Tag: kata Wan Saiful

  • Isu KWSP bersasar: Anwar buat-buat tak nampak, kata Wan Saiful

    Isu KWSP bersasar: Anwar buat-buat tak nampak, kata Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya ‘buat-buat tidak nampak’ berkenaan permohonan rakyat berkaitan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah lama dilakukan.

    Bagaimanapun ujar beliau, Perdana Menteri dilihat bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada kumpulan rock British, Coldplay yang akan mengadakan konsertnya di negara ini pada November depan.

    Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kagum Awnar yang turut meluangkan masa bersama peminat untuk menonton filem berkenaan dirinya namun tidak mempunyai masa mendengar rintihan rakyat dan solusi daripada badan bukan kerajaan (NGO) berhubung KWSP bersasar.

    “Saya teruja Anwar bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada Coldplay ke negara ini, dalam siri jelajah kumpulan rock itu buat konsert pada November ini. Lama lagi Coldplay nak datang, bukannya esok.

    “Tetapi, saya lagi teruja salam rakyat #kwspbersasar yang memohon prihatin seorang Menteri Kewangan sebelum Coldplay datang Kuala Lumpur pun, dia buat-buat tak nampak,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Beliau mendakwa Anwar gagal menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seperti yang dijanjikan semasa ucapan penggulungan Presiden pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 pada 2022.

    “Bila sudah dapat kuasa, mungkin dia buat-buat tidak nampak atau dia buat-buat lupa. Takkanlah tidak bincang dengan menteri raja formula (Rafizi Ramli) kot. Dulu masa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, raja formula ini bukan main lagi menang bab formula harga minyak.

    “Agaknya, mereka kena jadi pembangkang semula kot,” soalnya lapor Sinar Harian.

  • Guna simpanan KWSP sokong pinjaman bermasalah, kata Wan Saiful

    Guna simpanan KWSP sokong pinjaman bermasalah, kata Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan dalam Akaun 2 untuk menyokong permohonan pinjaman peribadi menimbulkan masalah.

    Jelasnya, isu berhubung perkara itu tiada kaitan dengan umur pencarum dibenarkan membuat pengeluaran, sebaliknya konsep itu sendiri.

    “Konsep digunakan di sini ialah seseorang perlu meminjam daripada bank untuk menyelesaikan sebarang pinjaman (sedia ada) daripada bank.

    “Jadi, sebenarnya pinjaman itu tidak akan dilangsaikan dan ini walaupun pencarum KWSP mempunyai simpanan dalam akaun mereka (untuk berbuat demikian).

    “Ini sebabnya kami tidak setuju dengan idea kerajaan (menggunakan simpanan KWSP untuk menyokong permohonan pinjaman).

    “Konsep ini menjadi ‘komersial’ dan ia hanya menguntungkan bank, bukannya rakyat,” katanya ditemui pemberita di luar Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, perkara tersebut tidak bermasalah jika kerajaan sendiri meminjamkan wang itu melalui agensinya dengan kadar faedah lebih rendah.

    Terdahulu Wan Saiful menemani pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 48, menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

    Noorazlan berjalan lebih 300km dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara untuk menggesa skim pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar.

    Perjalanannya yang bermula 28 Mac lalu tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet serta ahli politik, seperti Wan Saiful dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau yang tiba di Kuala Lumpur semalam, dibawa menaiki kenderaan ke Istana Negara dengan Wan Saiful untuk mengelakkan sebarang masalah dengan pihak berkuasa.

    Noorazlan dijangka dibawa ke Parlimen petang ini untuk menemui Ahli Parlimen lain, lapor FMT.

    Terdahulu, KWSP hari ini mengumumkan ia memuktamadkan mekanisme, terma dan syarat penggunaan simpanan Akaun 2 bagi menyokong permohonan pembiayaan pinjaman peribadi.

    Dana itu berkata, simpanan dalam Akaun 2 akan menjadi asas untuk mendapatkan pembiayaan peribadi menerusi permohonan awal skim ‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun’.

    Skim itu akan membabitkan dua fasa, dengan fasa pertama bermula 7 April ini untuk pencarum berusia 40 tahun ke atas.