Tag: kata KJ

  • 70 peratus undi BN beralih, PH hilang Simpang Jeram, kata KJ

    70 peratus undi BN beralih, PH hilang Simpang Jeram, kata KJ

    PAKATAN Harapan (PH) mungkin hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada pilihan raya kecil (PRK) 9 September ini jika terdapat peralihan sebanyak 70 hingga 80 peratus undi Barisan Nasional (BN) kepada Perikatan Nasional (PN), kata Khairy Jamaluddin.

    Bagaimanapun, bagi Parlimen Pulai, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, kerusi tersebut akan terus dipertahankan PH berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

    “(Di Simpang Jeram) Jika undi BN pada PRN Johor sebanyak 6,062 ditambah undi PN (6,350) jadi 12,000…lebih banyak daripada PH dapat (8,749).

    “Jika tidak 100%, 70% hingga 80% peralihan undi BN ke PN sudah cukup (PH tewas di Simpang Jeram),” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan UMNO, Shahril Hamdan

    Sementara itu, Shahril berkata, semakin ramai bekas penjawat awam menjadi calon PN termasuk Dr. Mohd. Mazri Yahya di Simpang Jeram, menunjukkan trend kakitangan kerajaan ketika ini memihak kepada pembangkang.

    Mazri adalah bekas pegawai di Kementerian Kesihatan dan pakar bedah vaskular dan endovaskular.

    “Trend penjawat awam semakin jelas memihak kepada PN bukan sahaja PRN (enam negeri) tetapi berlaku di PRU15.

    “Banyak saluran tunjuk tentera memihak kepada PN. Sesetengah tempat polis pihak pada PN dan kerusi penjawat awam di Putrajaya dimenangi PN,” katanya, lapor FMT.

    PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu kerana kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan undi awal pada 5 Sept dan 9 Sept ini sebagai hari pengundian.

  • ‘Dedahkan butiran perjanjian Ambalat kepada PAC’, kata KJ

    ‘Dedahkan butiran perjanjian Ambalat kepada PAC’, kata KJ

    KERAJAAN dicadangkan mengemukakan butiran perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen secara rahsia.

    Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu boleh dilakukan sekiranya kerajaan tidak boleh menyahklasifikasikan perjanjian tersebut bagi menunjukkanmya tidak membabitkan blok Ambalat.

    “Ini kerana kedua-dua pihak mempunyai ahli Parlimen dalam jawatankuasa khas itu selain disebabkan isu sempadan negara menjadi perkara yang sentiasa sensitif.

    “Saya melakukan pendekatan (dedahkan perjanjian) ini semasa program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK).

    “Walaupun ada perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan pihak pengeluar (vaksin), saya menunjukkan kontrak pembelian (vaksin itu) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya menerusi InstaStory dalam akaun Instagram beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau memberitahu, PAC kemudiannya merumuskan bahawa semua proses pembelian vaksin terbabit adalah betul dan mematuhi peraturan.

    “Jadi (kepada kerajaan sekarang) buatlah perkara yang sama,” ujarnya bekas Ketua Pemuda UMNO itu lagi, lapor Sinar Harian.

    Kerajaan Persekutuan pada Ahad lalu digesa menyahklasifikasikan dokumen perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun lalu, bagi merungkai isu Ambalat yang dibangkitkan beberapa pihak.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah itu dapat menjawab sejauh mana Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, tidak membabitkan blok Ambalat.

    Katanya, pendedahan perjanjian itu juga dapat menoktahkan spekulasi dan kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi, seperti yang dikatakan kerajaan sebelum ini.

    Ronald berkata, blok Ambalat seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah itu yang dikatakan mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan dipertahankan Malaysia sejak sekian lama, tidak boleh digadai sama sekali.

    “Apatah lagi pakar maritim yang terbabit dalam usaha melindungi hak Wilayah Malaysia, memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.

    “Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu. Kita tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara, khususnya perairan Sabah yang juga membabitkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dengan Indonesia,” katanya.

  • Perlu langkah tak popular untuk reformasi ekonomi, kata KJ

    Perlu langkah tak popular untuk reformasi ekonomi, kata KJ

    MALAYSIA memerlukan seorang pemimpin yang sanggup mempertaruhkan kerjaya politiknya dengan mengambil langkah tidak popular untuk mereformasi ekonomi dan meletakkannya kembali pada kedudukan fiskal yang kukuh.

    Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bersetuju dengan pandangan bahawa siri reformasi struktur yang diperlukan negara adalah memeritkan dan boleh menyebabkan kerajaan hari ini kehilangan sokongan rakyat.

    “Inilah sebabnya saya berkata anda perlu mempunyai pembuat dasar yang tidak begitu peduli apa berlaku kepada mereka,” katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual dengan The Edge.

    Khairy, yang juga bekas menteri kesihatan berkata, rasionalisasi subsidi, cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan pembaharuan pencen kerajaan adalah tiga tugas utama yang mesti dilaksanakan Putrajaya lebih awal berbanding kemudian.

    “Saya bercakap mengenai rasionalisasi subsidi dan pembaharuan pencen sektor awam pada masa lalu. Ia memeritkan, sudah tentu, kerana sesetengah orang tidak akan mendapat (sasaran) subsidi dan mereka akan ‘marah’.

    “Itulah sebabnya anda perlu mendidik orang ramai, dan ini adalah satu-satunya cara yang akan menjadikan kita mampan, dan kita akan menggunakan hasil (wang yang disimpan) untuk barangan awam, pendidikan, kesihatan, perkara yang membantu semua orang, pengangkutan awam dan infrastruktur.”

    Khairy percaya kerajaan sedia ada keberatan untuk memperkenalkan semula GST, yang dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan apabila menawan Putrajaya pada 2018.

    Beliau percaya peluang untuk memperkenalkan semula cukai telah ditutup.

    “Anwar (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) mungkin mempunyai masa sehingga bajet akan datang (Bajet 2024) untuk mengumumkannya, dan ia akan mengambil masa satu tahun sahaja untuk pasaran bersedia memandangkan sistem itu sudah ada.

    “Jika anda mengumumkannya tahun depan, maka ia akan berkuat kuasa pada 2025. Pilihan raya umum akan datang pada 2027, dan anda tidak mahu bermain-main dengan cukai apabila ia begitu hampir dengan pilihan raya,” katanya, lapor FMT.

    Mengenai isu pencen, Khairy berkata, terdapat keperluan untuk memperbaharui skim pencen penjawat awam bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus.

    Kerajaan Persekutuan kini membelanjakan hampir separuh daripada pendapatannya untuk emolumen perkhidmatan awam serta pencen dan ganjaran.

    Perbelanjaan mengurus kerajaan pada masa ini mengambil 99% daripada hasil awam.

  • PRN: Turun kempen bantu calon, kata KJ

    PRN: Turun kempen bantu calon, kata KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan kehadiran beliau pada kempen calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan, di Puncak Alam baru-baru ini, bukan tanda beliau menyokong parti itu.

    “Saya turun semata-mata untuk membantu dan menyokong Harisson, yang disifatkan sebagai rakan lama saya dalam perjuangan politik,” katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap malam tadi.

    Menurutnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), terdapat ruang untuk menyokong calon bagi memberi fokus kepada isu tempatan dan masalah setempat.

    “Untuk makluman pendengar, Keluar Sekejap akan kekal ‘keluar sekejap’ untuk tempoh agak lama. Saya turun ke Jeram baru-baru ini untuk membantu calon, bukan untuk memilih parti.

    “Ramai yang kata saya turun membantu PN dan sebagainya, tetapi saya rasa, dalam pertandingan negeri ini, ada ruang untuk kita sokong calon dan Harrison.

    “Saya nak terangkan, sebab, kita di (peringkat) Parlimen, (ialah bagi) pembentukan Kerajaan Persekutuan. Tetapi di negeri, banyak fokus kepada isu tempatan, kehidupan harian, masalah setempat.

    “Yang mana, saya rasa, pemilihan itu jangan hanya berkisar kepada bendera parti, tetapi kepada calon. Atas semangat tersebut, untuk kali ini, saya sokong calon.

    “Saya pergi ke Jeram sebab calonnya adalah Datuk Harisson Hassan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Khairy berkata, beliau berkempen untuk Harisson yang juga pencadang kepada beliau ketika bertanding di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, sebagai membalas budi.

