Tag: kata Mohd. Amar

  • PN mampu buat kejutan di Pulai, Simpang Jeram, kata Mohd. Amar

    PN mampu buat kejutan di Pulai, Simpang Jeram, kata Mohd. Amar

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu membuat kejutan dengan memenangi kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) di keenam-enam negeri baru-baru ini yang memperlihatkan kebangkitan sokongan kepada PN terus meningkat.

    “Perkara ini terbukti melalui pencapaian PN terutama di Selangor dan di Negeri Sembilan.

    “Di Negeri Sembilan walaupun tak banyak kerusi dimenangi, tapi kami berjaya memecahkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan di Selangor juga kejayaan besar kerana kami berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH (Pakatan Harapan) apabila memperolehi 22 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

    “Itu pun kalau tidak kerana ada beberapa isu dalaman, mungkin kami boleh menguasai Selangor baru-baru ini. Jadi, ini satu potensi yang besar dan insya-Allah kami boleh membuat kejutan dalam PRK ini serta tidak mustahil akan memenangi kerusi-kerusi itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor, Kota Bharu hari ini.

    Pihaknya juga menaruh harapan tinggi dalam PRK di DUN Pelangai yang akan diadakan pada 7 Oktober ini dan akan meletakkan calon terbaik di kerusi Pulai serta Simpang Jeram bagi memastikan kemenangan PN.

    Beliau berkata, melihat kesan jangka panjang jika PN menang di Pulai dan Simpang Jeram, akan mengukuhkan lagi kedudukan gabungan politik antara Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Jika kami menang di dua kerusi itu, akan membuka laluan lebih mudah untuk PN menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

    “Terutamanya di Pulai kerana bagi kami, sudah meletakkan calon yang terbaik di kerusi itu yang mampu memenuhi aspirasi PN,” ujar Mohd. Amar.

    Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, penolakan terhadap UMNO terutama Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi amat ketara dalam pilihan raya lepas.

    Katanya, penolakan itu akan membantu memberikan kemenangan kepada PN dalam PRK di kerusi-kerusi dipertandingkan selain situasi politik membabitkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian dalam UMNO akan turut memainkan peranan.

    “Semua tokoh yang ada di Johor dan cenderung kepada PN, kami percaya boleh membantu PN untuk menarik undi terutama daripada penyokong-penyokong dan juga ahli-ahli UMNO sendiri.

    “Saya percaya penolakan terhadap UMNO akan terus berlaku. Jadi, kita yakin boleh ambil balik kerusi,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

  • Tukar kerajaan Pas di Kelantan tak akan selesai isu air, kata Mohd. Amar

    Tukar kerajaan Pas di Kelantan tak akan selesai isu air, kata Mohd. Amar

    TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mempersoalkan adakah isu air di negeri ini akan selesai jika menukar Pas kepada parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

    “Kalau tukar kerajaan Pas nak bagi dekat siapa (kerajaan),” ujar Naib Presiden Pas itu.

    “Jika pentadbiran negeri ini diserahkan kepada gabungan BN-PH (Barisan Nasional-Pakatan Harapan) ia tetap akan bermasalah,” katanya semasa ceramah di Kemuning, Macang, malam tadi.

    Beliau berkata demikian selepas rakyat negeri ini dilaporkan mahu menukar kerajaan bagi menyelesaikan masalah air pada PRN esok.

    “Bagi dekat PH…Pulau Pinang, Selangor, tak ada masalah air ke. Mereka kata kita pusing (isu), tapi itulah hakikat sebenarnya.

    “Sebab nak tukar nak selesaikan masalah air, bagi dekat Pas sudah 30 tahun air tidak dapat diselesaikan. Dia tidak sedar (BN) khianat (sekat peruntukan)…10 tahun kita tidak dapat peruntukan,” ujarnya.

    Menurutnya, jika pertukaran kerajaan itu dengan tujuan menyelesaikan masalah air, negeri yang ditadbir mereka pun (BN-PH) gagal mengatasi perkara tersebut.

    Ujarnya, Pas hairan setiap kali ceramah, isu air terus dibangkitkan oleh BN-PH.

    Mohd. Amar memberitahu, bagaimanapun masalah air tidak dimasukkan di dalam manifesto BN-PH.

    “Sepatutnya mereka jelaslah pada rakyat, apa yang mahu dilakukan bagi menyelesaikan masalah air. Apa perancangan, pelan dan belanja yang diperlukan.

    “Tapi yang keluar parkir percuma, diskaun cukai. Patutnya jelaskan bagaimana nak selesaikan isu air, barulah nampak jantan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Rujuk Majlis Presiden atau cakap terus dengan Hadi, kata Mohd. Amar

    Rujuk Majlis Presiden atau cakap terus dengan Hadi, kata Mohd. Amar

    PRESIDEN Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau sepatutnya bertemu dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk mendengar sendiri penjelasan mengenai kenyataan Presiden Pas itu yang didakwa berunsur perkauman.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Gerakan adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) dan perlu ada perbincangan dalaman terlebih dahulu sekiranya timbul ketidakpuasan hati.

    “Kalau ada apa-apa tidak puas hati atau kurang sesuai sepatutnya rujuk kepada Majlis Presiden, bawa dalam mesyuarat atau bercakap terus dengan Presiden Pas.

