Tag: kata Saifuddin

  • OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

    OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

    METNERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 24 Julai ini.

    Katanya, TH Heavy Engineering (THHE) yang bertanggungjawab membina kapal itu turut memaklumkan OPV kedua dijangka diterima Maritim Malaysia hujung tahun ini.

    Beliau berkata, THHE sudah menyelesaikan beberapa masalah yang menjadi punca kelewatan itu, termasuk pembayaran kepada vendor atau pembekal.

    “Saya sekali lagi mengadakan lawatan ke Pulau Indah minggu lalu dan kali ini mereka ada tarikh lebih jelas.

    “Jadi, mereka (THHE) memberikan tarikh baharu untuk penghantaran kapal OPV pertama, bukan Mac tetapi mereka berganjak ke 24 Julai tahun ini,” katanya menurut Berita Harian.

    Februari lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, dua daripada tiga OPV itu dijangka siap dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada pertengahan serta hujung tahun ini.

    Walaupun mengalami kelewatan berbanding jadual asal pada Mac dan Oktober ini, katanya, tiada tambahan kos dikenakan kepada projek itu.

    Pada 6 Januari lepas, Saifuddin meminta projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan pada Mac dan Oktober ini.

    Tetapi, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama dan kerajaan berpendirian tarikh serahan tidak diubah.

    Kerajaan sebelum ini menyuntik pinjaman RM152.6 juta untuk memastikan projek OPV yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan tahun ini.

  • Golongan muda berpendidikan rendah undi PN pada PRU15, kata Saifuddin

    Golongan muda berpendidikan rendah undi PN pada PRU15, kata Saifuddin

    SEORANG menteri Pakatan Harapan (PH) melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap dalam kehidupan.

    Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15 pada November tahun lalu.

    Pada masa sama, beliau yang juga ketua setiausaha PH berkata, dalam kalangan pengundi muda yang mempunyai pendapatan stabil dan pendidikan yang lebih tinggi akan cenderung menyokong gabungan dipimpin Anwar Ibrahim itu.

    “Peratus pengundi muda dan medium pendapatan maknanya purata pendapatan, kita dapati bahawa semakin tinggi pelajaran semakin stabil pendapatan dia, hat (yang) lepas pilihan raya baru ni  depa (mereka) ni undi kita (PH).

    “Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap, hat naik motor sana sini bagi (undi) kat Perikatan (PN).

    “Dia (data) tunjuk lagu (macam) tu,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PH Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, pada 25 Februari lalu.

    Sehingga kini, klip video berdurasi pendek menunjukkan ucapannya masih tersebar luas di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

    Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau yang disifatkan tidak adil dan terlalu menghina golongan muda.

    Saifuddin antara pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya.

    Beliau kalah di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU15 lalu, kemudiannya dilantik jawatan senator untuk menjawat menteri dalam negeri dalam kerajaan campuran PH-Barisan Nasional (BN).

    Pada PRU15, Pas mendapat 49 kerusi Parlimen (6 daripada Bersatu) sekali gus menjadi parti Melayu tertinggi mendominasi kerusi Parlimen Melayu iaitu hampir 43% berbanding UMNO 23% dan PKR 11%.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH turut mendapatkan data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Perangkaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendapatkan dapatan tersebut.

    “Data tadi itu kita buat semua sekali 222 kerusi Parlimen. Semua kita analisa.

    “Kemudian kita tengok ada beberapa trend yang berlaku peringkat nasional tapi tak sama berlaku di Kedah.

    “Ada beberapa trendlah yang kita kesan itu adalah makin tinggi pendapatan rakyat, makin padat satu-satu kawasan iaitu perbandaran, kebanyakannya corak mengundi itu mai kat kita (PH),” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Lima lagi warga Malaysia dibawa pulang, kata Saifuddin

    Lima lagi warga Malaysia dibawa pulang, kata Saifuddin

    MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, lima lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah tawaran pekerjaan di Kemboja dibawa pulang semalam.

    Menurutnya, mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Siem Reap, Kemboja pukul 12.05 tengah hari.

    Katanya, kelima-limanya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.

    “Kejayaan membawa pulang kelima-lima mangsa sindiket itu dibuat secara berterusan hasil kerjasama rapat antara pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan kerajaan Kemboja.

    “Setakat Jumaat lalu, kita telah merekodkan 453 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

    “Daripada bilangan tersebut, seramai 269 orang telah dihantar pulang, manakala 52 orang lagi masih berada di depoh imigresen di negara-negara berkenaaan bagi proses selanjutnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Saifuddin memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengesan 132 orang lagi yang dilaporkan masih belum dapat dijejaki setakat ini.

    Dalam perkembangan yang berasingan, Saifuddin memaklumkan tujuh warganegara Malaysia yang bekerja sebagai pelabur forex di sempadan Kemboja-Vietnam akan dihantar pulang ke tanah air pada Sabtu.

    Jelasnya, urusan membawa pulang kesemua individu itu menerusi kerjasama kerajaan negeri Johor.

    Warta Rakyat difahamkan, semua tujuh individu tersebut akan tiba di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di Taman Suria, Johor Bahru kira-kira pukul 8 pagi untuk mengadakan sidang akhbar.

    Bagaimanapun katanya, kumpulan ini tidak boleh dikategorikan sebagai mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan.

    “Kesemua mereka bekerja secara sukarela dan bebas untuk keluar masuk dari kawasan tempat kerja,” ujar beliau.

    Sehubungan itu, Saifuddin menasihatkan supaya warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara supaya mematuhi peraturan sesebuah negara, memastikan kontrak pekerjaan dimeterai dan visa pekerjaan diperoleh terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke negara destinasi.