Tag: KDN

  • Penjara silap hantar mayat, KDN akui terdapat kecuaian

    Penjara silap hantar mayat, KDN akui terdapat kecuaian

    KEMENTERIAN Dalam Negeri mengakui terdapat elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam kejadian kesilapan tertukar identiti banduan yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pada 3 Mac lepas.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehubungan itu, pihaknya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa lembaga siasatan serta merta bagi menyiasat perkara berkenaan.

    “Tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap aspek kecuaian, kita akan sentiasa mengambil langkah terbuka dalam penambahbaikan sistem identifikasi ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam kejadian berkenaan sebuah keluarga yang sedang melakukan persediaan untuk menyemadikan mayat anak mereka terkejut, apabila dimaklumkan bahawa anak mereka masih hidup oleh Penjara Sungai Buloh.

    Kejadian itu menyebabkan keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan pihak penjara sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada 4 Mac

    Saifuddin Nasution turut memberitahu, pihaknya bersedia membayar pampasan terhadap perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh keluarga berkenaan bagi urusan menyemadikan mayat, yang dianggarkan berjumlah RM20,000 dalam masa 48 jam.

    Sementara itu menyentuh mengenai isu pengecualian yang diberikan kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, Saifuddin berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Menteri tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.

    Beliau berkata akta berkenaan yang mengawal tugas hakiki ROS, iaitu memastikan mana-mana pertubuhan mematuhi perkara dalam undang-undang tubuh dan melindungi kepentingan ahli dalam pertubuhan.

    “Seksyen 70 Akta itu memberi secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian, dan keputusan yang saya buat terarah kepada pengecualian pematuhan Seksyen 13 Akta yang sama,” katanya

    Saifuddin Nasution berkata jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan berasakan menteri melampaui batas kuasa, dia boleh membawa isu itu ke mahkamah.

    “Sebelum saya memberikan pengecualian berkenaan, saya telah menerima pandangan-pandangan daripada pihak yang berkenaan,” katanya.

    Terdahulu Saifuddin Nasution dalam kenyataannya berkata KDN telah memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.- BERNAMA

  • KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KDN teliti dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin di KL

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik seorang warga Palestin seperti dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika benar ejen Mossad memasuki Malaysia.

    Katanya, kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

    Beliau berkata, jika terdapat mana-mana rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

    “Sesiapa saja yang masuk ke negara kita, mereka perlu ada dokumen sah. Jadi, bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

    “Akhirnya, kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Terdahulu, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa perisik Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percaya merupakan aset Briged Hamas al-Qassam baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, tindakan perisik terbabit menyesuaikan taktik supaya tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka dan aset tempatan dipercayai direkrut untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

    Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas pukul 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

    Pada 2018, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi Mohammad Al-Batsh yang merupakan warga Palestin ditembak mati individu dipercayai ejen Mossad.

  • 20,000 permohonan PVIP dalam tempoh 24 jam

    20,000 permohonan PVIP dalam tempoh 24 jam

    SEBANYAK 20,000 permohonan diterima oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi ejen dalam tempoh 24 jam pelancaran fasa pertama Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, Khamis lalu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pada fasa pertama, kerajaan menetapkan tidak lebih daripada 25,000 permohonan.

    Beliau berkata  Kabinet sebelum ini bersetuju agar pemohon perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM200,000 sekali sahaja serta yuran RM100,000 sekali sahaja akan dikenakan untuk setiap tanggungan.

     “Jika menerima pemohonan menggalakkan, kita mungkin akan menaikan kadar yuran pada fasa berikutnya,” katanya kepada pemberita  selepas perasmian Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN), Pusat Koreksional Perlis, hari ini.

    Pelaksanaan PVIP Malaysia dilihat mampu membawa masuk pelaburan ke negara ini dengan menarik hartawan global menetap dan melabur di negara ini.

    Mengenai program MEKAR, Zainudin berkata ia memudahkan urusan masyarakat Siam di negeri itu menukar maklumat keturunan dalam kad pengenalan daripada bangsa Thai kepada Siam bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang sama seperti bumiputera.

     Katanya, dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), maklumat kad pengenalan seramai  8,910 penduduk Siam adalah keturunan  bangsa Thai.

     Beliau berkata masyarakat Siam di Kedah, Kelantan, Perak dan beberapa negeri lain diminta untuk menguruskan permohonan kad pengenalan baharu di pejabat JPN berhampiran kediaman masing-masing.

    Program tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Persatuan Siam Malaysia, Senator Ak Nan a/l Eh Took.- BERNAMA