Tag: kata Wan Fayhsal

  • BN khianati ahli, pengundi Melayu kerjasama dengan PH, kata Wan Fayhsal

    BN khianati ahli, pengundi Melayu kerjasama dengan PH, kata Wan Fayhsal

    BARISAN Nasional (BN) mengkhianati ahlinya dan pengundi Melayu apabila bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Dalam wawancara bersama BBK Network, beliau mendakwa perbincangan antara kedua-dua gabungan itu telah berlangsung sejak 2020.

    “Mereka panggil diri mereka pelindung kepentingan orang Melayu, (mendakwa) perjuangan mereka adalah untuk orang Melayu dan Bumiputera. Pada perhimpunan agung, mereka kata, ‘Tolak Anwar, Tolak DAP’, dan orang Melayu percaya.

    “Sejujurnya, ramai orang tidak menjangkakannya (kerjasama antara BN dan PH), tetapi bukan kami. Ia benar-benar berlaku. Rundingan itu berlangsung sejak 2020,” katanya.

    Ditanya mengapa pengundi Melayu kini memihak kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding gabungan lain, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan PRU baru-baru ini, Wan Fayhsal berkata, ia disebabkan sokongan kepada kempen PN untuk kerajaan yang “lebih bersih”.

    “Masalah rasuah, seperti yang kita semua tahu, lebih banyak berlaku dalam BN, seperti kita lihat banyak kes mahkamah (melibatkan pemimpin BN),” katanya.

    Beliau berkata, PN tidak boleh menerima ideologi yang “bertentangan dengan asas falsafah politik Melayu”.

    Sebagai contoh, beliau merujuk kepada perkembangan seperti deklarasi Setapak yang meminta pembangkang mengasingkan rakyat kepada golongan “Bumiputera” dan “bukan Bumiputera”.

    Wan Fayhsal juga menolak dakwaan bahawa PN merancang satu lagi Gerakan Sheraton.

    “Tidak salah untuk kami, sebagai pembangkang, berkata (kami bersedia untuk mengambil alih kerajaan),” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen.

    “Terdapat undang-undang anti-lompat, (jadi) anda tidak boleh ubah keadaan. Itu bagus, bukan? Ia memberi kita semacam kestabilan, tetapi, dalam politik, ia adalah seni mustahil.

    “(Contohnya), jika UMNO ada presiden baharu dan beliau memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan, bukankah itu akan menyebabkan kerajaan tumbang? Ya. Adakah ia mematuhi perlembagaan? Ya. Adakah ia sah di sisi undang-undang? Ya,” katanya lapor FMT.

  • Sekularisme tiada tempat dalam politik Melayu-Islam, kata Wan Fayhsal

    Sekularisme tiada tempat dalam politik Melayu-Islam, kata Wan Fayhsal

    AGAMA tidak boleh dipisahkan daripada politik dalam masyarakat Melayu-Islam, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Beliau menegaskan, hal ini kerana agama adalah sebahagian daripada falsafah politik masyarakat Melayu-Islam.

    “Dalam al-Quran dan sabda Nabi, terdapat banyak rujukan mengenainya. Jadi (kita) tidak boleh sekular dalam pendekatan semasa berkempen,” katanya dalam temu bual dengan BFM.

    Beliau ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengurangkan retorik perkauman dan agama apabila berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Ditanya mengapa Bersatu berdiam diri mengenai kenyataan berbaur perkauman dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, Wan Fayhsal berkata komen Hadi sudah ditangani secara dalaman.

    “Kami ada membincangkannya dalam mesyuarat. Kami betulkan mereka (Pas).

    “Sebagai komponen PN, Bersatu cuba sehabis baik untuk menjadi moderator supaya paling tidak, orang ramai tahu kami mendukung negara yang berbilang kaum,” katanya.

    Pada Ogos, kenyataan Hadi bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi punca rasuah mengundang kritikan.

    Catatannya dalam Facebook turut memfokuskan kepada golongan tersebut sebagai majoriti yang terlibat dalam rasuah.

    Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mempertahankan kenyataan Hadi dengan memetik tinjauan sebuah universiti tempatan yang tidak dinamakan yang mendapati 88% daripada 449 orang yang disabitkan kesalahan memberi rasuah antara 2010 dan 2014 terdiri daripada orang bukan Melayu.

    Katanya, daripada jumlah peratusan itu, 57.46% berbangsa Cina, 30.51% berbangsa India dan 12.03% orang Melayu.

    Wan Fayhsal berkata, walaupun kenyataan Hadi berdasarkan kajian akademik, beliau tidak bersetuju dengan generalisasi itu.

    Persampelan kajian itu mungkin bermasalah, katanya yang juga Ahli Parlimen Macang.

    “Tetapi (kenyataan) Hadi ada tujuannya, dari segi membangkitkan isu mengenai, sebagai contoh, kegiatan haram di negara kita,” katanya, lapro SatuBerita.