Tag: kata Sanusi

  • Menang PRN bukan sebab penyokong taasub atau fanatik, kata Sanusi

    Menang PRN bukan sebab penyokong taasub atau fanatik, kata Sanusi

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah disebabkan rakyat sudah memahami hala tuju parti-parti yang bergabung dalam PN.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, disebabkan itu juga PN dapat mengekalkan kuasa di tiga negeri ditadbir gabungan itu, selain meraih kejayaan lebih baik di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

    “Kefahaman itu sekali gus menepis dakwaan yang mengaitkan kemenangan PN dengan ketaasuban dan fanatik penyokong PN yang kononnya akan menuruti apa sahaja arahan parti.

    “Kemenangan PN atas kefahaman rakyat atau pengundi. Kita telah berikan kefahaman kepada mereka untuk buat penilaian.

    “Rakyat yang buat keputusan dalam PRN berdasarkan kepada kefahaman itulah, bukan sebab taasub atau fanatik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mendakwa ketaasuban dan fanatik sesetengah penyokong PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) dan PH di negeri berkenaan.

    Noor Azleen berkata, ia menjadi satu fenomena yang mana tiada apa boleh mengubah persepsi atau keputusan penyokong tersebut meskipun untuk perubahan dan kebaikan rakyat negeri itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri ke-409 bertajuk: Pelan Berdamai: Realiti atau Mimpi Politik yang dihoskan Ismail Adnan.

    Program itu turut menampilkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzri Helmi Azhar.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menyifatkan kenyataan Noor Azleen sebagai ucapan berbaur taasub.

    “Itulah contoh pengucapan yang taasub, datangnya daripada dia (Noor Azleen), bukan kita.

    “Orang yang taasub sahaja akan buat kenyataan seperti itu. Dia yang taasub, sehinggakan orang lain semua tak betul, dia seorang saja betul. Haa, itu taasub lah,” jelasnya lagi.

  • Rakyat perlu diberi kefahaman senario politik semasa, kata Sanusi

    Rakyat perlu diberi kefahaman senario politik semasa, kata Sanusi

    KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat khususnya golongan muda perlu diberikan kefahaman mengenai senario politik semasa di negara ini.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata,
    ini agar mereka bijak membuat pilihan kelak.

    Katanya, sentimen berhubung perkara itu diharap ‘sampai’ dan difahami oleh rakyat.

    “Kefahaman ini penting bagi memastikan pengundi tidak menyokong sesebuah parti secara taasub dan membuta tuli.

    “Ini terjadi apabila ada pihak yang menyatakan sokongan membuta tuli dan taasub orang di belah utara dan pantai timur menyebabkan PN menang (di Terengganu, Kelantan dan Kedah).

    “Ini berlaku kerana ada pihak tidak faham dengan senario politik yang ada keperluan membuat perubahan,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Markas Pas Bakri, Muar malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia dunia pada 23 Julai lalu.

    Justeru, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK adalah pada 26 Ogos, pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

  • Pertuduhan petanda kerajaan takut, kata Sanusi

    Pertuduhan petanda kerajaan takut, kata Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa tindakan undang-undang yang dikenakan ke atasnya menandakan kerajaan hari ini sedang ‘ketakutan’.

    Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perkatan Nasional (PN) berkata, ketakutan itu berpunca daripada sokongan orang ramai kepada pembangkang sekarang.

    “Ini adalah satu petunjuk atau petanda bahawa mereka sebenarnya sedang ketakutan, dan segala aparatus negara dan agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan, kehangatan sokongan rakyat,” katanya ditemui media di luar mahkamah Selayang hari ini.

    Sanusi yang juga anggota Jawatankuasa Pas Pusat hari ini dikenakan dua pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang berkaitan dengan kenyataannya dalam sebuah ceramah pada minggu lalu.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

    Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak 11 Julai lepas.

    Untuk rekod kenyataan tersebut turut mendapat kemurakaan Sultan Selangor.

