Tag: kata Muhyiddin

  • PN janji laksana manifesto segera jika menang PRN Selangor, kata Muhyiddin

    PN janji laksana manifesto segera jika menang PRN Selangor, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis memastikan segala janji manifesto ditawarkan kepada rakyat Selangor dilaksanakan segera sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu pada Sabtu ini.

    “Proses implementasi mesti dilakukan bagi membolehkan segala janji manifesto ditunaikan dan tidak tertangguh terlalu lama.

    “Kenapa (manifesto) tidak boleh lambat, (sebab) rakyat hari ini tidak boleh tahan walaupun sehari (akibat tekanan kos sara hidup),” katanya ketika berucap semasa Program Restart Permatang, Ayuh Bangkit Tanjong Karang di Kuala Selangor malam tadi.

    Katanya, jika PN menang dan mentadbir kerajaan Selangor sudah tentu kerajaan baharu dibentuk mempunyai komitmen besar bagi melaksanakan manifesto bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion.

    Jelas beliau, negara ketika ini berhadapan dengan masalah ketidaktentuan ekonomi, tetapi tiada peruntukan disediakan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM10, RM50 atau RM100 bilion untuk membantu rakyat.

    “Selangor kecil pun jika PN menang (sedia peruntukan RM2 bilion) yang diperoleh hasil daripada simpanan untuk selesai masalah rakyat,” jelas beliau.

    Muhyiddin menegaskan, Menteri Besar Selangor yang dilantik mengetuai PN mestilah bertanggungjawab sepenuhnya bagi memulihkan dan memajukan negeri ini.

    Sehubungan itu, katanya, satu badan pemantau bebas juga perlu diwujudkan bagi memantau perbelanjaan digunakan bagi melaksanakan semua janji manifesto PRN Selangor.

    Kata beliau, semua perbelanjaan termasuk penerima manfaat itu mesti direkod dalam sistem bagi memastikan pengagihan dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

    “Sistem (dilaksanakan mesti mudah dan mesra pengguna) contohnya bagaimana cara memohon bantuan dan paling penting jangan mohon hari ini, tiga tahun baru nak lulus.

    “Susah kita (apabila) sampai pilihan raya, (pengundi) cakap (kita) bohong, kata janji nak buat cepat, tetapi dah tiga tahun tak selesai.

    “Justeru, kita akan teliti dan lihat (manifesto rakyat) supaya ia akan dilaksanakan sepenuhnya,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN:’Saya dapat rasakan angin perubahan di Selangor’, kata Muhyiddin

    PRN:’Saya dapat rasakan angin perubahan di Selangor’, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin angin perubahan akan berlaku di Negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

    “Insya-Allah, berkat sokongan padu seluruh rakyat di negeri Selangor, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, Perikatan Nasional akan beroleh kemenangan besar dalam pilihanraya negeri pada 12 Ogos nanti dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, prihatin dan stabil.

    “Saya dapat merasakan angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri Selangor dan mudah-mudahan ia akan membentuk suatu gelombang sokongan rakyat yang kuat dan padu kepada Perikatan Nasional,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan tawaran PN Selangor menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang bernilai lebih RM2 bilion, dalam Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam malam ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, PN percaya akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih prihatin terhadap rakyat sekiranya diberikan mandat pada 12 Ogos depan.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada semua pengundi di negeri Selangor supaya keluar beramai-ramai pada hari pengundian nanti dan undilah calon-calon Perikatan Nasional.

    “Mudah-mudahan dengan sokongan anda semua, kita akan dapat membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih prihatin terhadap nasib rakyat dan lebih berkemampuan untuk memacu kemajuan dan pembangunan negeri Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi utama bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global,” katanya, lapor Astro Awani.

    Hadir sama dalam acara berkenaan ialah Pengerusi PN Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan PN peringkat negeri.

  • Kes Allah: Anwar tak rayu, bodoh tak, kata Muhyiddin

    Kes Allah: Anwar tak rayu, bodoh tak, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal kewajaran Kerajaan Madani tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes kalimah Allah dalam kes Jill Ireland.

    Semasa ceramah di Kapar, Selangor, kelmarin, Muhyiddin mendakwa keputusan kerajaan menggugurkan rayuan kes Ireland pada Mei lalu membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan keputusan mahkamah bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah.

    “Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri buat keputusan supaya tidak rayu (kes itu), bodoh tak.

