Tag: kata Shahidan

  • UMNO tak boleh lama tumpang PH jadi kerajaan, kata Shahidan

    UMNO tak boleh lama tumpang PH jadi kerajaan, kata Shahidan

    UMNO tidak boleh menumpang dengan Pakatan Harapan (PH) selama-lamanya untuk kekal sebagai parti pemerintah, kata Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    “UMNO sepatutnya perlu berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
    UMNO sekarang mempunyai 26 kerus Parlimen. Parti itu memang parti besar. Tapi, daripada segi penyertaan dalam kerajaan itu kecil.

    “Jadi, sebenarnya dia tak boleh memerintah hanya dengan menumpang orang. Ini tak boleh lama. Kadang-kadang orang memberi tumpang ini tidak boleh bagi semua.

    “UMNO ini menumpang dengan PH. Sepatutnya, UMNO perlu kerjasama dengan PN,” katanya kepada pemberita di sidang media, Hotel Furama, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Shahidan menyertai PN selepas digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

    Bagaimanapun, bekas pemimpin UMNO itu berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Arau.

    Walaupun, BN dan PN bekerjasama membentuk kerajaan selepas Langkah Sheraton yang meruntuhkan pentadbiran PH pada 2022, UMNO tidak meneruskan kerjasama itu pada PRU15.

    Sebaliknya, BN menubuhkan kerajaan pusat bersama PH, setelah tiada gabungan mendapat majoriti mudah menyebabkan parlimen tergantung.

    Terdahulu, Shahidan berkata, sokongan pemimpin UMNO kepada PN semakin bertambah.

    “Saya ada dengar cerita di PAU (Perhimpunan Agung UMNO) ada 10 ‘warlords’ (pemimpin berpengaruh) UMNO akan memasuki PN. Pemimpin UMNO ini saya tak ada maklumat.

    “Tapi, UMNO kat bawah (akar umbi) sokong PN itu betul-betul ramai. Ramai pemimpin UMNO akan sokong PN (pada PRN).

    “(Pada PRU)… PN menang bukan kerana Pas atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tetapi rakyat sokong kami. Kita menang undi dengan izin Allah luar biasa,” katanya ketika ditanya adakah pemimpin UMNO akan bertindak sokong PN pada PRN di enam negeri.

    Sementara itu, Shahidan berkata, bukan menjadi misi utamanya untuk bertanding pada PRN negeri.

    “Misi utama membantu memenangkan PRN di enam negeri. Yang saya tanding itu adalah perkara kedua.

    “Sudah pasti, saya tidak ada masalah bertanding. Tapi, terpulang kepada kepimpinan utama PN.

    “Saya boleh tanding mana-mana sahaja. Tapi, membantu kemenangan PN masih menjadi perkara utam kepada saya,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Sebelum ini, Shahidan disebut-sebut bakal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri akan datang.

  • Sekat peruntukan pembangkang, jawablah di akhirat kelak, kata Shahidan

    Sekat peruntukan pembangkang, jawablah di akhirat kelak, kata Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan kepimpinan kerajaan perpaduan terhadap dosa yang perlu dijawab di akhirat kelak kerana menghalang peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat menerusi Ahli Parlimen masing-masing.

    “Peruntukan ahli Parlimen yang belum disalurkan kepada wakil pembangkang hingga kini adalah milik rakyat dan bukan hak mutlak Perdana Menteri,” tegas bekas Menteri Besar Perlis itu.

    Peruntukan terbabit katanya, sudah diluluskan di Parlimen, maka tidak timbul isu surat permohonan atau surat tawaran oleh Perikatan Nasional (PN).

    “Beginilah, wang itu mereka nak bagi, bagi! Kalau tak bagi pun, bukan duit mereka, itu wang rakyat.

    “Kerajaan kini sengaja melengah-lengahkan wang milik rakyat yang akan digunakan untuk membantu rakyat (menerusi Ahli Parlimen masing-masing), jika mati esok, mereka jawablah di akhirat kelak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shahidan menegaskan tidak perlu surat tawaran atau permohonan kerana peruntukan sudah diluluskan.

    “Perkara ini tidak akan berlaku jika Perikatan Nasional (PN) memerintah negara kerana wang rakyat adalah untuk digunakan untuk rakyat.

    “PN takkan buat kerja macam ni, hak orang serahkan cepat, bukan menyusah dan melengah-lengahkan tak ketahuan, PN tak begitu, kami tak buat kerja macam ni,” tegasnya lagi.

    Shahidan berkata, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    “Mereka sudah berjumpa, bila saya tak pasti saya cuma melihat gambar pertemuan mereka di aplikasi WhatsApp kami,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui tidak mengetahui perkembangan mengenai agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya tiada maklumat, kena tanya Datuk Seri Hamzah atau Datuk Seri Takiyuddin. Mereka dalam Jawatan Kuasa perundingan,” jawabnya ringkas.

    Setakat ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuiddin Hassan, tidak menjawab panggilan ketika dihubungi untuk mendapatkan komen.

    Terdahulu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan tidak menetapkan syarat kepada PN untuk mendapatkan agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan masih menunggu tawaran rasmi daripada blok pembangkang itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang sebelum ini.

    Katanya, walaupun PN yang memulakan isu meminta peruntukan turut diagihkan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun mereka tidak memberikan maklum balas sewajarnya apabila diminta mengemukakan tawaran rasmi.

    Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi manifestonya, berjanji mengagihkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli Parlimen.

    Bagaimanapun, peruntukan itu tidak disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

  • Kes Zahid tangguh, rakyat makin marah yang untung PN, kata Shahidan

    Kes Zahid tangguh, rakyat makin marah yang untung PN, kata Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ‘menyokong penuh’ kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi ditangguhkan lebih lama kerana mampu menguntungkan Perikatan Nasional (PN).

    “Apabila ditangguhkan, rakyat akan bertambah marah seterusnya memberi kelebihan dan menguntungkan PN,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau berkata, ini akan memberi imej ‘tidak manis’ bagi seorang pemimpin negara untuk naik turun mahkamah bagi menghadapi pertuduhan jika kes membabitkan timbalan perdana menteri itu masih diteruskan.

    “Saya dulu jadi orang pertama yang minta agar kes Zahid ini ditangguhkan sehingga beliau tamat menjadi timbalan perdana menteri, orang UMNO tak minta pun.

    “Sebab tak manis bagi seorang pemimpin negara untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

    Pada 10 April, media melaporkan perbicaraan rasuah Zahid yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan ke Ogos untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan hanya boleh mempertimbangkan representasi Zahid selepas hasil siasatan SPRM.

    Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri, antara 2013 dan 2018.

    Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan untuk rasuah, dan baki 27 untuk pengubahan wang haram.