Tag: kata Tun M

  • PN akan PRN menang 5-1, tapi tak boleh tembus Pulau Pinang, kata Tun M

    PN akan PRN menang 5-1, tapi tak boleh tembus Pulau Pinang, kata Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menang di lima daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.

    Bagaimanapun, katanya, gabungan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diramal tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

    “Saya berpendapat PN mempunyai potensi baik iaitu mereka mungkin menang semua negeri di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), selain di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sebuah majlis di Langkawi, hari ini.

    “Kita dapati bahawa sentimen orang ramai bertukar. Tidak seperti pilihan raya dahulu.

    “Orang Melayu umpamanya berasa curiga tentang masa depan mereka, terutamanya generasi tua, generasi lama kerana mereka lihat kedudukan mereka tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan.

    “Mereka tak dapat petunjuk atau cadangan daripada kerajaan bagaimana untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.

    Ditanya mengenai ramai calon yang dijangka bertanding atas tiket Bebas, beliau berkata, mereka bukanlah calon yang serius.

    “Apa boleh buat orang perseorangan yang jadi calon Bebas? Dia tak boleh buat apa pun. Dia boleh pergi ke Parlimen, bercakap. Tapi tak ada kesan sama sekali.

    “Yang berkesan kalau kita jadi kerajaan. Sebab itu dalam pilihan raya hasratnya nak mendirikan kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat,” katanya.

    Pada sidang media itu, Mahathir juga menjelaskan bahawa kehadirannya dalam program PN sejak kebelakangan ini bukan bermakna dirinya menyertai mana-mana parti.

    Katanya, penampilannya hanya untuk menyokong mereka kerana mempunyai objektif yang sama.

    “Saya hanya hadir untuk perjumpaan. Saya tidak menyertai Pas. Bukan Pas, bukan PN mahu pun Putra. Saya bebas daripada semua parti politik.

    “Mereka (Pas) mempunyai objektif sama dengan saya, jadi saya akan sokong mereka.

    “Kami lihat kerajaan sekarang adalah kerajaan yang dipanggil sebagai kakistokrasi yang tidak tahu bagaimana hendak memerintah. Jadi kita perlu ubah (kerajaan),” katanya, lapor Malaysiakini.

    Mahathir juga pernah bersama Bersatu tetapi kemudiannya dipecat oleh Muhyiddin.

  • Alangkah baik, jika selain pakai tanjak undi calon Melayu, kata Tun M

    Alangkah baik, jika selain pakai tanjak undi calon Melayu, kata Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad meminta pengundi Melayu untuk mengundi calon Melayu terbaik pada pilihan raya negeri akan datang untuk mendirikan kerajaan yang bebas rasuah dan penjenayah.

    Ujar bekas Perdana Menteri itu, ramai orang Melayu sekarang memakai tanjak sebagai cara untuk menunjuk kemelayuan mereka dan menyifatkan tindakan berbangga dengan bangsa adalah baik.

    “Alangkah baiknya jika selain tanjak, orang Melayu juga berbangga dengan mengundi dalam pilihan raya bagi calon Melayu yang terbaik supaya kerajaan yang akan didirikan oleh calon-calon yang menang dapat mendirikan kerajaan yang juga baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini, Dr. Mahathir mahu menganjurkan perhimpunan ‘Proklamasi Orang Melayu’ tetapi kemudian mendakwa rancangan itu disekat pihak berkuasa selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.

    Bagaimanapun, Dr. Mahathir tidak mendedahkan sebarang bukti mengenai dakwaan wujudnya campur tangan pihak kerajaan berkaitan perkara itu.

    Seterusnya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menggerakkan kempen ‘Proklamasi Orang Melayu’ secara dalam talian.

    Sekretariat pergerakan itu dilaporkan berkata, kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu selanjutnya dilaporkan tampil menyatakan sokongan terhadap ‘Proklamasi Orang Melayu’.

    Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, mengundi selepas menerima sogokan tidak menunjukkan kemelayuan.

    “Tidak mengundi atau mengundi kerana sogokan tidak menunjuk kemelayuan yang boleh dibanggakan, kerana hasilnya ialah pemerintahan oleh perasuah dan penjenayah.

