Tag: kata saksi

  • ‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

    ‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

    BEKAS Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai memberitahu mahkamah hari ini, beliau menyedari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitannya tidak diurus seperti syarikat tersenarai lain.

    Katanya, lembaga pengarah 1MDB juga tidak terbabit dalam transaksi syarikat manakala akaun syarikat dibuka melalui penandatangan iaitu pegawai pengurusan.

    “Bagaimanapun, adalah dijangka kebenaran lembaga pengarah diperlukan apabila membabitkan urus niaga dengan jumlah yang besar,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian pada sesi pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

    Swampillai turut menyatakan tidak didorong sebarang tawaran daripada mana-mana pihak sama ada di dalam atau luar negara, selain tidak meminta tawaran untuk memberikan keterangan di mahkamah.

    “Ini adalah yang benar belaka dan tidak ada apa-apa yang tidak benar,” katanya, lapor Berita Harian.

    Swampillai selesai memberi keterangan hari ini dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz akan memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan ke-45 petang ini.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

  • Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    SEORANG pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di Beluran semalam.

    Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ketika membersihkan diri di sungai berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada polis pada pukul 3.51 petang.

    “Menurut laporan, saksi yang memaklumkan sebelum kejadian mangsa sedang membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estet yang bersempadan dengan sungai terbabit.

    “Ketika berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kakinya namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

    “Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakannya yang berada di lokasi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Susulan kejadian itu, sebaik laporan diterima seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.

    Edoen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan keselamatan lain segera dilakukan namun mangsa gagal ditemui semalam.

    “SAR hari kedua disambung semula dengan jarak radius satu kilometer di sekitar lokasi, namun sehingga kini pihak kami belum menemui mangsa,” katanya.

  • Saya minta balik RM19 juta, kata saksi  

    Saya minta balik RM19 juta, kata saksi  

    SEORANG pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau cuba mendapatkan semula RM19 juta yang diberikan kepada orang tengah, yang didakwa rapat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghentikan siasatan ke atas projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.

    Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau menghantar surat tuntutan (LOD) kepada orang tengah yang dikenali sebagai G. Gnanaraja itu  melalui peguamnya daripada Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq untuk mendapatkan semula wangnya.

    “Saya tidak ingat perkataan yang tepat (dalam LOD). Intipati LOD ialah saya mahu balik RM19 juta saya,” katanya ketika disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim Guan Eng, sama ada beliau sedar perkataan ‘dipegang atas amanah’ ditulis dalam LOD.

    Gobind: Untuk mendapatkan kembali wang anda, anda mesti menjelaskan mengapa ia ada dengannya (Gnanaraja). Anda mengarahkan peguam anda menghantar LOD. Dalam LOD tertulis wang itu ‘dipegang atas amanah’.

    Zarul: Saya beri wang itu kepada Gnanaraja, kononnya untuk diberikan kepada perdana menteri. Anda (Gobind) kena tanya peguam saya. Saya hanya memberitahu peguam saya untuk mendapatkan balik wang saya. Saya tidak tahu bagaimana peguam saya menyatakan dalam LOD.

    Menjawab soalan lain, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata beliau tidak tahu mengenai siasatan kedua terhadap Gnanaraja, yang menafikan dia menipu Zarul sebanyak RM19 juta.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat mengemukakan mesej WhatsApp antara saksi dan Gnanaraja, seperti yang diminta oleh pihak pembelaan kerana kertas siasatan berhubung kes Gnanaraja telah dicarik.

    Gobind kemudian meminta telefon yang mengandungi mesej WhatsApp itu dibuka di mahkamah.

    Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan peguam itu dan berkata mahkamah akan menetapkan tarikh kemudian untuk menghubungi pasukan forensik bagi membuka telefon semasa prosiding.

    Prosiding hari ini disingkatkan selepas saksi mengadu tidak sihat kerana mengalami tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang laju dan diminta oleh doktornya supaya berjumpa pakar kerana keadaannya itu.

     Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

    Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – Bernama

  • Bersatu tidak tahu Armada keluarkan RM1 juta, kata saksi

    Bersatu tidak tahu Armada keluarkan RM1 juta, kata saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak diketahui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Saksi ke-20 pendakwaan Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 30, berkata, sebagai Pegawai Kewangan I Bersatu, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Armada berhubung pengeluaran itu

    Pihaknya juga tidak menerima sebarang makluman daripada Armada mengenai pengeluaran wang berkenaan kepada Pejabat Bendahari Bersatu, lapor Harian Metro.

    Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Shahrom Idris sama ada perbelanjaan melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan majlis pimpinan tertinggi parti, Muhammad Zulhelmi, menjawab: “Ya, mengikut Fasal 24 Perlembagaan Parti Bersatu.

