Tag: kata peguam

  • Kerajaan perlu jelaskan apa dimaksudkan dengan ‘3R’, kata peguam

    Kerajaan perlu jelaskan apa dimaksudkan dengan ‘3R’, kata peguam

    AMARAN dan peringatan keras daripada menteri-menteri kerajaan supaya rakyat tidak membuat kenyataan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum kini dipersoalkan apabila seorang peguam menjelaskan beberapa takrifan bersandarkan isu-isu tersebut adalah bertepatan daripada segi undang-undang.

    Peguam Rafique Rashid berkata, kenyataan seperti takrifan Malaysia sebagai negara Melayu dan bukan negara pelbagai kaum sangat konsisten dengan Perlembagaan menjadikannya tidak salah daripada segi perundangan.

    Katanya, bercakap dan membuat kenyataan mengenai agama dan kaum secara ilmiah pula dibenarkan dari sisi undang-undang.

    “Selagi mana kita berhujah dan berdebat dengan sihat dan terbuka dan baik tanpa apa-apa keganasan, ianya adalah dibenarkan oleh undang-undang,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Komen itu muncul selepas kenyataan bukan sahaja Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang kerap kali mengulang amaran yang sama mengenai topik 3R.

    Paling terbaru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarurin Husain mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R sepanjang tempoh berkempen.

    Bagaimanapun, sehingga kini, kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Dalam Negeri masih belum memberikan penjelasan kukuh atau takrifan tepat yang boleh menjadi indikasi bahawa seseorang itu melangkaui batas dalam bercakap tentang isu raja, kaum dan agama.

    Mengulas lanjut, Rafique mengakui kenyataan-kenyataan membabitkan isu 3R akan sering kali dibangkitkan dan timbul menjelang musim pilihan raya.

    Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting dalam bercakap tentang 3R adalah perbezaan yang menunjukkan penyalahgunaan isu 3R demi kepentingan politik dan juga menyalahgunakan kenyataan-kenyataan sehingga menjadi ‘hate speech’ menggunakan isu 3R yang sudah pun termaktub dalam perlembagaan.

    “Kenapa saya kata begitu? Oleh kerana, sekiranya seseorang menyatakan orang Melayu adalah golongan yang mempunyai hak keistimewaan bersama dengan orang-orang Bumiputera dan orang-orang asal, Sabah dan Sarawak seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan maka ianya tidak salah.

    “Kerana itu lah yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

    Berkenaan R yang kedua, iaitu ‘religion’ atau agama, jika seseorang memberitahu bahawa Perlembagaan di Malaysia adalah bukan Perlembagaan yang sekular kerana mengiktiraf hak agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, maka ianya juga dibenarkan dari segi undang-undang.

    Terakhir, katanya, mengenai ‘royalty’ pula selalunya melibatkan kes hasutan, cacian dan makian tanpa sebab yang sudah semestinya akan dikira sebagai menghina institusi diraja.

    “Tetapi sekiranya seseorang itu menceritakan sejarah institusi raja-raja dan kita pun tahu dan sedia maklum sejarah pelbagai perkara libat institusi raja yang mungkin boleh dikategorikan sebagai kurang enak untuk dibahaskan.

    “Namun sekiranya ianya dibuat bersandarkan kepada hujah dan fakta-fakta sejarah, maka jika ingin menjelaskan sesuatu perkara ianya harus dibenarkan dan tidak salah dari segi undang-undang.”

    Katanya lagi, bagi ketiga-tiga elemen ‘R’ itu meskipun dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi didapati ianya bagi membincangkan sesuatu bersandarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, ianya kemudian bokeh menjadi pembelaan.

    Terdahulu, Fahmi mengundang reaksi negatif netizen selepas memberitahu pengkritiknya mereka mungkin dikunjungi kereta polis ketika sesi siaran langsung di TikTok.

    Selepas dikecam hebat, beliau menjelaskan kenyataan ketika siaran langsung di TikTok itu sebagai amaran ditujukan kepada mereka yang membuat komen mengenai isu 3R dan bukan kerana kritikan terhadap dirinya.

    Mengulas lanjut, Rafique mempersoalkan mengapa tiba-tiba sahaja terdapat terlalu ramai pihak dan individu yang mengkritik kerajaan dipanggil oleh pihak berkuasa.

    Katanya, pemerhatiannya mendapati mereka yang sering dipanggil oleh pihak berkuasa adalah individu yang membuat kenyataan dan kritikan kepada kerajaan meskipun mereka hanya menyatakan perkara-perkara mengenai hak orang Melayu dan agama Islam.

    “Adakah pihak berkuasa dengan arahan menteri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan atas arahan menteri dalam usaha untuk mendiamkan suara-suara ini?”

    Tambahnya lagi, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan kebebasan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun hak itu boleh dihalang atau dihadkan oleh peruntukan undang-undang yang lain.

    “Tetapi adakah dengan bersuara sahaja dikatakan sebagai harus panggil polis dan panggil siasatan?

    “Adakah untuk menakut-nakutkan orang supaya tidak bersuara dan mengkritik kerana kritikan itu mungkin satu kritikan yang membina.

    “Jadi perlu ada keseimbangan atau jalan tengah,” ujarnya lagi.

  • Saya tidak pernah jumpa Jho Low, kata peguam

    Saya tidak pernah jumpa Jho Low, kata peguam

    RAKAN kongsi firma guaman Wong & Partners, yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam urusan pembiayaannya pada 2010 berkata, beliau tidak pernah bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

    Lim Chin Hian, 52, yang mengetuai Kumpulan Amalan Kewangan & Projek di firma guaman itu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau 100 peratus yakin tidak pernah bertemu Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low walaupun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan bahawa beliau pernah menemui ahli perniagaan itu.

    Lim berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion milik 1MDB.

    Muhammad Shafee bagaimanapun menegaskan bahawa terdapat saksi pembelaan yang tidak dinamakan bagi kes itu yang mendakwa saksi tersebut telah menghadiri mesyuarat bersama Jho Low dan seorang lagi rakan kongsi Wong & Partners, Brian Chia.

    Muhammad Shafee: Saya akan tanya soalan ini dan saya berharap kamu akan mengingati peristiwa yang berlaku, sejujur mungkin di mahkamah. Kamu pernah jumpa Jho Low?

    Lim: Saya tidak pernah jumpa Jho Low. Seratus peratus saya tidak jumpa Jho Low.

    Muhammad Shafee: Bagaimana jika saya katakan bahawa kami mempunyai saksi daripada 1MDB yang namanya tidak akan kami dedahkan, siapa sebenarnya menghadiri mesyuarat yag dihadiri Jho Low, Brian Chia hadir dan anda hadir?

    Lim: Saya tidak bersetuju.

    Peguam itu kemudiannya menyoal mengenai AS$700 juta daripada AS$1 bilion untuk syarikat usaha sama (JV) antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah entiti milik Jho Low.

    Lim berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya dan tidak menyedari wang itu tidak dihantar kepada syarikat JV itu.

    Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada Lim bahawa pendapat undang-undang yang diberikan oleh Chia, yang mencadangkan bahawa tidak mengapa untuk menghantar wang kepada Good Star telah menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian AS$700 juta.

    Saksi sekali lagi menjawab beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

    Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu bahawa nasihat yang diberikan (oleh Chia) adalah untuk melindungi orang tertentu dalam pengurusan 1MDB. Pendapat undang-undang ini dibuat untuk menguntungkan Jho Low dan menyebabkan 1MDB kerugian AS$700 juta.

    Lim: Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan tidak boleh mengulas.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Nov.

  • Saman Najib terhadap Tommy Thomas serangan sampingan, kata peguam

    Saman Najib terhadap Tommy Thomas serangan sampingan, kata peguam

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menyaman Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah laku ketika bertugas kerana mengemukakan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu disifatkan sebagai serangan sampingan terhadap kes yang dihadapinya.

    Peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili bekas Peguam Negara itu berkata demikian ketika pendengaran untuk membatalkan saman berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

    Menurutnya, menerusi pernyataan tuntutan, Najib tidak memohon sebarang relif maka ia menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak mencabar budi bicara pendakwa raya dalam empat kes mahkamah yang dihadapinya.

    Sebaliknya, beliau berkata, Najib bersandarkan kepada dakwaan bahawa empat kes itu adalah berniat jahat terhadapnya.

    Bagaimanapun Alan berkata, ia bukan salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil dan diiktiraf di negara ini.

    “Tuntutan saman ini adalah untuk mencabar pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, ini jelas menunjukkan salah guna proses mahkamah.

    “Ia juga melampau, remeh dan menyusahkan, jadi kami menyatakan mahkamah wajar menolak saman ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib selaku plaintif berkata, anak guamnya tidak mencabar empat kes terbabit sebaliknya menyentuh kelakuan Thomas sebagai Peguam Negara ketika itu.

    “Tan Sri Tommy Thomas sudah menyasarkan Datuk Seri Najib sejak tahun 2012 dan ia sudah lama dirancang, maka ia bukan suatu yang wajar dibuat kerana seorang Peguam Negara tidak boleh berat sebelah.

    “Kenyataan Thomas dalam bukunya My Story: Justice In Wilderness berhubung pendakwaan terhadap plaintif adalah kenyataan luar biasa oleh seorang Peguam Negara.

    “Beliau tidak boleh ada kepercayaan bahawa seseorang itu sudah bersalah, sekali gus ini menunjukkan salah laku,” katanya.

    Dalam prosiding berkenaan, Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut kelabu berkemeja putih, duduk dalam keadaan tenang di galeri awam serta diawasi pegawai dari Penjara Kajang.

    Turut kelihatan ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2021 dengan menamakan Thomas dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

    Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache bersambung 21 Oktober depan.