    Ekoran kenyataan Sanusi itu juga anggota Dewan Diraja Selangor membuat laporan kepada polis bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau.

    Sultan Selangor sendiri mengakui kes tersebut belum selesai walaupun Sanusi mengutus surat memohon maaf kepada baginda.

    Menurut Sanusi, pendakwaan ke atasnya dibuat bagi menjejaskan peluang dia bertanding dalam pilihan raya negeri pada bulan depan.

    Pun begitu beliau yakin orang ramai memahami langkah berkenaan.

    “Disegerakan pendakwaan hari ini, tiga hari siasatan saja…. Saya diambil (ditangkap) pukul 3 pagi tadi tanpa sebarang notis.

    “Saya hanya mengetahui saya didakwa melalui media dan saya bersedia menghadapi kes ini,” katanya.

    Tambah Sanusi, walaupun sudah memaklumkan kepada beberapa pihak yang beliau akan hadir ke mahkamah pada pagi ini, pihak berkuasa tetap membuat tangkapan.

    Kata Sanusi, beliau ditangkap di sebuah apartmen yang didiaminya di Kuala Lumpur.

    “Saya harap dalam PRN (pilihan raya negeri) akan datang akan dimenangi PN,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Tak timbul isu haram arak di Langkawi, kata Sanusi

    Tak timbul isu haram arak di Langkawi, kata Sanusi

    WALAUPUN Pas mentadbir Kedah, penjualan arak tidak diharamkan di Langkawi kerana ada peraturan perlu dipatuhi individu minum alkohol, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Untuk orang Islam, katanya, ia sudah terang lagi bersuluh bahawa minum arak haram di sisi agama.

    “Saya rasa isu pengharaman jualan arak di Langkawi belum timbul lagi. Ia masih dijual di Kedah secara bebas cukai dan restoran yang dapat lesen daripada MOF (Kementerian Kewangan) juga boleh jual. Mereka minumlah dalam itu (premis berkenaan).

    “Yang kita bimbang ia dijual di kedai tak ada lesen dan bebas dibeli sesiapa saja. Itu semua orang mengadu. Jadi, sesiapa yang nak minum, hang nak minum berapa baldi sekali pun, hang pi minum. Tak ada siapa larang.

    “Tetapi kalau hang Muslim, tak bolehlah. Kalau pelancong (bukan Islam) pergilah minum,” katanya menurut Berita Harian dalam program bual bicara Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan dalam talian malam tadi.

    Mengenai pelancong ke Langkawi yang dilabel permata Kedah semata-mata untuk minum arak, Sanusi berkata, Langkawi memiliki pelbagai tarikan dan pelancong ke pulau terbabit bukan atas sebab itu.

    “Saya rasa tarikan ke Langkawi bukan pasal itu (arak). Tarikan ke Langkawi kerana kepelbagaian, bukan satu-satunya (arak).

    “Sekarang ini, bila rokok ditarik balik bebas cukai, tak ada siapa pun mengadu. Curut pun sama, tidak ada yang mengadu. Arak di Langkawi pun belum jadi isu.

    “Arak boleh dibeli di kedai ada lesen bebas cukai (diberi kelulusan) oleh MOF. Jadi, siapa nak beli, pergilah beli, tetapi yang beragama Islam tak payahlah.”

  • Isu integriti, rasuah kian parah bawah Anwar, kata Sanusi

    Isu integriti, rasuah kian parah bawah Anwar, kata Sanusi

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa masalah integriti dan budaya rasuah di negara ini lebih berleluasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Jelas Menteri Besar Kedah tersebut, dakwaan itu berdasarkan maklumat yang diberikan beberapa ahli perniagaan yang ditemuinya.

    Sanusi berkata, apa yang didengarnya itu sama sekali berbeza dengan apa yang dilaungkan Anwar yang bertekad untuk membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa.

    “Kalau bercakap soal integriti, rasuah, saya sebagai Menteri Besar bertemu dengan ramai ahli perniagaan, yang mana ahli perniagaan terpaksa bertemu dengan pemimpin politik dari kerajaan persekutuan.

