Tag: kata Zahid

  • UMNO akan sokong calon MB Kedah dipilih Anwar, kata Zahid

    UMNO akan sokong calon MB Kedah dipilih Anwar, kata Zahid

    UMNO akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang penting ketika ini adalah keserasian antara gabungan tersebut.

    “Insya-Allah, siapa pun jadi menteri besar sama ada BN atau PH, siapa yang Datuk Seri (Anwar) pilih, kami akan sokong.

    “Ini soal lain tetapi yang penting adalah kebersamaan. Apa yang wujud sekarang adalah keserasian dalam kalangan kita,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, di Yan malam tadi.

    Mengulas tangkapan kecurian unsur nadir bumi (REE), Ahmad Zahid berkata, mereka yakin dengan kecekapan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara dalam menangani kes terbabit.

    “Rakyat mahu tengok yang benar itu benar dan batil itu batil supaya rakyat tahu bahawa Kedah dipimpin oleh orang yang menipu rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam program sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terlebih dahulu mendedahkan Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah menerima kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik pada tahun lalu.

    Saifuddin berkata, pendedahan itu hanya permulaan kerana akan ada siri pendedahan dengan dokumen lengkap selepas ini.

  • Kerajaan Perpaduan mampu lepasi PRU16, kata Zahid

    Kerajaan Perpaduan mampu lepasi PRU16, kata Zahid

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

    Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut mampu dicapai sekiranya gabungan politik sedia ada mampu mengangkat idealisme dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Kedudukan kerajaan ketika ini sedang menyaksikan sejarah lakaran terbaharu dalam arena politik yang dibentuk dalam semangat kepelbagaian.

    “UMNO dan Barisan Nasional (BN) meminta jangan lagi pernah menoleh ke belakang, rakyat seluruh negara mahu PM bersama 19 parti yang ada terus memacu Malaysia sebagai negara terkehadapan.

    “Perkara ini dibuktikan, saya saksikan dalam majlis Aidilfitri yang kita hadiri, saya terkejut sebagai rakan lama (politik), kita terpinggir selama 25 tahun dan sekarang kita bersama semula… saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, Kerajaan Madani pasti lepasi PRU16,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    Zahid juga berhasrat agar Anwar mampu mengembalikan semula Malaysia antara yang di hadapan dalam kalangan negara ASEAN.

    Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai soal kejayaan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang tidak akan terbentuk tanpa kerjasama UMNO.

    Ahmad Zahid berkata, meskipun hanya menyumbang 30 kerusi Parlimen namun ia telah menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

    “UMNO dan BN, biarpun 30 kerusi Parlimen, kami adalah pelengkap. Jika Pakatan Harapan (PH) ada 82 (kerusi) tanpa yang 30 tidak ada Kerajaan Perpaduan.

    “Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar, tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Anwar dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menyifatkan perhimpunan yang berlangsung di Dewan Merdeka ini sebagai satu sejarah kerana kesemua 19 parti politik berada di bawah satu bumbung yang sama.

    “Buat apa kita berlawan, kita kukuhkan Kerajaan Perpaduan. 25 tahun lampau di Dewan Merdeka ini menyaksikan insan bersama dengan kita, telah diaibkan, dihina, dan dizalimi. 25 tahun kemudian insan itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

    “Dulu ramai sangat fobia dengan Dewan Merdeka… tapi itu dulu, sekarang realitinya kita bentuk politik baharu, politik Kerajaan Madani.

    “Dulu ada yang memandang warna merah dan biru sangat fobia. Saya ucapkan tahniah kepada sekretariat… tiada perbezaan warna, hanya warna putih,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

  • Agong titah BN sertai kerajaan bukan diterajui PN, kata Zahid

    Agong titah BN sertai kerajaan bukan diterajui PN, kata Zahid

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen gabungan itu supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) ketika kemuncak kemelut politik yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Zahid berkata, tujuannya bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk selepas sebelumnya membuat untuk berkecuali dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk menentukan keputusan akhir.

    “Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN.

    “Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti.

    “BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” katanya, memetik laporan Malaysianow, hari ini.

    Kemelut politik melanda negara apabila kerajaan tidak dapat dibentuk selepas tiada gabungan mendapat majoriti mudah bagi menentukan Perdana Menteri baharu selepas keputusan PRU15 diumumkan.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Pakatan Harapan (PH) terpaksa bersaing untuk membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, kedua-dua mereka mendakwa mempunyai majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

    Kedua-dua mereka dipanggil mengadap oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di mana Muhyiddin berkata 115 akuan bersumpah ahli Parlimen diserahkan kepada Istana Negara.

    Bagaimanapun ditolak istana dan Agong mencadangkan supaya Anwar dan Muhyiddin membentuk kerajaan perpaduan yang ditolak oleh PN.

    Namun, setelah Agong mendapatkan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu, Anwar akhirnya dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu pada 24 November sekali gus mengakhiri kemelut politik selama hampir lima hari dalam negara.