    “Pakailah tanjak tetapi undilah dan tentukan kemenangan bagi Melayu yang kuat ke-Melayuan mereka dan mampu mendirikan kerajaan yang boleh kita bangga dengannya,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • GTA bukan parti politik biasa, kata Tun M

    GTA bukan parti politik biasa, kata Tun M

    Gerakan Tanah Air (GTA) bukan parti politik biasa sebaliknya adalah gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik, kata Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Golongan tersebut (rakyat) adalah mereka yang tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

    “Mereka mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara. Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mendakwa, kecewa dengan keadaan politik dalam negara, ramai di antara mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada politik malah ramai pula yang tidak akan mengundi.

    “Malangnya kerana tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,” katanya.

    Jelasnya, dengan keadaan itu negara akan mengalami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum pilihan raya umum (PRU).

    “Untuk mengadakan badan yang lebih menepati kehendak puak kecewa ini, parti politik biasa tidak sesuai. Satu gerakan rakyat diperlukan bagi menyatukan mereka yang tidak berparti.

    “Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” katanya.

    Dr. Mahathir berkata, GTA mewakili golongan berkenaan selain pemimpin dan ahli gabungannya bersih daripada segala jenayah serta tiada berkepentingan peribadi.

    “Dengan menggembleng rakyat yang cinta negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain daripada parti politik biasa,” ujarnya.

    Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan, calon-calon GTA dalam PRU-15 nanti akan terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NG0), tokoh akademik, profesional dan parti politik.

    “Insya-Allah, dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU15 dan mendirikan kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, perlembagaan, kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Pejuang belum tentukan calon PRU-15 di Perak, kata Tun M

    Pejuang belum tentukan calon PRU-15 di Perak, kata Tun M

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu masih belum memutuskan calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Perak.

    “Keputusan itu hanya akan dibuat apabila hampir pilihan raya. Kita akan membuat penilaian terlebih dahulu terhadap calon-calon yang sesuai.

    “Kita membuat penilaian nak tahu di mana orang ini kuat, di mana orang itu kuat. Kita tak nak letak calon hanya kerana nak letak calon.

    “Kita nak pilih calon yang baik yang boleh diri kerajaan, bukan calon tak tahu kerja sama sekali,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di Ipoh malam tadi.

    Dalam ucapannya, beliau menjelaskan tujuan penubuhan Pejuang dan Gerakan Tanah Air yang antara lain untuk mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.

    Selain itu, katanya, mereka juga mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih untuk semua kaum di negara ini, lapor Astro Awani.

  • Rakyat kecewa jika Najib dibebaskan, kata Tun M

    Rakyat kecewa jika Najib dibebaskan, kata Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat akan kecewa sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

    Bekas Perdana Menteri itu yang kini merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengakui memang ada pihak yang berkuasa untuk berbuat demikian.

    “Langkah pertama ialah Perdana Menteri mesti kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa juga keputusan.

    “Tetapi, kalau kita tanya orang ramai, kalau Najib dibebaskan, setelah mencuri berbilion-bilion ringgit, menipu, bercakap bohong, orang macam ini dilepas, dibebas, akan kecewalah rakyat,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di Ipoh, malam tadi.

    Beliau diminta mengulas dakwaan kononnya Najib ingin dibebaskan dan boleh bertanding dalam pilihan raya.

    Pada Khamis, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

  • Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang, kata Tun M

    Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang, kata Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa tidak bermaksud boleh melanggar undang-undang sesuka hati.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana setiap negara, organisasi dan masyarakat memerlukan kepada peraturan dan undang-undang.

    “Ada individu-individu tertentu yang mempunyai kepentingan dan pengaruh kuasa melebihi undang-undang.

    “Namun begitu, bagi memastikan keadilan dan layanan yang adil untuk semua orang, individu yang berkuasa tidak akan diabaikan sama sekali.

    “Sebagai contoh, undang-undang melarang pembunuhan. Berada atas undang-undang tidak bermakna pembunuhan boleh dilakukan tanpa hukuman.

    “Terdapat banyak peraturan dan dasar yang tidak boleh dilanggar walaupun oleh mereka yang berada di atas undang-undang,” katanya dalam hantaran dalam Facebook rasminya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang berkuasa perlu mengelak daripada melanggar peraturan dan undang-undang kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

    “Malaysia masih lagi bernasib baik kerana keistimewaan itu tidak sering digunakan. Jika hak istimewa di salah guna sekalipun, rakyat Malaysia masih bertolak ansur dan pemaaf.

    “Sudah tentu, kita tidak tahu had toleransi sedemikian. Adalah lebih baik untuk mengelakkan dari penyalahgunaan kuasa.

    “Orang yang mempunyai keistimewaan itu mesti mengingati perkara ini,” ujar Ahli Parlimen Langkawi itu.