Tag: kata Noh Omar

  • PRN: Saingan dua penjuru, PN boleh menang di 33 kerusi majoriti Melayu, kata Noh Omar

    PRN: Saingan dua penjuru, PN boleh menang di 33 kerusi majoriti Melayu, kata Noh Omar

    TAN Sri Noh Omar menjangkakan strategi pertembungan dua penjuru di Selangor mungkin memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Namun menurut bekas Pengerusi UMNO Selangor itu, kemenangan di kerusi satu lawan satu bergantung kepada peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi, selain sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

    “Jika keadaan itu sekurang-kurangnya 33 daripada 56 kerusi di Selangor yang lebih 60 peratus pengundi Melayu, mampu dimenangi oleh PN.

    “Sebab di seluruh Selangor ini kita ada 33 kerusi, yang pengundian Melayu lebih 60 peratus.

    “Ini adalah target (sasaran) kita. Sebab itu saya ambil contoh, macam dekat PDM (Pusat Daerah Mengundi), kalau PDM itu kalau ada pengundi bukan Melayu, dia 40 peratus, tentu kalah.

    “Sebab pengundi Melayu 60 peratus, pecah tiga (saingan tiga penjuru). Sebab itu dia (saingan kerusi) tak boleh pecah tiga, tetapi kena pecah dua (baru) kita (PN) boleh menang,” katanya.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Sungai Gulang-Gulang, di Hulu Selangor, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Noh berkata, walaupun telah dipecat daripada UMNO, teori saingan dua penjuru yang diperjuangkan beliau sejak menjadi Pengerusi UMNO Selangor diteruskan melalui platform Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mengalahkan PH.

    Selain itu, beliau berkata, manifesto PN Selangor iaitu ‘Selangor Baharu Kita Bangkit’ disifatkan sebagai menyeluruh kerana merangkumi kebajikan penduduk di luar dan separa bandar, yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

    “Di Selangor, mesti ada manifesto untuk bandar, separa dan luar bandar. Saya masyarakat luar bandar (Tanjong Karang), terima kasih (kerana tawar pemansuhan) parkir.

    “Daripada dulu saya memang tak bersetuju (kena ada bayaran) parkir di kampung dan luar bandar di Tanjong Karang. Kenapa buat (bayaran) parkir, ini luar bandar,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Pada PRN 12 Ogos ini, 26 kerusi menyaksikan persaingan dua penjuru antara gabungan PH-BN dengan PN, 25 kerusi melibatkan tiga penjuru manakala lima kerusi berdepan saingan empat penjuru.

    DUN Permatang menyaksikan saingan dua penjuru antara antara Nurul Syazwani yang juga anak Noh, menentang Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri.

  • ‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

    ‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

    KERAJAAN Perpaduan yang sebenar ialah ketika Malaysia ditadbir oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Menurut bekas ahli Parlimen Tanjong Karang itu, pentadbiran Muhyiddin lebih menggambarkan Kerajaan Perpaduan apabila semua parti yang terlibat dalam kerajaan pada ketika itu hanya bekerjasama di peringkat Persekutuan meskipun mempunyai hala tuju masing-masing di peringkat negeri.

    Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang berlangsung pada 2021 adalah contoh terbaik apabila UMNO bertembung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas meskipun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memegang portfolio menteri Kabinet.

    “Saya pelik melihat pemimpin UMNO (sekarang). Kerajaan Perpaduan ini meskipun yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, saya percaya dan yakin Kerajaan Perpaduan waktu Muhyiddin paling berjaya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baru Kita Bangkit Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi.

    “Ketika itu, kita (UMNO) bersama PN (Perikatan Nasional) . Saya masih ingat di peringkat Pusat. Saya pun menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun menteri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga menteri.

    “Bayangkan apabila sampai PRN Melaka dan Johor, pada Rabu kami hadir mesyuarat Kabinet. Habis saja mesyuarat, sebelah malam kita berperang.”

    Noh berkata demikian bagi mengulas kerjasama BN-PH yang bercadang untuk mengagihkan kerusi bagi memastikan tiada pertembungan pada pilihan raya yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

    Dalam pada itu, Noh yakin PN mampu merampas Selangor sekiranya berlaku persaingan satu lawan satu antara PN dan PH atau BN.

    “PH mesti dikalahkan. Itulah cita-cita saya selama tiga penggal sejak 2008. Tetapi BN hanya tinggal harapan.

    “Sebab apa? Sebab Selangor ini lain dari negeri lain. Kita jangan bertembung tiga penjuru, kalau tak PH akan berjaya. kita harap Selangor akan bertembung dua penjuru (satu lawan satu),” tambahnya, lapor MalaysiaNow.