Tag: kata Tengku Zafrul

  • Amaran akhir untuk ‘survival’ politik UMNO, kata Tengku Zafrul

    Amaran akhir untuk ‘survival’ politik UMNO, kata Tengku Zafrul

    UMNO perlu segera bangkit dengan memperbetulkan keadaan parti, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurut beliau, ini supaya UMNO tidak sekadar mengejar kuasa jangka masa pendek, tetapi kembali diyakini rakyat serta akar umbi parti.

    Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) menjadi isyarat amaran akhir untuk kelangsungan politik parti itu.

    “Prestasi di Selangor amat lemah kerana daripada 12 kerusi ditandingi, Barisan Nasional (BN) hanya menang dua termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.

    “PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang. Hakikat ini harus diamati.

    “Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival (kelangsungan) parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

    “Di Selangor setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak. Ramai ahli parti yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Ujar Bendahari BN Selangor itu, berdasarkan senario politik semasa, strategi dan keterampilan serta daya tarikan parti akan menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.

    Jelas beliau, UMNO bukan milik kelompok mana-mana kerana ia ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, maka tidak boleh terlalu radikal sebaliknya perlu meraikan pandangan dengan baik.

    “Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Isu RM600 bilion: Tak ada apa nak sorok, kata Tengku Zafrul

    Isu RM600 bilion: Tak ada apa nak sorok, kata Tengku Zafrul

    MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata beliau tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan berhubung dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Tengku Zafrul turut mengesahkan sehingga kini belum mendapat sebarang panggilan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu.

    Beliau berkata, setakat ini tak ada panggilan daripada SPRM dan jika mendapat panggilan sudah tentu akan berikan kerjasama.

    “Apa yang penting, tak ada perkara yang kita nak sorok, jadi sudah tentu kita lebih dari bersedia (bagi kerjasama) jika dapat panggilan,” katanya kepada pemberita di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama Pengkalan Udara TLDM, lapor FMT.

    Tengku Zafrul berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

    Semalam sebuah portal memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan diterima daripada beberapa pihak mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik Covid-19 melanda negara mulai 2020.

    Ketika pentadbiran Muhyiddin, Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri kewangan.

    Pada 6 Dis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

    Bagaimanapun, Muhyiddin dalam hantaran Facebook menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

    Pengerusi PN itu berkata, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.