    “Tapi Anwar sebagai Perdana Menteri, dia buat keputusan tak rayu, bila kata tidak rayu, maknanya terimala keputusan mahkamah setakat itu, yang membolehkan orang-orang Kristian guna kalimah Allah,” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu seterusnya mendakwa Anwar dimanipulasi untuk membuat keputusan berkenaan oleh DAP.

    “Saudara tahu siapa yang sebabkan dia (Anwar) buat keputusan itu.

    “Dia (adalah) Anwar Ibrahim, tapi di sebalik Anwar adalah anggota-anggota parti DAP yang saya tahu waktu saya jadi Menteri (Dalam Negeri) pun mendesak untuk tidak merayu (kes Ireland),” katanya, lapor Malaysiakini.

    Dalam reaksi kepada ucapan Muhyiddin itu, DAP kemudian membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri itu, kerana memainkan isu 3R (kaum, agama, raja-raja).

    Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan itu semalam, menggesa polis menyiasat Muhyiddin bawah Akta Hasutan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

    “Ini adalah satu perilaku hipokrit PN apabila mereka sendiri menggunakan isu 3R untuk PRN yang berlangsung ketika ini.

    “Niat mereka, tidak lain tidak bukan untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan dalam kalangan pengundi terhadap PH,” katanya yang dipetik oleh Sinar Daily semalam.

    Kerajaan menggugurkan rayuannya terhadap kes Ireland pada Mei lalu yang membawa kepada kekecohan dalam kalangan masyarakat konservatif yang percaya kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam.

    Anwar berkata, keputusan untuk menggugurkan rayuan itu adalah supaya kerajaan boleh meminda undang-undang yang memberi ruang kepada percanggahan dalam isu Allah supaya perkara itu tidak lagi boleh dicabar di mahkamah kelak.

    Kerajaan juga bercadang untuk mengehadkan penggunaan perkataan itu oleh orang bukan Islam kepada hanya di Sabah dan Sarawak.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menafikan DAP mempengaruhi keputusan kabinet untuk menggugurkan rayuan kes Ireland.

    Pengerusi parti, Lim Guan Eng juga mencabar Muhyiddin untuk mendedahkan menteri DAP yang didakwa melobi mereka untuk tidak merayu kes Ireland ketika pengerusi PN itu menjadi menteri dalam negeri.

    Ini kali kedua Muhyiddin meniupkan sentimen orang Islam untuk menentang Kristian dalam kempen pilihan raya mereka.

    Semasa pilihan raya umum ke-15, beliau mendakwa sekumpulan Yahudi dan Kristian merancang menjadikan Malaysia diperintah oleh proksi mereka, Pakatan Harapan.

    “Bagi saya, ini berbahaya. Adakah ini bermakna akan ada proses ‘Kristianisasi’? Kita pernah dengar cerita sebelum ini, bukan?

    “Di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, ada orang Melayu ke gereja pada hari Ahad. Mereka telah jadi orang Kristian.

    “Saya tidak fikir (ada ramai) kerana kebanyakan kita adalah orang Islam. Bagaimanapun, agenda dan niat mereka adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai tanah jajahan,” katanya pada November lalu.

  • PRN: Mudah-mudahan menang, kata Muhyiddin

    PRN: Mudah-mudahan menang, kata Muhyiddin

    “MUDAH-MUDAHAN menang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai calon-calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditemui di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, hari ini.

    Muhyiddin sebelum itu mengiringi tiga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Muhammad Hanif Jamaluddin bagi kerusi DUN Sungai Tua untuk PRN kali ini.

    Bagi kerusi Sungai Tua, penyandangnya, Datuk Seri Amirudin Shari akan menghadapi cabaran Muhammad Hanif dan seorang calon Bebas iaitu Suman Gopal.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon-calon PN di DUN Hulu Kelang iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan calon PN untuk DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin. GAMBAR: Warta Rakyat

    Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua selama tiga penggal.

    Mohamed Azmin pula yang berpindah ke kerusi Hulu Kelang dari Bukit Antarabangsa akan berdepan satu lawan satu menentang Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH).

    Azmin Ali menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang pada PRN Selangor di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, hari ini. – Foto GAMBAR Warta Rakyat

    Kerusi DUN Hulu Kelang sebelum ini ditandingi Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertukar kerusi DUN Batu Tiga dengan PKR.

    Pada PRU-14, DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.

    Dalam pada itu, satu lagi kerusi ‘panas’ di bawah Parlimen Gombak iaitu DUN Gombak Setia akan turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

    Pegawai Pengurus DUN N17 Gombak Setia, Mohd. Hasrul Hisham Abdullah mengisytiharkan penyandang kerusi itu, Muhammad Hilman Idham akan menentang calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

    Seorang lagi adalah calon Bebas iaitu Mohamed Salim Mohamed Ali.

