langsung kepada kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

    “Mereka sememangnya patut dikecam dan memang ramai yang secara lantang menentang mereka dengan tegas. Tahun lepas, badan kehakiman menjadi sasaran serangan hebat semasa pendengaran kes berprofil tinggi tertentu,” katanya semasa berucap pada perasmian Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di sini, hari ini.

    Menyentuh sistem keadilan jenayah, Tengku Maimun menegaskan bahawa liabiliti jenayah akan terus ditentukan mengikut undang-undang yang terpakai, dan kekuatan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

    “Mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan, dan mereka yang tidak dapat dibuktikan bersalah akan dibebaskan. Tertuduh yang disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman yang setimpal, tidak lebih dan tidak kurang. Ini tugas kami sebagai hakim, dan kami bertekad untuk melaksanakan kewajipan kami tanpa mengambil kira sebarang ancaman yang dibuat bagi menghalangnya.

    “Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, seperti yang sering saya katakan sebelum ini, bahawa kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa niat jahat atau motif, tanpa sebarang tekanan luaran mahupun dalaman, dan tanpa mengambil kira personaliti,” katanya.

    Beliau berkata selagi setiap hakim komited terhadap prinsip-prinsip ini, dan bersatu dalam usaha menegakkan asasnya, beliau yakin kebebasan badan kehakiman akan dipertahankan.

    Beliau seterusnya mengulangi bahawa hakim perlu tegas membuat keputusan serta menulis penghakiman mereka berlandaskan lunas undang-undang, dan bukan kata-kata yang hanya bertujuan mencari populariti.

    “Kami menulis untuk memastikan orang ramai mengikuti perkembangan fungsi kehakiman dan bukan untuk mendapatkan pengesahan daripada orang ramai atau daripada mana-mana pihak lain. Jika hakim memutuskan sesuatu kes berdasarkan apa-apa selain daripada undang-undang atau fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak betul di sisi undang-undang, dan apabila berlaku, hakim itu dilihat gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

    Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum merumuskan pendapat sendiri, dan meletakkan badan kehakiman kepada keadaan difitnah dalam sebarang bentuk.

    Mengulas mengenai komposisi anggota Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, beliau berkata adalah penting bagi kebebasan kehakiman, bahawa proses pelantikan kehakiman harus kekal tidak berpolitik dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan dan pengaruh. – BERNAMA

  • Tommy Thomas, Majlis Peguam enggan beri kerjasama siasatan – Pasukan Petugas Khas

    Tommy Thomas, Majlis Peguam enggan beri kerjasama siasatan – Pasukan Petugas Khas

    BEKAS Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Majlis Peguam enggan memberi kerjasama dalam siasatan terhadap dakwaan kandungan buku memoir My StoryJustice In the Wilderness, demikian menurut laporan dokumen rahsia yang telah diubah statusnya, baru-baru ini.

    Laporan yang disediakan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat 19 dakwaan yang terkandung dalam memoir itu turut mendedahkan bahawa Thomas menerusi surat bertarikh 5 Jan lepas yang dihantar kepada Pengerusi PPK menyatakan dengan tegas bahawa beliau tidak akan memberi kerjasama atau mengambil bahagian dalam prosiding pasukan tersebut.

    PPK memaklumkan Thomas turut mempersoalkan mengenai penubuhan dan kesahihan pasukan berkenaan.

    “Surat beliau adalah berdasarkan tanggapan sendiri bahawa PPK dibentuk untuk menyiasat tindakan beliau menggunakan budi bicaranya sebagai Pendakwa Raya, di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan prosiding yang bersifat jenayah,” menurut PPK dalam laporan itu.

    Buku yang diterbitkan pada atau sekitar 30 Jan lepas telah menimbulkan kekecohan pelbagai pihak mengakibatkan kira-kira 244 laporan dibuat oleh individu mahupun kumpulan terhadap Thomas dan buku itu.

    PPK ditubuhkan sebagai badan siasatan pencarian fakta untuk menjalankan semakan dan analisis mendalam terhadap keseluruhan kandungan buku dan telah mengadakan tidak kurang 37 sesi perbincangan, antara lain untuk meneliti sama ada penerbitan buku itu telah menyalahi atau melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan yang terpakai kepada pejabat Peguam Negara (AG).

    Pasukan itu juga akan menentukan sama ada buku tersebut telah mendedahkan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pengarang, pelanggaran etika profesional, atau kelakuan oleh pengarang.

    Menjelaskan lanjut, PPK berkata pandangan Thomas adalah tidak berasas dan beliau nampaknya telah salah faham tentang peranan dan tugas PPK.

    “Pertama sekali, dalam apa jua keadaan sekalipun, PPK akan bertindak sebagai pengganti kepada penyiasatan jenayah yang sewajarnya oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kuasa siasatan telah dan akan sentiasa terletak di bawah agensi penguatkuasaan mengikut undang-undang yang berkaitan. Agensi penguatkuasaan mungkin merujuk kepada laporan kami sebagai asas untuk memulakan arahan khusus dalam penyiasatan mereka namun mereka sepenuhnya boleh bertindak atas budi bicara mereka.

    “Kedua, kami tidak menyiasat TSTT (Tan Sri Tommy Thomas). Kami sedang menyiasat kandungan buku seperti yang didedahkan oleh beliau dan menyiasat sama ada pendedahan beliau itu telah membuktikan prima facie atau sebarang pelanggaran undang-undang,” menurut laporan itu.

    Mengenai Majlis Peguam, PPK menyatakan bahawa badan bebas itu dijemput untuk memberikan perspektif mereka tentang beberapa perkara yang didedahkan dalam buku itu, khususnya berkaitan pelantikan hakim, dakwaan ketidakcekapan undang-undang komersial di Mahkamah Rayuan, dan profesional. etika.

    “Bagaimanapun, kami kesal kerana Majlis Peguam Malaysia, melalui setiausahanya, menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk mengambil bahagian, kerana mereka tidak dapat mengesahkan atau mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh TSTT dalam buku itu,” katanya.

    Perkara ini merupakan antara butiran dalam dalam laporan setebal lebih 200 muka surat itu.

    Penerbitan laporan yang kini boleh diakses di laman web Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri itu disiapkan kira-kira seminggu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengarahkan ia didedahkan kepada umum.

    Sebelum ini, Ismail Sabri juga dilaporkan meminta agar bekas Peguam Negara itu disiasat atas kesalahan menghasut dan pelbagai kesalahan lain seperti yang disyorkan dalam laporan PPK. – BERNAMA

  • Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

    Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

    Memetik laporan Astro Awani, baginda bertitah, sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

    “Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

    “Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda.

    Prinsip keadilan menurut Islam, titah Al-Sultan Abdullah, adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

    Berpandukan atas prinsip yang sama, Mahkamah Syariah juga, titah baginda, harus bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama melibatkan kes kekeluargaan.

    Titah Al-Sultan Abdullah lagi, akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa.

    “Maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.

    “Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah sebilang masa mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.

    “Hakim-Hakim Syarie hendaklah memastikan kes-kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.

    Terdahulu, baginda berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.

    Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Kompleks yang siap dibina sepenuhnya pada 23 September 2021 itu menelan belanja kira-kira RM44.75 juta.