Tag: kata Zeti

  • BNM seakan ‘dibiarkan dalam kegelapan’, kata Zeti

    BNM seakan ‘dibiarkan dalam kegelapan’, kata Zeti

    BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz membuatkan mereka yang berada di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak bangun dari kerusi masing-masing apabila memberi kenyataan mengejutkan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.

    Bekas pegawai bank itu mendedahkan bagaimana BNM seolah-olah ‘disembunyikan dalam kegelapan’ berhubung pemindahan AS$700 juta daripada akaun dana kekayaan negara ke dalam syarikat swasta dikatakan milik ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Ketika membaca pernyataan saksi setebal 17 muka surat, Zeti yang hadir dengan memakai baju kurung berwarna biru berkata, pada 16 Januari 2015, BNM telah menulis kepada Najib berhubung kebimbangan terhadap 1MDB dan bagi mendokumentasikan potensi implikasi yang signifikan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.

    Zeti berkata, BNM telah menerima pendedahan secara sulit pada 13 Mac 2015, melibatkan entiti asing yang telah memindahkan sejumlah besar dana kepada entiti yang memberi keuntungan kepada Jho Low.

    Susulan itu, bagi mendedahkan maklumat tersebut, beliau yang hadir ke mahkamah selaku saksi pendakwaan ke-46, berkata, pertemuan dengan Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ketika itu), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dibuat masing-masing pada 19 Mac dan 21 April 2015.

    Pendedahan itu, katanya, turut menyentuh isu bahawa Jho Low merupakan pemilik yang mempunyai kepentingan dalam akaun yang menerima AS$700 juta daripada 1MDB pada 30 September 2009.

    Pada 9 Jun 2015, beliau berkata, Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail hadir dalam mesyuarat yang turut dihadiri Abu Kassim, bagi membincangkan siasatan kes mengenai 1MDB.

    Bagaimanapun, pada 27 Julai tahun sama, pasukan itu ditamatkan perkhidmatannya apabila khidmat Abdul Gani selaku AG ditamatkan, lapor Sinar Harian.

    Zeti berkata, pada 13 Ogos tahun itu, BNM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanan 1MDB.

  • Keluarga saya tidak pernah ambil dana 1MDB, kata Zeti

    Keluarga saya tidak pernah ambil dana 1MDB, kata Zeti

    BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberi keterangan bahawa keluarganya tidak pernah mengambil wang daripada dana kekayaan negara bermasalah 1MDB.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, semasa perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan RM2.28 bilion ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, lapor Malaysiakini.

    Akram: Sepanjang episod 1MDB ini, adakah kamu atau mana-mana ahli keluarga menerima apa-apa faedah daripadanya?

    Zeti: Tiada seorang pun dalam keluarga saya pernah menerima atau mengambil wang 1MDB. Tiada satu sen pun.

    Pada 24 Februari tahun lalu, suami Zeti, Tawfiq Ayman melahirkan rasa terkejut berhubung dakwaan rasuah oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner terhadapnya.

    Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Tawfiq mendakwa keterangan bekas jurubank itu di Mahkamah Daerah Timur New York adalah tidak benar.

    Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan mahkamah berkaitan 1MDB yang sedang dijalankan terhadap seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng di Amerika Syarikat.

    “Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat terhadap saya oleh Leissner, yang telah dilaporkan dalam media.

    “Saya tidak mengenali Leissner atau Ng dan saya juga tidak pernah bertemu, dan tidak pernah berkomunikasi dengan mereka.

    “Saya ingin menyatakan secara mutlak bahawa sepanjang hidup saya, saya tidak pernah menerima sebarang rasuah daripada sesiapa.

    “Memandangkan prosiding sedang berlansung di New York, saya telah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang ulasan lanjut kerana ia mungkin melibatkan subjudis.

    “Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat terhadap saya,” kata Tawfiq.

    Pasukan peguam Najib berulang kali mendakwa bahawa keluarga Zeti telah menerima dana 1MDB melalui beberapa syarikat di Singapura.

    Perbicaraan jenayah itu dijalankan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

    Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    Perbicaraan akan bersambung semula pada 14 Ogos.