  • PRN:Sumbangan kempen kepada PN bukan satu kesalahan, kata Muhyiddin

    PRN:Sumbangan kempen kepada PN bukan satu kesalahan, kata Muhyiddin

    SUMBANGAN untuk menjalankan kempen pilihan raya negeri (PRN) yang disalurkan kepada Perikatan Nasional (PN) bukan satu kesalahan, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Sumbangan ini tidak perlu dipertikaikan berikutan ia hasil kerja keras penyokong mereka bagi membantu kelancaran kempen gabungan itu.

    “Ya, akaun saya semua dibekukan dan ini semua (sumbangan) adalah wang rakyat (penyokong) untuk membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.

    “Jadi, kenapa kita perlu mempersoalkan (derma itu) kerana saya tidak mempertikaikan berapa banyak pun (wang) yang mereka (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) belanjakan (untuk kempen mereka),” katanya.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon-calon PN di DUN Hulu Kelang iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan calon PN untuk DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak hari ini.

    Muhyiddin mengulas mengenai sumber dana selepas mendapat sokongan lebih 5,000 penyokong sempena proses penamaan calon berkenaan.

    Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu turut membidas beberapa pengumuman bantuan tunai yang diumumkan kerajaan Selasa lalu.

    Menurutnya, secara tiba-tiba bantuan tunai kepada rakyat dilakukan dalam masa hanya dua minggu.

    Penyokong hadir menyokong calon-calon PN di DUN Hulu Kelang iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan calon PN untuk DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dia (sebelum ini) tabur janji demi janji ketika orang ramai menunggu, tetapi tiada apa yang diberikan,” katanya lapor Sinar Harian.

    “Tiba-tiba sekarang kamu ada duit. Tengok, inilah yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan sepanjang masa,” ujarnya.

    Muhyiddin terdahulu yang mengiringi calon PN bagi DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan DUN Sungai Tua, Hanif Jamaluddin tiba di pusat penamaan calon tersebut pukul 8.40 pagi.

  • PN tawar pemulihan ekonomi, inflasi segera jika menang PRN, kata Muhyiddin

    PN tawar pemulihan ekonomi, inflasi segera jika menang PRN, kata Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menjanjikan keutamaan dalam menyelesaikan kos sara hidup, inflasi dan kenaikan harga barang sebaik sahaja gabungan itu berjaya tubuh kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu juga akan berusaha membantu ringankan bebanan rakyat disebabkan konflik-konflik tersebut dalam kadar segera sejurus selepas kerajaan negeri dibentuk. 

    Selain itu, katanya, PN juga meneliti isu-isu lain yang dihadapi rakyat contohnya isu berkaitan pekerjaan dan pendapatan serta masalah-masalah lain yang berbangkit sehingga mengganggu urusan harian rakyat. 

    “Secara umumnya adalah soal pemulihan ekonomi dipercepatkan supaya peluang-peluang kerja lebih banyak dan kediaman-kediaman dibina untuk orang yang tak ada rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak, hari ini. 

    Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan tawaran-tawaran yang disebut itu juga terkandung di dalam manifesto PN bagi menghadapi PRN di enam negeri. 

    Katanya, pelancaran manifesto itu dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat, lapor Malaysianow.

    Antara lain, katanya, terdapat juga beberapa isu utama yang lain akan difokuskan dalam manifesto berkenaan. 

    Ini termasuklah soal kesihatan rakyat, pendidikan, iklim, alam sekitar dan lain-lain turut ditekankan dalam kandungan manifesto itu. 

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pihaknya yakin dan percaya dengan pengalaman mereka pernah mentadbir negara dan negeri menjadikan PN ramai ahli-ahli korporat dan profesional sebagai calon untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat.

  • Putrajaya ‘bergegar’ jika PN berjaya tawan lima negeri, kata Muhyiddin

    Putrajaya ‘bergegar’ jika PN berjaya tawan lima negeri, kata Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) dilihat mempunyai keyakinan tersendiri pada pilihan raya di enam negeri kali ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Malah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu beranggapan kepimpinan kerajaan Pusat akan ‘terganggu’ sekiranya mereka berjaya menawan sebahagian besar negeri.

    Katanya, pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos nanti merupakan penentu sama ada kerajaan Pusat yang memerintah ketika ini berjaya mengekalkan tampuk pemerintahan atau sebaliknya.

