Tag: KBS

  • Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

    Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan siasatan ke atas jurulatih yang menampar dua pemain remajanya ketika satu kejohanan di Johor.

    Menterinya, Hannah Yeoh menerusi catatan Twitter berkata, ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    “@KBSMalaysia akan meneruskan siasatan bebas kami kerana ini bukan mengenai seorang jurulatih atau dua pemain, tetapi duluan yang akan kami tetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

    “@FadhlinaSiddiq dan saya sedang meneliti perkara ini bersama. Terima kasih,” katanya merujuk menteri pendidikan itu, lapor Free Malaysia Today.

    Klip video yang tular di media sosial menunjukkan jurulatih itu menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

    Tindakannya mengundang kemarahan ramai, termasuk Yeoh yang berkata, perbuatan itu salah.

    Semalam, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam berkata, jurulatih itu sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit untuk memohon maaf.

    Hari ini, bapa salah seorang pemain itu dilaporkan berkata, beliau sudah memaafkan jurulatih itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

    Sementara itu, pasukan bola tampar wanita B14 Melaka tampil menyokong jurulatih mereka. Dalam catatan Twitter, mereka menggesa warganet berhenti menularkan insiden itu di media sosial.

    “Henti viralkan isu ini kerana kami sayang jurulatih kami. Biarkan kami yang menilai baik dan buruknya. Kami sentiasa berdiri teguh di belakang jurulatih dan pasukan kami kerana kami pasukan Melaka.”

  • Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    MALAYSIA diyakini sedang bergerak seiring negara luar, dalam memberi ruang kepada anak muda untuk menyandang jawatan penting organisasi termasuk pentadbiran kerajaan.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata anak muda sewajarnya diberi peluang dan dididik sebaik mungkin agar wujud generasi atau pelapis berkaliber pada masa akan datang.

    “Apabila kita cakap tentang kepimpinan muda, setiap daripada kita perlu mainkan peranan dalam mengasuh anak-anak kita.

    “Kita mesti bina generasi baharu yang jauh lebih hebat daripada kita,” katanya pada forum bertajuk ‘Kecemerlangan Kepimpinan’ yang diadakan sempena Forum Eksekutif Muda Global 2022 anjuran Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

    Beliau berkata seorang pemimpin perlu jujur dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, sedia mendengar dan sedia untuk diajar, selain menyusun pandangan yang diterima mengikut keutamaan.

    Memberi contoh dalam mengemudikan Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, Radzi berkata beliau menggunakan pendekatan berstruktur yang akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kepada pelajar sekolah.

    “Perubahan adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua. Sebab itu pemimpin kena berani bawa perubahan tapi berasas, berani berdasarkan maklumat yang tepat dan objektif yang jelas,” katanya merujuk kepada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

    Katanya setiap perubahan yang dilakukan KPM, termasuk kedua-dua ujian itu, telah melalui pelbagai proses perbincangan teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan dan tidak dibuat secara tergesa-gesa seperti yang didakwa ramai pihak. – BERNAMA

  • Belanjawan 2023: Perkasa belia, hidupkan industri sukan fokus KBS

    Belanjawan 2023: Perkasa belia, hidupkan industri sukan fokus KBS

    MEMPERKASA golongan belia dengan program-program pembangunan dan menghidupkan industri sukan, merupakan antara fokus Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan 2023.

    Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan menerusi KBS sentiasa berusaha untuk memastikan masa depan rakyat khususnya belia terjamin.

    “Belanjawan diputuskan di peringkat Kementerian Kewangan, namun usaha KBS ialah untuk menghidupkan industri sukan, apabila kita membudayakan sukan melalui Liga Sukan Malaysia, Malaysia Litte League dan banyak lagi, maka limpahan ekonomi kepada negara menjadi lebih besar.

    “(Selain itu) program seperti Malaysia Future Leaders School (MFLS) pula dapat menyemarakkan potensi belia sebagai pemimpin, pendedahan tentang tanggungjawab mereka melalui Undi18 dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stadium Mini Arena Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

    Ahmad Faizal berkata pihaknya juga mahu memperhebat pembangunan e-sukan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, selain program-program pembangunan belia.

    Belanjawan 2023 dijangka dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt ini.

    Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata belanjawan kali ini antara lain akan memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia, selain mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.- BERNAMA

  • Kelonggaran aktiviti sukan, rekreasi hanya untuk PPN Fasa Tiga – KBS

    Kelonggaran aktiviti sukan, rekreasi hanya untuk PPN Fasa Tiga – KBS

    Oleh:Bernama

    KELONGGARAN bagi semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak melibatkan sentuhan fizikal hanya diberikan kepada kawasan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), jelas Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Justeru menurut KBS hebahan infografik yang mendakwa semua aktiviti sukan individu dibenarkan seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

    Setakat ini, hanya Perlis, Sarawak dan Labuan telah memasuki Fasa Tiga PPN.

    “KBS memandang serius tentang penularan infografik palsu dan mengelirukan orang awam ini.

    “Sila rujuk infografik tepat yang hanya dikeluarkan KBS atau layari http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi selain terus ke laman rasmi Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my,” menurut kenyataan dikeluarkan di Facebook KBS hari ini.

    Terdahulu, tular hebahan infografik di media sosial yang mengelirukan orang ramai berhubung prosedur operasi standard (SOP) am sektor sukan dan rekreasi yang hanya dibenarkan bagi Fasa Tiga PPN.

    Ia membabitkan aktiviti sukan dan rekreasi seperti jogging, senaman, badmiton, tenis, golf, permotoran, mendaki, renang, ski jet, taichi, berbasikal, skateboarding (papan selaju), ekuestrian, tenpin boling, memanah dan gimnasium dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam. – BERNAMA