    “Mereka beritahu saya keadaan yang berlaku dulu (rasuah, masalah integriti) tak pernah surut, malah makin ganas.

    “… walaupun di pihak Perdana Menteri (Anwar) bercakap berdegar-degar di khalayak awam (tentang rasuah) tetapi di keliling Perdana Menteri keadaan (rasuah, masalah integriti) masih berlaku.

    “Saya yakin keadaan ini diketahui oleh perdana menteri tetapi untuk memaparkan bahawa mereka ini kumpulan menentang rasuah, tapi sebaliknya keadaan berlaku lebih ganas lagi,” dakwanya dalam wawancara khas yang disiarkan melalui Facebook malam tadi.

    Mengulas lanjut, Sanusi turut mendakwa Anwar gagal memberi fokus kepada tugasnya sebagai Menteri Kewangan dalam usaha membawa negara mendepani krisis ekenomi.

    Sebaliknya, kata Sanusi, Anwar lebih gemar melakukan siri jelajah dengan menyampaikan ceramah-ceramah politik dan melontarkan propaganda agar rakyat menerima kerajaan yang disifatkan sebagai ‘kakistokrasi’ itu.

    Kakistokrasi bermaksud sebuah sistem kerajaan yang ditadbir oleh satu golongan yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa sebagai pemerintah.

    “Ketika rakyat sedang menghadapi krisis yang semakin hari semakin parah nampaknya Menteri Kewangan sedang menggelak untuk mengambil tanggungjawab itu.

    “Sebaliknya (dia) lebih berminat untuk menyampaikan ceramah dan di semua ceramah yang disampaikan dia mengambil kesempatan untuk melancarkan kempen bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang dan melontarkan propaganda bagi orang dapat terima kakistokrasi yang sedang mengisi kerajaan hari ini.

    “Rakyat Malaysia perlu membuat desakan habis-habisan supaya Menteri Kewangan mengambil tanggungjawab secara serius dalam isu-isu kewangan yang sedang dihadapi negara pada masa ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Jangan jual tanah kepada sindiket, kata Sanusi

    Jangan jual tanah kepada sindiket, kata Sanusi

    MENTERI Besar Kedah menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket penjualan tanah yang berselindung di sebalik permohonan tanah kerajaan yang diusahakan sebelum diberikan pemilikan.

    Menurut Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pemilik tanah yang diberikan geran oleh kerajaan negeri sewajarnya tidak menjual tanah berkenaan bagi mengelak aktiviti sindiket tersebut terus berleluasa.

    “Aktiviti seumpama dikesan berlaku hampir di setiap daerah dan sudah lama berlarutan, menyebabkan kerajaan negeri mahupun pemilik tanah mengalami kerugian sedangkan golongan tersebut meraih keuntungan berganda.

    “Sudah tiba masanya kegiatan itu dihalang, kita akan pantau sebab ada laporan tidak bertulis. Amalan itu memang sudah lama wujud, berakar umbi.

    “Kita boleh kenal pasti golongan ini sebab mereka berurusan banyak kali di pejabat tanah dengan memohon nama orang lain. Kalau mereka datang lagi mohon, kita hambat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) di Alor Setar hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya dalang tersebut diberkas dan tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.

    “Saya nak pesan, kalau ada sindiket mohon tanah dan guna nama orang lain, hati-hati. Mereka sebenarnya sudah miliki banyak tanah hasil kegiatan seperti itu. Tak bolehlah macam itu, tanah semakin sikit, orang makin bertambah.

    “Kalau seseorang itu miliki tanah kerajaan dengan banyak, untunglah dia sebab tanah kerajaan premiumnya murah berbanding tanah jual beli. Kita harap orang yang ada duit belilah tanah, jangan mohon tanah kerajaan yang dikhususkan untuk orang miskin,” katanya.

    Menurutnya, pemilik tanah yang diberikan geran hak milik seharusnya mematuhi garis panduan ditetapkan, antaranya tidak menjual tanah berkenaan selama 10 tahun.

