Tag: katil

  • Penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di Selangor turun 35 peratus

    Penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di Selangor turun 35 peratus

    KADAR penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 di Selangor kini sudah menurun sehingga 35 peratus sehingga semalam.

    Memetik Harian Metro, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, data daripada Bilik Gerakan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu diperolehi bagi tempoh 1 Ogos sehingga semalam.

    “Kadar penggunaan katil (BOR) pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus dalam masa 28 hari di bulan Ogos.

    “BOR pesakit Covid-19 pada 1 Ogos lalu adalah sebanyak 101 peratus, manakala pada 28 Ogos menurun kepada 65 peratus.

    “Ini kadar secara keseluruhan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

    Dr Sha’ari berkata, jumlah peratusan pesakit bagi kategori 5 dan 4 juga sudah menunjukkan penurunan berbanding kategori 1 hingga 3.

    “Bagi kategori 5, kira-kira 8.5 peratus pada sepanjang bulan Ogos, manakala pesakit dalam kategori 4 menunjukkan penurunan drastik dari 49.2 peratus pada 1 Ogos kepada 26.6 peratus pada 27 Ogos, iaitu pengurangan sebanyak 23 peratus.

    “Bagaimanapun kategori 3 menunjukkan peningkatan sebanyak 15.9 peratus dari 1 Ogos sehingga 27 Ogos.

    “Pada masa yang sama, pesakit kategori 2 menunjukkan peningkatan 5.7 peratus dan pesakit kategori 1 menunjukkan peningkatan 1.1 peratus di sepanjang bulan Ogos,” katanya.

    Mengulas perkembangan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pula katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat menunjukkan penurunan sebanyak 46.6 peratus dari 1 Ogos hingga 20 Ogos.

  • Kapasiti wad Covid-19 HSI akan ditingkatkan kepada 44 katil – Hasni

    Kapasiti wad Covid-19 HSI akan ditingkatkan kepada 44 katil – Hasni

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan meningkatkan kapasiti katil di wad COVID-19 Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini kepada 44 katil, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad. 

    Hasni menerusi hantaran dalam laman Twitter berkata kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI turut akan ditambah baik.

    “(Kapasiti) hospital kluster di Mersing dan Kota Tinggi juga akan dimaksimumkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian susulan baru-baru ini, tular di media sosial seorang pengguna Facebook mendakwa HSI kekurangan kapasiti menampung pesakit COVID-19 sehingga menyebabkan pesakit terpaksa ditempatkan di khemah dan hanya tidur di atas kerusi.

    Untuk rekod, kapasiti katil di wad COVID-19 HSI sedia ada setakat ini berjumlah 28 katil.

    Pada 2 April tahun lepas, HSI dilaporkan telah mendirikan sebuah khemah tertutup dilengkapi penyaman udara di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma bagi menambah baik Pusat Saringan COVID-19 yang juga disebut ‘Kem COVID’ dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan antara perawat dan pesakit.

    Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu menghadap baginda hari ini berhubung tular di media sosial bahawa HSI kekurangan kapasiti untuk menampung pesakit, baru-baru ini.

    Tunku Ismail menerusi hantaran dalam laman Twitter bertitah akan mendapatkan laporan yang lebih lengkap berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

    “Saya telah titah Pengarah JKNJ menghadap. Esok (hari ini) saya akan dapat laporan yang lebih lengkap dan akan ambil tindakan sewajarnya,” titah baginda.

    Johor merekodkan 1,425 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri ini sebanyak 109,337 dengan 1,303 kematian.- BERNAMA