    Mohd. Shahrom: Jika ada sesuatu pengeluaran wang, adakah ia perlu direkodkan?

    Muhammad Zulhelmi: Perlu

    Mohd. Shahrom: Apa akan terjadi jika ia tidak direkodkan?

    Muhammad Zulhelmi: Melanggar peraturan 24, di mana kita nak mengelakkan berlaku ketirisan kewangan.

    Muhammad Zulhemi turut memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran RM1 juta dalam kes itu adalah melanggar Fasal Perlembagaan.

    Sementara itu, di awal prosiding perbicaraan, Syed Saddiq gagal untuk mencabar kredibiliti saksi utama dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

    Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa

    Pernyataan saksi bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, 32, tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan itu.

    Katanya, pernyataan saksi Rafiq Hakim tidak memenuhi definisi dan dimasukkan ke dalam mahkamah mengikut Seksyen 402(B) Kanun Acara Jenayah.

    “Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa pernyataan saksi itu tidak boleh digunakan sebagai asas mencabar kredibiliti saksi,” katanya.

    Mendengar keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq kemudian mengemukakan permohonan baharu untuk mendapatkan kenyataan Rafiq Hakim yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 ketika siasatannya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan lisan itu kerana tiada keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan pada peringkat ini.

    Pendakwaan berhujah bahawa Rafiq Hakim sudah mengaku ketika memberi keterangan bahawa terdapat sedikit percanggahan keterangannya di mahkamah dengan pernyataan saksi.

    “Oleh itu, tiada keperluan untuk menggunakan pernyataan yang direkodkan oleh SPRM untuk mencabar kredibiliti saksi.

    “Permohonan pihak pembelaan seolah-olah ‘fishing expedition’. Tambahan pula, pernyataan yang direkodkan oleh SPRM adalah suatu ‘document’ istimewa,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat ini bagi mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan serta membuat keputusan berhubung permohonan itu.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • Syed Saddiq minta saya ‘clearkan’ RM1 juta, kata saksi

    Syed Saddiq minta saya ‘clearkan’ RM1 juta, kata saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh saksi ke-13 pendakwaan, bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkannya untuk ‘clearkan’ RM1 juta milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Ahli Parlimen Muar itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

    Sinar Harian melaporkan, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq Hakim, 32, berkata, Syed Saddiq memberi arahan itu ketika dia dihubungi menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ pada akhir bulan Mac atau awal April 2020.

    Wan Shaharuddin: Kenapa?

    Rafiq Hakim: Yang berhormat (YB) Syed Saddiq beritahu, SPRM nak datang ke rumah untuk periksa dan geledah, jadi YB arah ‘clearkan’ wang yang ada pada saya, jadi saya beri kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari (saksi pendakwaan kesembilan) dan ahli Bersatu, Muhammad Naqib Ab. Rahim.

    Wan Shaharuddin: Kamu tahu ada siasatan oleh SPRM?

    Rafiq Hakim: Ya.

    Wan Shaharuddin: Kenapa ada siasatan?

    Rafiq Hakim: Ia berhubung kehilangan wang RM250,000 YB, jadi SPRM nak siasat.

    Wan Shaharuddin: Kamu agihkan wang itu?

    Rafiq Hakim: Ya. RM650,000 saya beri kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib, baki RM100,000 pula, seingat saya digunakan untuk program Armada, saya lupa program apa.

    Wan Shaharuddin: Di mana kamu simpan wang berkenaan sebelum beri kepada dua individu itu.

    Rafiq Hakim: Di rumah saya.

    Wan Shaharuddin: Kenapa Syed Saddiq suruh ‘clearkan’ wang itu. Apa yang beliau beritahu kamu?

    Rafiq Hakim: YB takut duit itu disita.

    Dalam prosiding pagi Selasa, saksi utama ini berkata, dia mengetahui Syed Saddiq kehilangan wang dari peti besi rumahnya sebanyak RM250,000.

    Bagaimanapun beliau berkata, Syed Saddiq tidak menyatakan bahawa wang itu milik ibu bapa atau untuk kegunaan ubah suai rumah sebaliknya hasil sumbangan politik.

    Ketika ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan wang berkenaan sekiranya tidak menerima arahan, Rafiq Hakim menjawab, tidak.

    Ini kerana, beliau yang juga salah seorang bekas pemegang amanah akaun bank Armada Bersatu berkata, pengeluaran wang tidak boleh dilakukan secara bersendirian sebaliknya memerlukan persetujuan tiga lagi pemegang amanah yang lain.

    Selain beliau, dua lagi pemegang amanah bagi akaun tersebut ialah Syed Saddiq selaku Ketua Armada Bersatu dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (saksi pendakwaan ke-11).

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.