    “Saya harap pemilik tanah yang diberikan geran hak milik, jangan jual tanah. Setiap kelulusan baharu ada sekatan 10 tahun. Kita tidak akan meluluskan jika ada permohonan untuk buka sekatan tersebut untuk urusan jual beli.

    “Gadai boleh, seperti cagar di bank untuk bina rumah, jual beli tidak dibenarkan. Sebab kita luluskan permohonan supaya mereka ada harta (tanah) untuk diwarisi kepada anak cucu,” jelasnya.

    Muhammad Sanusi memaklumkan, keluasan tanah permohonan geran kini dihadkan kepada maksimum lima ekar berbanding 10 ekar sebelum ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 642 permohonan geran hak milik diluluskan hari ini, melibatkan keluasan 381 hektar tanah serta premium mencecah RM2.99 juta.

    “Daerah Pendang melibatkan 277 geran dan Langkawi 105 geran untuk beberapa kampung membabitkan tanah pertanian. Kalau tanah komersial dibawa dalam mesyuarat Exco.

    “Kita akan pastikan tanah-tanah di pinggir hutan yang diteroka lebih 20 tahun diberikan hak milik. Ada permohonan hingga 56 tahun diusahakan baru dapat hak milik. Majlis penyerahan geran akan diadakan dalam masa terdekat sebagai bukti kita bercakap serupa bikin,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kedah ‘diarah’ menjadi negeri miskin, kata Sanusi

    Kedah ‘diarah’ menjadi negeri miskin, kata Sanusi

    PENTADBIRAN Kedah sama ada yang sekarang atau sebelum ini tertakluk kepada dasar persekutuan dalam hal penggunaan tanah dan itu membawa kepada kadar kemiskinan yang tinggi di negeri terbabit, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi. Md Nor.

    Menegaskan bahawa Kedah merupakan ‘periuk nasi negara’, Sanusi berkata, negeri terbabit memiliki kawasan yang luas tetapi diarah untuk bercucuk tanam padi.

    “Kami ada banyak tanah tetapi kami diarahkan untuk menanam padi. Padi adalah tanaman paling murah tetapi tanaman yang terpenting.

    “Cukai tanah untuk sawah adalah yang paling rendah. Kira-kira 130,000 hektar diperuntukkan untuk penanaman padi sahaja,” kata Sanusi dalam temu bual dengan akhbar The Star.

    Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi, beliau mengusulkan kepada kerajaan Pusat agar melihat semula pengorbanan yang dilakukan negeri terbabit dengan menyediakan begitu luas kawasan penanaman padi.

    “Kami juga perlu mewartakan lagi hutan untuk tadahan air lebih daripada 300,000 hektar,” katanya.

    Ketika ini Kedah berada di kedudukan kedua dalam senarai negeri termiskin di negara ini selepas Kelantan.

    Kata Sanusi, dasar pentadbiran pimpinan Pas di negeri itu adalah memastikan sebahagian besar penggunaan tanah dimanfaatkan untuk kepentingan semua negeri lain.

    “Oleh itu kami ‘diarahkan’ menjadi miskin. Kami orang Kedah mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri dan kami harus menjadi orang yang menentukan matlamat negeri ini.

    “Kita tidak sepatutnya mengikut arahan orang lain tentang apa yang perlu kita lakukan pada tanah kita,” katanya dipetik sebagai berkata.

    Justeru Sanusi mencadangkan kepada Exco Kedah agar 20 peratus daripada tanah yang diperuntukkan untuk penanaman padi atau kira-kira 26,000 hektar agar dibangunkan semula menjadi kawasan perindustrian.

    Dengan cara itu katanya tanah terbabit mempunyai nilai lebih tinggi dan berpotensi membawa hasil lebih besar.

    Katanya pengurangan saiz tanah untuk penanaman padi juga perlu diseimbangkan dengan memastikan lebih banyak hasil dari sawah dapat dikeluarkan melalui peningkatan kekerapan penuaian.