Tag: kata pakar

  • Intipati skim kesihatan baru Madani sudah ditawar di Selangor 6 tahun lalu, kata pakar

    Intipati skim kesihatan baru Madani sudah ditawar di Selangor 6 tahun lalu, kata pakar

    SKIM kesihatan yang baru diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pun dilaksanakan di Selangor menerusi Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan pada 2017 semasa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar.

    Pakar kesihatan awam Dr. Zainal Ariffin Omar turut berkata, semua perkhidmatan yang diumumkan sudah disediakan di fasiliti KKM dengan bayaran RM1.00.

    “Skim baru ini lebih kurang sama dengan skim kerajaan Selangor, iaitu Skim Peduli Sihat Selangor,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Tujuannya untuk beri peluang kepada golongan yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendapat rawatan yang cepat daripada pegawai perubatan umum (GP) dan mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di fasilti KKM.”

    Dalam satu kenyataan, Menteri kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata KKM memperkenalkan program rintis Skim Perubatan Madani hari ini yang bermula di 10 daerah di seluruh negara, setelah diumumkan dalam Bajet 2023 tahun lepas.

    Menerusi skim baru itu, golongan berpendapatan rendah yang menerima STR boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer.

    “Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan,” katanya.

    Menurut Zainal, sebanyak 700,000 isi rumah dijangka memanfaatkan skim tersebut yang mempunyai peruntukan sebanyak RM100 juta.

    Secara asasnya, kedua-dua skim itu merupakan subsidi kesihatan yang mana kerajaan akan membayar kos rawatan kepada GP yang terlibat.

    “Ada had maksima utk setiap isi rumah dan jenis perkhidmatan,” tambah Zainal.

  • Fahmi perlu fokus masalah rakyat, bukan tiket Coldplay, kata pakar

    Fahmi perlu fokus masalah rakyat, bukan tiket Coldplay, kata pakar

    SEORANG pakar komunikasi dan media berkata, kebimbangan berlebihan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil terhadap isu jualan semula tiket konsert Coldplay dalam media sosial tidak perlu dipanjangkan sebaliknya memfokuskan kepada isu-isu yang lebih utama dalam kementerian tersebut.

    Ini termasuklah keperluan asas komunikasi dan digital rakyat seperti masalah liputan jalur lebar, perihal data peribadi, perkhidmatan pos, serta pelbagai masalah lain terutamanya keperluan awam yang perlu diberikan keutamaan.

    Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abd. Aziz Aizam berkata, meskipun kenyataan beliau dilihat sebagai perkara yang ringkas, namun pada masa sama Fahmi sendiri seperti memperlekehkan kedudukannya sebagai menteri yang memikul tanggungjawab lebih besar.

    “Beliau kena sedar bahawa beliau bukan lagi ahli politik pembangkang.

    “Tetapi beliau adalah seorang menteri, tambahan pula beliau sebagai menteri komunikasi dan digital.

    “Beliau kena berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan waima hanya satu perkataan dalam media sosial kerana kenyataan menteri adalah kenyataan yang boleh difikirkan sebagai satu perkara mustahak secara umumnya,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan Fahmi yang meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjual semula tiket konsert itu dalam media sosial.

    Media melaporkan, terdapat pihak yang menjual semula tiket konsert kumpulan muzik terkemuka British itu dengan harga mencecah RM43,200 sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

    Selain itu, kata Aziz, Fahmi perlu sedar apakah isu mengenai konsert Coldplay yang dibangkitkannya itu merupakan isu keperluan dan kepentingan umum rakyat ataupun sekadar perkara yang meliputi kehendak segelintir pihak.

    “Rakyat boleh menilai sejauh mana seseorang pemimpin serius dalam menjalankan tanggungjawabnya dan faham ruang lingkup kerja mereka,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut, beliau berkata kebimbangan Fahmi terhadap isu-isu yang di luar dari fokus utama kementerian tersebut dikhuatiri akan memberi ruang kepada kritikan tambahan rakyat terhadap kerajaan campuran selain isu terkini melibatkan penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan agama Kristian.

    Coldplay dijadualkan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia sempena siri jelajah ‘Music Of The Spheres World Tour’ di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini.