Tag: kata Khairy

  • Tak mustahil PN menang PRN di Selangor , kata Khairy

    Tak mustahil PN menang PRN di Selangor , kata Khairy

    PILIHAN raya negeri (PRN) enam negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos depan merupakan referendum rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang telah memerintah selama lapan bulan.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Selangor bakal berhadapan ujian sebenar dalam melihat keberhasilan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi.

    Katanya, berdasarkan rekod prestasi, pentadbiran negeri penyandang dan nombor pengundian awal, Selangor merupakan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) yang akan kalah.

    “Bagaimanapun, arus politik di Malaysia pula menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mungkin mempunyai momentum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, walaupun PH merupakan sebuah parti yang diharapkan untuk kekal berkuasa di Selangor tetapi PN berupaya menguasai negeri itu.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, bagaimanapun itu bergantung kepada peratusan jumlah rakyat yang keluar mengundi dan kebolehpindahan undi.

    Katanya, hanya peralihan sederhana dalam sokongan orang Melayu boleh menyingkirkan PH daripada terus berkuasa di Selangor.

    “Semua bergantung kepada kempen mengalihkan pengundi yang belum membuat keputusan akan menjejaskan konfigurasi politik Malaysia,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Anwar akan hilang sokongan rakyat jika gagal pertahan kehakiman, kata Khairy

    Anwar akan hilang sokongan rakyat jika gagal pertahan kehakiman, kata Khairy

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, meramalkan sokongan rakyat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima kesan jika Perdana Menteri gagal mempertahankan badan kehakiman negara.

    Katanya, Ini susulan tindakan UMNO serta penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus memberikan tekanan kepada kerajaan Anwar, termasuk terbaharu, berkait isu pengampunan diraja untuk membebaskan Najib.

    “Kedudukan kerajaan Anwar mungkin tidak terjejas dengan tekanan terhadap isu pengampunan ini, bagaimanapun Anwar boleh kehilangan sokongannya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung kelak khususnya di Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sokongan Anwar mungkin merosot jika beliau tidak dapat mempertahankan badan kehakiman daripada tekanan (penyokong) Najib dan UMNO. Arus di bawah ini akan menjejaskan (sokongannya dalam) PRN.

    “Kehilangan Selangor atau Negeri Sembilan akan memberi kesan yang amat besar bagi Anwar. Perikatan Nasional (PN) sudah mengenal pasti kedua-dua negeri ini sebagai medan pertempuran utama mereka.

    “Jika mereka berjaya menawan kedua-dua negeri ini dan mengekalkan momentum untuk beberapa tahun, mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih kemenangan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam penulisannya yang disiarkan portal berita South China Morning Post semalam.

    Khairy berkata, di atas kertas, kedudukan politik dua negeri ini dilihat masih selamat dan memihak kepada Anwar, bersandar rujukan kepada data keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada November lalu.

    “Analisis pantas keputusan PRU dan disepadankan ke kerusi DUN, menunjukkan perjuangan sukar untuk PN di kedua-dua negeri ini. Pengiraan kasar berdasarkan keputusan PRU itu menunjukkan, PN akan merebut dua kerusi DUN di Negeri Sembilan, dengan selebihnya dikuasai Pakatan Harapan (18) dan Barisan Nasional (16).

    “Di Selangor, PN akan lebih baik dengan 12 kerusi (DUN), tetapi ini masih kurang daripada 41 kerusi (DUN) Pakatan Harapan. Landskap politik Malaysia sudah berubah dengan ketara sejak November. Namun, peluang PN boleh ditingkatkan jika mereka memastikan calon-calon terkenal dan popular untuk bertanding dalam PRN nanti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Khairy dalam siaran podcast sebelum ini, menyatakan selain tidak melayan pengampunan diraja terhadap Najib seperti dituntut UMNO, Anwar juga boleh ‘menyingkirkan’ kerjasama politik dengan UMNO-BN, memandangkan Perdana Menteri sudah memperoleh sokongan majoriti termasuk dari parti politik di Sarawak dan Sabah.

    Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.