Tag: kata Mahathir

  • Anwar seolah-olah diktator, kata Mahathir

    Anwar seolah-olah diktator, kata Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini seakan pemerintahan kuku besi apabila menghalang orang Melayu bercakap mengenai masalah yang menyelubungi kaum itu sendiri.

    Situasi itu katanya, berbeza berbanding sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dikenali sebagai pejuang reformasi dan mahu menghapuskan undang-undang yang dianggap zalim.

    “Ada kenyataan (Perdana Menteri) kononnya perkara ini tak boleh dibincang kerana 3R (kaum, agama, raja). Sepatutnya larangan sebegini diputuskan melalui penggubalan undang-undang di Parlimen.

    “Tapi Perdana Menteri buat kenyataan ini tak boleh, seolah-olah dia raja atau diktator.

    “Selama kita merdeka lebih 60 tahun, bukan kita jadi lebih liberal, tapi jadi kerajaan yang menekan dan menindas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dr. Mahathir juga mendakwa kerajaan cuba untuk mengugut dan menutup mulutnya daripada bercakap mengenai masalah yang dialami orang Melayu.

    Ini selepas polis merakam percakapannya berhubung dua kenyataan yang dibuat bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam media sosial.

    “Bagi saya tindakan polis ini adalah satu cara tekanan dan ugutan untuk menghalang saya daripada bercakap berkenaan masalah dalam negara ini, sedangkan apa yang saya cakap semuanya berasaskan fakta yang jelas dan tidak menyalahi undang-undang.

    “Saya cakap mengikut Perlembagaan Negara yang mana kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu, bila cakap tanah Melayu mereka cakap saya rasis,” katanya.

    Mahathir juga mendakwa kerajaan menggunakan pihak berkuasa secara sesuka hati hingga menjadikan Malaysia seolah-olah ‘negara polis’, dengan tindakan secara terpilih.

    “Kita telah sampai ke satu tahap di mana Malaysia menjadi ‘negara polis’.

    “Kerajaan boleh buat apa juga keputusan, Peguam Negara boleh buat apa juga keputusan, sama ada mengikut peraturan atau tidak,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, Dr. Mahathir dipanggil polis untuk dirakamkan keterangan hari ini susulan kenyataannya pada 27 Julai lalu.

    Ketika itu, Mahathir memuat naik dua hantaran di Facebook masing-masing bertajuk ‘Malaysia a Malay Country’ (Malaysia Sebuah Negara Melayu) dan ‘Who Owns the Country’ (Siapa Pemilik Negara Ini).

  • ‘Proklamasi bukan menolak hak orang bukan Melayu’, kata Mahathir

    ‘Proklamasi bukan menolak hak orang bukan Melayu’, kata Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu bukanlah untuk menolak hak kaum lain, sebaliknya untuk membantu masalah yang dihadapi oleh bangsa itu.

    “Orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan banyak masalah terutama kemiskinan.

    “Rata-rata mereka (orang Melayu) miskin dan kerana kemiskinan golongan berkenaan berhadapan dengan banyak masalah.

    “Jadi usaha pertama yang kita lakukan adalah untuk mengeluarkan satu proklamasi yang menyenaraikan 12 daripada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu,” katanya pada sidang media Mesyuarat Tertutup Rundingan Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu di Kuala Lumpur hari ini.

    Dr. Mahathir berkata, selama lebih 60 tahun kerajaan Malaysia didominasi oleh orang Melayu dan ketika zaman orang Melayu menguasai politik Malaysia, bangsa lain menunjukkan perubahan ke arah kejayaan.

    Katanya, pada ketika itu dapat dilihat bahawa ramai orang Cina berjaya sehingga menjadi pengusaha dunia dalam masa pemerintahan oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu.

    Pada masa sama, Dr. Mahathir memaklumkan proklamasi dibuat adalah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa kedudukan mereka tidak begitu kuat, lemah dan kini menjadi semakin goyah.

    Jelasnya, satu gerakan mesti dilakukan untuk mengatasi masalah orang Melayu.

    “Satu gerakan mesti diadakan untuk mencantum semua orang, parti, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir berkenaan masa depan bangsa (Melayu) ini.

    “Sebab itu kita perlu ada pengaruh dalam kerajaan yang mampu menangani masalah orang Melayu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau memaklumkan pihaknya sedia bekerjasama bukan sahaja dalam pilihan raya tetapi juga di lain waktu bagi memastikan usaha proklamasi tidak menemui kegagalan.

  • Semua orang tahu ‘dia’ jual tanah, kata Mahathir

    Semua orang tahu ‘dia’ jual tanah, kata Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataannya yang mendakwa bahawa Raja-Raja Melayu telah ‘menyerahkan negeri mereka’ semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran raja.

    Bercakap pada sidang media petang ini, Dr. Mahathir berkata, semua orang tahu bahawa Raja-Raja Melayu menjual tanah untuk mendapatkan hasil.

    “Saya sebut ‘something’ berkenaan Raja-raja Melayu, dulu macam mana mereka tidak ada duit, simpan cukai dan sebagainya.

    “Dan saya kaitkan dengan apa berlaku di Johor. Ini kenyataan, semua orang tahu. Takkan tak boleh cakap.

    “Semua tahu dia jual tanah. Dia jual tanah RM4 bilion.

    “Saya jumpa orang Cina tu, dia bangga beli tanah RM4 bilion.

    “Dan tanah tu kekal selama-lama sampai akhirat, tanah tu dah bagi pada orang itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan yang dilancarkan polis terhadapnya baru-baru ini.

    Pada 3 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa kertas siasatan ke atas Dr. Mahathir berhubung isu dia didakwa menghina institusi raja sudah disiapkan.

    Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir berkata bekas perdana menteri itu disoal mengenai video yang dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah majlis.

    Dalam video itu, Dr. Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

    Dr. Mahathir juga mendakwa bahawa Raja-raja Melayu telah ‘menyerahkan negeri mereka’, semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran raja.

    Mahathir disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

    Sementara itu, ditanya mengenai penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang, Mahathir berkata, veteran DAP itu setaraf dengan bekas Musyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat.

    “Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain, dia seorang yang setaraf dengan (Allahyarham) Nik Aziz,” katanya.