Tag: kata Ronald

  • Perlu lantik timbalan speaker ketiga dari pembangkang, kata Ronald

    Perlu lantik timbalan speaker ketiga dari pembangkang, kata Ronald

    RONALD Kiandee (PN-Beluran) menyuarakan semula gesaan supaya timbalan speaker ketiga Dewan Rakyat dilantik dalam kalangan pembangkang, cadangan yang pernah ditolak Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Menurut Berita Harian, Ronald berkata, beliau faham dengan tuntutan tugas itu kerana pernah dilantik ke jawatan yang sama pada 2008 hingga 2018, dan terdapat keperluan untuk mempunyai timbalan speaker ketiga.

    “Saya rasa cadangan dua tahun lalu supaya ditambah seorang lagi timbalan speaker untuk Dewan Rakyat, perlu diteruskan oleh Yang Berhormat.

    “Saya pernah duduk di sana (sebagai timbalan speaker). Memang betul, dua timbalan speaker tidak mencukupi untuk Dewan Rakyat dan boleh ditambah.

    “Pelantikan Timbalan Speaker yang ketiga penting dan mesti daripada blok pembangkang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

    Ketika ini, Alice Lau (PH-Lanang) dan Ramli Nor (BN-Cameron Highlands) berkhidmat sebagai timbalan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

    Kiandee berkata, pelantikan timbalan speaker ketiga daripada blok pembangkang akan membantu mengharmonikan Parlimen, tambahnya mana-mana Ahli Parlimen yang dilantik ke jawatan itu perlu berlaku adil kepada mana-mana pihak.

    Sebagai maklum balas kepada cadangan Ronald itu, Johari hanya mengangguk dan berkata: “Insya-Allah.”

    Pada September 2021, menteri undang-undang ketika itu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mencadangkan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelantikan timbalan speaker ketiga.

    Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak akan menyokong pindaan tersebut kerana dua timbalan speaker sudah mencukupi.

    Muhyiddin menambah, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang memberi kuasa kepada speaker untuk membenarkan mana-mana ahli Parlimen mempengerusikan persidangan tanpa kehadiran speaker atau timbalan speaker.

  • Wujudkan Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen, kata Ronald

    Wujudkan Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen, kata Ronald

    AHLI Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mencadangkan diwujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Kewangan di Parlimen bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyuarakan pendapat mereka sebelum belanjawan negara dibentangkan.

    Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perkara berkenaan juga sering dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan sekarang ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini.

    “Ramai Ahli Parlimen terbabit dalam perbahasan belanjawan tetapi adakah cadangan dan teguran mereka dapat diambil kira oleh kerajaan, yang boleh mengubah pembentangan belanjawan?

    “Justeru, kita perlu mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Kewangan bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk menyuarakan pendapat sebelum belanjawan dibentangkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ronald turut menekankan kepentingan untuk semua ahli Parlimen mendapat peruntukan kewangan yang sama rata, dan ia perlu dimaktubkan dalam undang-undang atau peraturan bagi memastikan peruntukan kewangan berkenaan kekal walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

    “Kerajaan sekarang (membabitkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan) berasal daripada blok sini (pembangkang). Anda lebih faham bahawa peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen diperlukan kerana duduk di sana (kerajaan) tidak kekal.

    “Ada peruntukan yang boleh dijadikan instrumen undang-undang… boleh dibuat melalui pindaan Perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat untuk meletakkan ia sebagai satu instrumen kekal,” katanya.

    Ronald juga mencadangkan supaya kedudukan Ketua Pembangkang dijadikan instrumen jelas yang bukan saja bertaraf Menteri Kanan tetapi juga berserta faedah lain.

    “Ia perlu datang dengan faedah dari segi penyelidik, pegawai dan sebagainya, sama seperti Parlimen Komanwel lain yang menyatakan kedudukan Ketua Pembangkang sama taraf serta penting,” katanya, lapor Berita Harian.