Tag: keabsahan

  • Pelantikan Ismail Sabri tamatkan isu keabsahan kerajaan baharu

    Pelantikan Ismail Sabri tamatkan isu keabsahan kerajaan baharu

    RIZQI ZABIDI

    Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan seharusnya menamatkan terus isu keabsahan kerajaan baharu yang dibakal dibentuk di negara ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua pihak diharap tidak lagi membangkitkan perkara itu.

    “Semua pihak diharap dapat menjalin permuafakatan jitu dengan penuh tanggungjawab untuk memberi tumpuan terhadap usaha membawa rakyat segera keluar dari krisis yang telah membelenggu kita selama hampir dua tahun.

    “Semoga pentadbiran baharu negara ini sentiasa beroleh petunjuk, rahmat dan keberkatan Allah SWT selain dihindari daripada musibah yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

    Pelantikan itu dibuat setelah baginda mendapat pengesahan daripada 114 Ahli Dewan Rakyat yang bersetuju untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera tersebut sebagai Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan kecekapan baginda menyelesaikan konflik politik dalam waktu singkat.

    “Kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri yang telah mendapat perkenan baginda untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    “Pengharagaan juga dirakamkan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sepanjang menerajui pentadbiran negara terutamanya melibatkan kerja keras serta komitmen beliau mengemudi kerajaan menangani Covid-19,” katanya.

  • Keabsahan kerajaan PN Johor bakal ditentukan pada sidang DUN Khamis depan – MB

    Keabsahan kerajaan PN Johor bakal ditentukan pada sidang DUN Khamis depan – MB

    Oleh:Bernama

    KEABSAHAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Johor hanya akan ditentukan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Khamis hadapan, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

    Beliau menyifatkan persidangan DUN yang dijadualkan pada 12 Ogos ini, sebagai platform yang sesuai untuk membincangkan sebarang perkara berbangkit dengan kehadiran 56 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    “Macam kenyataan saya terdahulu, kita akan terus menjunjung demokrasi di Johor ini tetapi kita juga tahu bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan undang-undang di negeri ini, adalah menjadi asas kepada sebarang keputusan dan tindak tanduk kita.

    Jadi melihat kepada perkembangan, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen seperti mana yang dititahkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    Ahli-ahli Parlimen sudah diberi mandat untuk membuat keputusan, jadi saya tidak mahu menyentuh tentang pendirian Ahli-ahli Parlimen dan sebagainya tetapi sebagai ketua kerajaan (negeri), saya merasakan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ini, boleh kita bincangkan di Dewan Negeri bila kita bersidang untuk menentukan juga keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi swasta di KPJ Abdul Samad, di sini, hari ini.

    Justeru, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata tiada keperluan bagi UMNO Johor ataupun Barisan Nasional Johor untuk membuat sebarang keputusan buat masa ini berhubung isu-isu berbangkit termasuk sokongan ke atas Perdana Menteri.

    “Di situlah (sidang DUN) saya rasa platform yang sesuai untuk kita mengambil satu keputusan berkaitan dengan isu-isu berbangkit…jadi perkara yang disebutkan (kenyataan Bersatu Johor) kalau ia bersifat politik, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk UMNO negeri ataupun BN Johor membuat sebarang keputusan.

    Tentang kedudukan sokongan terhadap PM ke apa ke, itu semua akan kita akan (jelaskan) pada persidangan DUN nanti. Saya sendiri akan membuat pendirian terhadap perkara yang berbangkit itu,” kata Hasni, yang juga ADUN Benut itu.
    Setakat ini, Hasni mengesahkan kehadiran Muhyiddin, yang juga ADUN Gambir itu, ke sidang DUN.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam yang mahukan UMNO Johor membuat pendirian mengenai isu sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

    Johor kini dipimpin PN Johor dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.
    Kerajaan negeri diterajui UMNO Johor dengan 14 kerusi, Bersatu dengan 12 kerusi, MIC dua dan Pas satu kerusi manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan) dan PKR empat kerusi.- BERNAMA