Tag: kata Idris Ahmad

  • Zahid bimbang keputusan PRN berulang di PRK Johor, kata Idris Ahmad

    Zahid bimbang keputusan PRN berulang di PRK Johor, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi seolah-olah bimbang Perikatan Nasional (PN) akan mengulangi prestasi sama dalam pilihan raya negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos lalu, pada pilihan raya kecil (PRK) di Johor 9 September ini.

    Ini susulan kenyataan Zahid pada Sabtu lalu yang menyeru pengundi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram memainkan peranan bagi mengelakkan ‘kebanjiran’ wakil rakyat parti komponen PN itu di Johor.

    Idris berkata, PRN enam negeri baru-baru ini menyaksikan PN mendapat sokongan padu pengundi Melayu yang mungkin menyebabkan Zahid bimbang UMNO terjejas jika tewas di tempat kelahiran parti tersebut iaitu di Johor.

    “Mungkin dia lebih rela orang Pakatan Harapan, terutama calon daripada Amanah, yang merupakan orang kuat menyokong DAP itu ‘membanjiri’ Johor berbanding Pas,” katanya menurut Sinar Harian.

    Idris berkata, sokongan pengundi khasnya dalam kalangan golongan muda ketika ini menunjukkan perkembangan positif dan mampu membawa perubahan dalam PRK di Johor.

    Beliau turut mempersoalkan kenyataan Zahid menyifatkan Pas umpama buluh runcing yang sentiasa bersedia menikam dari belakang.

    “Apa yang Pas tikam belakang UMNO? (Sebenarnya) Pas yang hulur tali perpaduan. Yang wujudkan perpecahan apabila UMNO sendiri tidak mahu duduk sekali dengan Bersatu dan Pas.”

    UMNO pernah menjalin kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14, namun berselisih selepas Pas bersetuju dimasukkan Bersatu dalam MN.

  • Pas tak pernah zalimi bukan Melayu, kata Idris Ahmad

    Pas tak pernah zalimi bukan Melayu, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad meredakan kebimbangan masyarakat Cina terhadap parti itu dengan memetik pemerintahannya selama 33 tahun di Kelantan.

    Menurutnya, tiada orang Cina dibunuh atau orang India dipenggal di negeri pantai timur itu selama Pas mentadbir lebih tiga dekad.

    “Walaupun orang bukan Islam kurang 10 peratus daripada populasi negeri itu, mereka hidup aman.

    “Sebab apa? Kita, orang Islam lagi kuat pegang agama dan pandai hormat orang. Kita wajib jaga orang bukan Islam.

    “Saya tidak boleh khianat orang bukan Islam,” kata bekas menteri agama itu selepas pengumuman senarai calon Perikatan Nasional bagi PRN Pulau Pinang, malam tadi.

    Beliau membalas dakwaan lawan PN, khasnya DAP bahawa masyarakat Cina berdepan kesukaran jika mereka bersekutu dengan Pas.

    “Insya-Allah, Pas tidak akan menzalimi tuan-tuan dan puan-puan (orang bukan Melayu). Yakin dan percayalah,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau berkata demikian sehari selepas Ketua PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan menggesa pengundi tidak takut dengan istilah gelombang hijau yang direka seteru PN untuk menakutkan pengundi daripada menyokong gabungan itu.

  • ‘Jawablah dengan hujah, bukan fitnah’, kata Idris Ahmad

    ‘Jawablah dengan hujah, bukan fitnah’, kata Idris Ahmad

    PAS menyelar tindakan pengguna media sosial menggunakan nama ‘Ismadi Ayob’ yang memuat naik hantaran di Facebook memfitnah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan membawa imej Perikatan Nasional (PN).

    Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, hantaran tersebut dibuat menggunakan identiti palsu selain kenyataan kononnya menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “Hantaran tersebut adalah palsu dan mendakwa ada pihak yang ingin memburuk-burukkan imej Pas.

    “Jawablah dengan hujah, bukan dengan fitnah. Jangan biarkan kamu dan anak isteri kamu makan dengan upahan fitnah.

    “Kerja kamu dan orang yang sewaktu dengan kamu adalah paling hina atas dunia ini. Mungkin kami ada kelemahan sebagai manusia biasa, maka kamu boleh kritik kembali dengan fakta bukan auta,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

    Beliau turut meminta penyokong Pas dan PN untuk memantau atau melaporkan pengguna media sosial yang menggunakan akaun palsu dengan niat cuba mencemarkan nama baik parti kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    Dakwanya lagi, terdapat banyak akaun palsu yang kononnya mengaku sebagai ahli atau mewakili Pas, namun hakikatnya mengambil upah semata-mata untuk menabur fitnah di media sosial.

    “Banyak (akaun palsu) yang kita akan temui, dan semakin galak bertebaran terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    “Jangan lupa doa kepada Allah supaya memberi pembalasan yang setimpal ke atas kelakuan jahat ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Jika tunggang agama, mengapa ramai sertai Pas, kata Idris Ahmad

    Jika tunggang agama, mengapa ramai sertai Pas, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad tampil mengemukakan beberapa hujah menangkis tohmahan dan dakwaan bahawa parti tersebut menunggang agama.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya, Ahli Parlimen Bagan Serai itu memberikan contoh pihak atau individu yang memperalatkan agama ialah mereka yang meletakkan sesuatu perkara halal sebagai haram dan begitu juga sebaliknya.

    “Kedua, tunggang agama ini ialah dalam satu masa kamu boleh bercakap tentang Islam dan dalam masa yang lain pula berfoya-foya, bersalam dan menari dengan wanita. Itu dikatakan peralatkan agama.

    “Atau kamu bersama ulama dan masa lain tidak di mana menyokong perjuangan lain, maka itu dikatakan peralatkan agama atau tunggang agama,” katanya.

    Katanya, dasar Pas sejak 1951 ialah berasaskan Islam dan ia jelas tertera dalam Perlembagaan parti.

    “Itu dasar yang ada kepada kita walaupun kepimpinan bertukar, ada yang cabut lari dan sebagainya, dasar tidak pernah berubah.

    “Soal pendekatan politik ini ialah strategi dan boleh berubah tetapi prinsip tidak pernah berubah. Jika strategi bertengangan dengan agama, maka kita perlu korbankannya tetapi tetap berpegang kepada prinsip agama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Idris menyatakan bahawa sebarang dasar dalam parti dikawal oleh Majlis Syura Ulama Pas dan ia tidak boleh dilaksanakan secara semberono.

    “Walaupun Ahli Majlis Syura bukan dalam kalangan mujtahid mutlak tetapi melalui kaedah kolektif bagi satu keputusan sama ada boleh atau tidak.

    “Jika perkara itu dilihat untung daripada politik tetapi tidak daripada sudut agama, kita tinggalkan.

    “Maka, sebab itulah kalau ada yang kata Pas tunggang agama alhamdulillah, majoriti orang yang ada latar belakang agama walaupun bukan berpendidikan agama tetapi faham, mereka akan sokong perjuangan kita,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, agak mustahil sekiranya Pas menunggang agama tetapi menerima penyertaan hampir 3,000 orang setiap bulan.

    Beliau turut memaklumkan akan memberikan ulasan berkenaan kenyataan Pas dahulu boleh bersama DAP tetapi kini pada video akan datang.