    “Tanya dia apa yang dimaksudkan dengan kenyataan itu dan tujuannya, tiada keperluan buat kenyataan akhbar secara terbuka. Saya tak nak komen lebih,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Semalam, Dominic memberitahu. pihaknya akan membangkitkan isu mengenai kenyataan berunsur perkauman yang dikeluarkan Abdul Hadi pada mesyuarat kepemimpinan PN pada Isnin.

    Ia mengambil kira ketidakpuasan hati dibangkitkan akar umbi parti itu terhadap Pas khususnya Abdul Hadi yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang menyasarkan bukan Melayu.

    Ini kerana, Gerakan mempunyai pendirian sendiri iaitu sebuah parti non-etnik.

    Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari tidak bersedia untuk memberi sebarang komen dan hanya menunggu isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat.

    “Kalau nak bawa dalam mesyuarat tiada apa yang perlu dikomen, tunggu sahaja memandangkan saya pun ahli mesyuarat,” jelasnya.

  • Senarai palsu nama calon Pas tidak jejas jentera PRN, kata Mohd. Amar

    Senarai palsu nama calon Pas tidak jejas jentera PRN, kata Mohd. Amar

    PENYEBARAN senarai nama calon Pas Kelantan yang palsu tidak menjejaskan gerak kerja jentera parti itu untuk pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, senarai palsu tersebut dipercayai dibuat oleh pihak yang mempunyai banyak masa lapang dan bukan pertama kali dihadapi pihak parti itu.

    “Bagi saya senarai nama palsu itu, orang yang tak ada kerja buat, saja-saja. Apabila tak ada kerja, dia buat senarai dan edar.

    “Bagi kami, tak beri kesan apa-apa dan tak menjejaskan gerak kerja PRN. Sebab, kami dah lalui tiap-tiap kali pilihan raya, kadang-kadang ada sampai sepuluh senarai palsu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi di Kompleks Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali, di Pasir Puteh hari ini.

    Akhbar sebelum itu melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan senarai nama calon tersebut yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.

    Sementara itu, menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Pas akan menampilkan 50 peratus calon muka baharu pada PRN pada 12 Ogos ini.

    Katanya, calon muka baharu itu kelak akan meliputi calon dalam kalangan veteran, orang muda, wanita dan ulama.

    Jelas beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, amalan Pas setiap kali pilihan raya ialah akan kemukakan muka baru dalam 30 peratus.

    “Kali ini, kalaulah senarai diluluskan oleh Majlis Syura dan mendapat pengesahan daripada Pas Pusat, kita akan tengok hampir 50 peratus muka baru,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Mohd Amar bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut berkaitan ura-ura nama beliau yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar negeri itu.

  • Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof, kata Mohd. Amar

    Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof, kata Mohd. Amar

    PENYERTAAN Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan pelakon Datuk Eizlan Yusof boleh meningkatkan sokongan pengundi Pas.

    Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya belum membincangkan peluang dua individu berkenaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

    “Impak besar berlaku berikutan dua individu itu menyertai Pas dan kemungkinan ramai lagi ahli daripada parti lain yang akan mengikut jejak langkah mereka.

    “Kita belum tahu lagi penambahan ahli tetapi daripada program malam tadi (Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat), membuktikan ramai yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2022 Kali ke-13 di Kota Bharu hari ini.

    Seramai 326 pelajar dari 10 maahad tahfiz menerima sijil pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan serta Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Engku Rajhan Engku Ismail.

    Mohd. Amar turut berharap sokongan lebih ramai dalam kalangan ahli dan penyokong parti lain menjelang PRN.

    Ketika ditanya mengenai ‘serangan’ parti lawan menjelang PRN, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, serangan itu bertujuan menghalang pengundi di luar Kelantan menyokong PN.

    “Biasalah nak berperang, dia serang kita, lepas ni kita serang lagi… kita ambil sikap tunggu dan lihat… kita belum keluarkan peluru kita.

    “Pengundi Kelantan sudah membuktikan mereka menerima kita selama 33 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pas kekal tanding sembilan kerusi Parlimen di Kelantan, kata Mohd. Amar

    Pas kekal tanding sembilan kerusi Parlimen di Kelantan, kata Mohd. Amar

    PAS kekal dengan status quo di Kelantan dengan bertanding sebanyak sembilan kerusi daripada 14 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula akan bertanding sebanyak lima kerusi.

    “Di Kelantan kita kekal status quo. Sembilan kerusi yang ditandingi oleh Pas di peringkat Parlimen dan lebihnya adalah Bersatu.

    “Pengumuman calon-calon itu dijangkakan diumumkan pada Rabu depan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob,” katanya selepas penutupan Karnival Anak Kelantan di Perantauan yang diadakan di Bangi Convention Centre di Bangi, hari ini.

    Mohd. Amar berkata, pengumuman calon-calon itu dijangkakan diumumkan pada Rabu depan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Mengulas mengenai anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar yang diumumkan bertanding di Parlimen Pasir Salak, beliau berkata, terpulang kepada parti untuk menentukan calon mereka bertanding di mana.

    “Terserah parti masing-masing nak letak (calon) di mana. Cumanya kalau kita tengok dari sudut negatif, maknanya ustaz Nik Omar ini sudah tidak ada tempat di Kelantan.

    “Maka sebab itu dia terpaksa dibawa keluar dari Kelantan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.