    “Sekiranya keputusan yang akan dicatat pada hari akhir mengundi itu.. insya-Allah enam negeri yang kita tandingi ini kalau tak semua pun lima buah negeri kita menang dengan cemerlang, saya kira ia akan menggegarkan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ia menjadi petanda di peringkat awal (bahawa) kerajaan yang ada di peringkat Putrajaya tidak mungkin boleh bertahan lama (mungkin) kerajaan itu akan jadi kerajaan yang gagal dalam tempoh yang tak begitu lama.

    “Ia akan tumbang dan tak akan dapat bertahan lagi,” katanya ketika berucap sempena Program Jelajah Mega PNBEST Peringkat Negeri Terengganu di dataran jambatan angkat di Kuala Terengganu malam tadi.

    Menurut Muhyiddin, keyakinan itu berdasarkan gelombang sokongan luar biasa ditunjukkan rakyat terhadap parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga kini.

    Katanya, pada PRU lalu PN mendapat sokongan 80 peratus rakyat beragama Islam dan momentum itu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa termasuk di Kelantan dan Terengganu, lapor Sinar Harian.

    PRU15 pada November tahun lalu menyaksikan PN berjaya membolot 74 kerusi, Pakatan Harapan (PH) (82 kerusi) manakala BN mendapat 30 kerusi.

    Lain-lain kerusi dimenangi gabungan Parti Sarawak (GPS) (22 kerusi), Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6 kerusi), Parti Warisan Sabah (Warisan) (3) dan calon Bebas 2 kerusi.

  • PRN:Tidak boleh terlalu yakin, perlu berjaga-jaga, kata Muhyiddin

    PRN:Tidak boleh terlalu yakin, perlu berjaga-jaga, kata Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) diingatkan supaya tidak terlalu yakin dan bersikap berjaga-jaga dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jentera perlu bekerja keras bagi memastikan keenam-enam negeri yang menghadapi PRN tersebut berjaya ditakluki PN.

    “Rundingan kerusi antara parti komponen telah selesai dilakukan dan akan dimuktamadkan pada 22 Jun depan.

    “Mesyuarat 22 Jun nanti semua yang telah dirundingkan akan diselesaikan dan selepas itu parti boleh buat persiapan yang lebih lengkap termasuk menyenaraikan nama calon-calon bagi kerusi dibawah parti masing masing.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika hadir ke Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dan akan diteliti pucuk pimpinan parti, mana (calon) yang layak dan sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di I-City Convention Centre (ICCC) di Shah Alam hari ini.

    Muhyiddin berkata, PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

    Pada masa sama, menurutnya, PN juga akan mempertimbangkan meletakkan calon baharu dan calon lama untuk dipertandingkan.

    Sebahagian daripada jentera-jentera parti melaungkan kata-kata semangat pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    “Kita ambil kira juga permintaan wanita, pemuda. Bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negara.

    “Kita ambil kira faktor itu kerana kita nak menunjukkan bahawa kita ambil perkara penting isu itu untuk penuhi citarasa pengundi di seluruh negara,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Siasatan LHDN terhadap Hamzah bersifat politik, kata Muhyiddin

    Siasatan LHDN terhadap Hamzah bersifat politik, kata Muhyiddin

    SIASATAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersifat politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi PN itu tidak melihat sebab lain siasatan itu dilakukan, sama seperti fokus siasatan terhadap beliau sebelum ini serta siasatan lain terhadap pemimpin-pemimpin parti komponen PN.

    “Justeru kita menggesa pihak berkenaan menghentikan siasatan bermotifkan politik tersebut sebaliknya memberi peluang kepada semua individu selaras dengan amalan demokrasi negara.

    “Melainkan mereka melakukan sesuatu yang salah, itu perkara lain, terpulang kepada polis untuk melakukan siasatan, bukannya mengambil tindakan semata-mata untuk kepentingan politik mereka,” kataya.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, kediaman Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut telah diserbu LHDN Selasa lalu bagi membantu siasatan kes cukai yang didakwa tidak dilaporkan.

    Bagaimanapun, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menafikan kediamannya telah diserbu dan mendakwa ia merupakan fitnah yang ditujukan terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

  • Saya sedia kerjasama dengan Tun M, kata Muhyiddin

    Saya sedia kerjasama dengan Tun M, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia bekerjasama dengan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad demi membela agama, bangsa dan negara.

    Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), orang melayu dan Islam di negara ini berada di suatu persimpangan yang getir.

    “Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.