    Malah, katanya, selepas ini, beliau akan menyokong dan turun berkempen bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Beliau akan menyokong rakan seperjuangannya itu kerana berpendapat Reezal adalah calon terbaik bagi DUN tersebut.

  • Tiada hala tuju ekonomi punca Melayu tak puas hati terhadap Anwar, kata KJ

    Tiada hala tuju ekonomi punca Melayu tak puas hati terhadap Anwar, kata KJ

    KESUKARAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan orang Melayu lebih kepada rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya yang tiada hala tuju ekonomi, bukan ‘gelombang hijau’ dibawa Perikatan Nasional (PN), kata Khairy Jamaluddin.

    “Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah lebih sedikit daripada kebangkitan gelombang hijau, lebih rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Melayu yang melangkaui isu 3R (kaum, agama dan raja),” kata Khairy dalam artikel di portal Singapura, Fulcrum.

    Bekas ketua Pemuda UMNO itu berkata, negara sejak tujuh bulan lalu berdepan masalah ‘kekurangan hala tuju ekonomi yang jelas’, ditambah ringgit lemah serta peningkatan kos sara hidup yang menjejaskan kuasa beli rakyat.

    “Kemarahan orang Melayu yang ketara ini dikuatkan dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang menghapuskan rasuah dan menegakkan tadbir urus baik tetapi menampung kepimpinan UMNO yang tercemar,” katanya, lapor FMT.

    Beliau merujuk keputusan tidak popular Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai salah seorang timbalan perdana menterinya.

    Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi selain dakwaan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

    “Apa yang kita mungkin lihat pada pilihan raya negeri adalah kurang (kesan) ‘gelombang hijau’ berbanding tsunami ketidakpuasan hati,” kata Khairy yang dipecat UMNO pada Januari lalu.

    Pada 17 Mei lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara umum menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kerana percaya Khairy mampu memberi sumbangan kepada parti.

    Khairy bagaimanapun meminta masa untuk mempertimbangkan tawaran oleh Muhyiddin dan tidak mahu membuat keputusan berkait pengembaliannya ke arena politik semata-mata kerana PRN.

  • Sekarang ini berehat sementara daripada politik, kata KJ

    Sekarang ini berehat sementara daripada politik, kata KJ

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kini berehat buat sementara, bukan berhenti dari dunia politik.

    “Sekarang ini ‘take a break’ (rehat),” katanya sewaktu mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pada pagi tadi.

    Jawapan beliau itu bagi menjawab soalan yang diajukan AG, adakah sekarang ini memang tidak berminat lagi dengan politik.

    Sebelum itu, penyampai radio itu juga bertanyakan kepada Khairy, adakah beliau mengambil jurusan politik ketika belajar dahulu dan kenapa berminat dalam bidang itu.

    “Ya, saya belajar ekonomi dan politik dulu di universiti, England.

    “Pada tahun 1997, awak (Johan) pula bila (belajar kat sana? Saya habis belajar pada tahun tersebut dan buat master di London.

    “(Jadi) minat politik sebab suka bantu orang, maaf jawapan serius,” katanya.

    Johan membalas pula bahawa beliau juga suka membantu orang tetapi tidak berminat dengan politik.

    Kemudian dibalas Khairy, meskipun bukan melalui politik, Johan membantu orang lain menerusi pekerjaannya sekarang iaitu penyampai radio.

    “Pandai la pusing dia,” kata Johan, lapor Sinar Harian.

    Dijawab semula oleh bekas Ahli Parlimen Rembau itu: “Mestilah orang politik.”

    Jawapan spontan Khairy itu memecahkan suasana dalam konti radio berkenaan.

    Sebelum ini, dilaporkan, kemunculan Khairy sebagai penyampai Hot FM adalah untuk memberi keseimbangan kepada slot Bekpes Hot dengan membincangkan topik serius dan menyampaikan maklumat menarik untuk dikongsi bersama pendengar.

    Kisah KJ bakal menjadi DJ HotFM mula diperkatakan selepas Hot FM membuat tawaran kepada Khairy menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

    Susulan itu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM serta bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot, mulai hari ini.

    Khairy kemudiannya turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.