Tag: kata Nik Abduh

  • ‘Tiada masalah tak tanding’, kata Nik Abduh

    ‘Tiada masalah tak tanding’, kata Nik Abduh

    BEKAS Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berlapang dada dan menerima keputusan Pas yang tidak mencalonkannya pada pilihan raya negeri (PRN) dengan hati terbuka.

    Malah katanya, beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanding dan ia tiada masalah walaupun namanya tidak tersenarai.

    “Sebab itu saya tegaskan tidak bertanding pun tiada masalah kerana dan saya terima dengan hati yang terbuka.

    “Namun saya akan tetap membantu jentera parti untuk berkempen bagi memastikan Pas terus mentadbir Kelantan dan berharap semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya menurut Harian Metro.

    Mengulas mengenai dakwaan berhubung dua kerusi yang ditawarkan kepadanya, beliau meminta media mengajukan soalan itu kepada pucuk pimpinan parti.

    “Kisahnya begini, minta tulis elok-elok ye, ketika saya mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, saya mengatakan hasrat kepada beliau sekiranya parti mahu saya bertanding, saya memohon untuk bertanding di tempat yang tidak mengganggu tugas pertama saya iaitu di Pulau Melaka.

    “Ini kerana selepas PRU saya menguruskan tapak wakaf, Maahad Darul Anuar (Mada) peninggalan arwah bapa, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    “Justeru saya minta supaya tugas politik saya nanti sekiranya menang tidak menghalang saya untuk menguruskan Mada dan saya tidak memohon mana-mana kerusi khusus sebagaimana didakwa, saya hanya menyatakan hasrat berkenaan,” katanya.

  • Rancang jumpa Anwar sebelum Ramadan lagi, kata Nik Abduh

    Rancang jumpa Anwar sebelum Ramadan lagi, kata Nik Abduh

    AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau merancang untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Ramadan lagi.

    Jelas beliau,pertemuan dengan Perdana Menteri itu hanyalah perjumpaan biasa yang tidak mempunyai hubung kait dengan politik.

    “Masa jadi ahli Parlimen saya selalu jumpa dengan beliau (Anwar). Jadi bila beliau dah jadi Perdana Menteri saya tidak lagi berjumpa denganya.

    “Jadi saya minta melalui kenalan untuk jumpa. Lama dah minta, belum puasa lagi…cuma tidak dapat kerana beliau sibuk,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka di Kota Bharu semalam.

    Menurut beliau, pertemuan itu menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri hadir ke Rumah Terbuka Malaysia Madani di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.

    Ujarnya, beliau diberi masa untuk bertemu dengan Anwar selepas selesai menunaikan solat Maghrib.

    Nik Abduh memberitahu, beliau bertuah dapat bertemu dengan Anwar selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Pada pertemuan itu, saya ucap tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri dapat jalankan tugas dengan baik sebagai Perdana Menteri.

    “Saya turut membawa amanah daripada orang untuk disampaikan kepada Perdana Menteri. Soal politik tiada,” katanya.

    Menurut Nik Abduh pertemuan dengan abangnya, Nik Omar semasa berjumpa dengan Perdana Menteri adalah secara kebetulan.

    “Abang saya datang dari Kuala Lumpur dan kami bertemu di situ. Dia (Nik Omar) datang nak jumpa Perdana Menteri.

    “Saya sudah jangka gambar pertemuan itu akan tular kerana ramai yang mengambilnya (merakam). Jadi saya tidak berminat dengan viral sebab itu enggan memberikan sebarang komen,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Negara lebih stabil jika Pas tadbir, kata Nik Abduh

    Negara lebih stabil jika Pas tadbir, kata Nik Abduh

    PENTADBIRAN negara akan menjadi lebih stabil sekiranya Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rekod bersih dan bebas rasuah membuktikan parti itu mampu mentadbir dengan baik sebagaimana yang ditunjukkan semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN).

    “Kebanyakan kes rasuah yang dilemparkan kepada Pas bersifat tohmahan semata-mata.

    “Tohmahan itu gagal dibuktikan secara jelas menerusi pendakwaan di mahkamah,” katanya semasa berceramah di Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, di Pasir Tumboh, Kota Bharu, malam tadi.

    Menurut beliau, perkara tersebut turut dibuktikan oleh Pas selama 32 tahun mentadbir Kelantan.

    Katanya lagi, rekod bersih itu meletakkan Pas menjadi parti bersih dan bebas dari rasuah.

    “Bagaimanapun Barisan Nasional (BN), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP yang merupakan parti besar di negera ini terpalit dengan isu rasuah sehingga ada pendakwaan di mahkamah,” katanya lapor Sinar Harian.

    Ujar beliau, komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) bebas daripada kes rasuah.

    “Jika rakyat Malaysia memilih PN pada PRU15 Sabtu ini, komponen itu mampu mentadbir negara dengan lebih baik,” katanya.