Tag: kata Hamzah

  • Sorakan ‘katak’ tak beri apa-apa makna, kata Hamzah

    Sorakan ‘katak’ tak beri apa-apa makna, kata Hamzah

    CALON PN Parlimen Larut, Datuk seri Hamzah Zainudin berkata sorakan ‘katak’ dilemparkan kepadanya langsung tidak memberi makna kerana pengundi tempatan lebih mengetahui apa yang telah dilakukannya di kawasan itu.

    “Sorakan itu tidak memberi makna kerana yang memberi makna adalah pengundi, mereka tahu jasa apa yang telah saya buat,” katanya kepada media di pusat penamaan calon Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tanah Selama.

    Hamzah, penyandang tiga penggal Parlimen Larut, berkata terdapat calon dan wakil rakyat parti lawan datang memeluknya dan mengucapkan terima kasih terhadap jasanya di kawasan itu.

    “Bila saya bertemu dengan calon, wakil calon sebelah sana mereka peluk saya ada yang bercakap perkara yang sudah saya lakukan untuk mereka.

    “Mereka tahu jasa apa yang telah saya buat, kalau mereka kata saya pengkhianat mereka tak sedar apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat bukan untuk diri saya,” katanya, lapor FMT.

    Pada PRU-14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon PAS, Abu Husin Mohamad dan calon PKR, Khairil Anuar dengan majoriti sebanyak 4,486 undi.

    Bagaimanapun, menteri dalam negeri itu keluar Umno dan menyertai Bersatu, pada 2019.

  • PN mampu urus Felda, kata Hamzah

    PN mampu urus Felda, kata Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah membuktikan bahawa pemimpin parti itu mampu menguruskan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan baik termasuk membayar semua hutang sebelum ini.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, rakyat tahu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyelesaikan semua hutang itu ketika menjadi Perdana Menteri.

    “Kita tidak senang jika berdepan hutang yang besar, hidup dalam keadaan gelisah dan ketakutan.

    “Siapa yang akan membayar hutang itu? Pengundi sudah mengetahuinya bahawa hutang berbilion ringgit sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Persediaan Pilihan Raya Umum (PRU15) dan Banjir 2022 di Kota Bharu, hari ini.

    Hamzah memberitahu, pemimpin yang mahu memimpin negara ialah mereka yang benar-benar bersih dan tidak dikongkong oleh orang yang lain.

    “Perdana Menteri kena tahu tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut memberitahu, semua nama untuk calon PN kini sudah dihantar kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kesemua mereka telus dan bersih.

    Sementara itu, Hamzah berkata, cadangan BN mencalonkan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu, Datuk Mohd. Nizar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak menyukarkan PN.

    Menurut beliau, PN akan meletakkan calon yang boleh memimpin dan bersih demi masa depan negara yang lebih baik.

    “Masa depan negara lebih penting, maka kita letak calon yang tahu bagaimana mengurus negara dengan lebih baik,” ujarnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Mohd. Nizar mungkin akan bertanding pada PRU-15 mewakili kerusi Parlimen Pekan sebagai meneruskan legasi Allahyarham Tun Razak.

  • Operasi pengurusan banjir berdepan masalah jika bertembung PRU-15, kata Hamzah

    Operasi pengurusan banjir berdepan masalah jika bertembung PRU-15, kata Hamzah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan berdepan kesukaran dalam menggerakkan operasi pengurusan banjir jika bencana tersebut berlaku serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana kekuatan PDRM juga perlu diaturgerak bagi penugasan PRU-15 selaras dengan akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Beliau memberitahum berdasarkan rekod, hampir 75,000 anggota polis ditugaskan bagi PRU-14 dan bagi PRU-15, PDRM menganggarkan lebih 94,000 anggota perlu ditugaskan daripada 120,000 kekuatan keseluruhan anggota.

    “Ini kerana sudah ada peningkatan pengundi sekali gus peningkatan saluran yang memerlukan penambahan anggota iaitu sekurang-kurangnya seorang anggota bertugas bagi setiap saluran mengikut akta SPR dengan dibantu anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) yang bertugas di kawasan luar pusat mengundi.

    “Apa yang kita takutkan ialah PRU kali ini bertembung dengan banjir dan sebab itu kami membincangkan perkara ini dengan agensi lain jika berlaku penugasan menyelamatkan mangsa banjir nanti,” katanya.

    Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas mendengar Taklimat Keselamatan dan Persediaan Menghadapi Banjir Monsun Timur Laut yang disampaikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Hamzah berkata, KDN melalui Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Bersepadu (JKPB) sudah melakukan simulasi komprehensif di lima zon di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi banjir dan PRU-15.

    “Kita sudah menjalankan simulasi yang tidak hanya membabitkan PDRM tetapi agensi lain, bukan saja sebagai kesiapsiagaan banjir tetapi juga persediaan dalam penugasan PRU-15,” katanya.

    Mengulas mengenai situasi sekiranya ada sekolah digunakan sebagai pusat mengundi dan pusat pemindahan sementara (PPS), beliau berkata, tidak semua sekolah dijadikan pusat mengundi.

    “Bukan semua sekolah dijadikan sebagai pusat mengundi oleh SPR. Walaupun banyak sekolah digunakan dalam pilihan raya tetapi ia tidak semua.

    “Ada kawasan sekolah yang selamat dan mudah dijaga serta dikawal ketika pilihan raya cuma mungkin memerlukan lebih ramai sukarelawan bertugas,” katanya.

    Menurutnya, beliau berpuas hati dengan persediaan dan kesiapsiagaan aset strategik dan anggota PDRM yang boleh diatur gerak khusus bagi menghadapi bencana banjir besar pada bila-bila masa.

    “PDRM akan dibantu oleh jabatan dan agensi lain di bawah KDN seperti Rela dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    “Seramai 21,018 anggota polis, 367 bot, 845 kenderaan pacuan empat roda, 454 lori serta 11 aset udara sedia untuk dikerahkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya.

    Beliau berkata, semua Ketua Polis Daerah juga diarah untuk melakukan persediaan awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing.

    “Selain itu, seramai 4,367 pegawai dan anggota Rela bersama aset mereka iaitu 41 lori dan 36 kenderaan pacuan empat roda juga dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak di lokasi berpotensi berdepan banjir.

    “APMM pula ditugaskan memberi bantuan ke pulau-pulau khususnya penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas selain pemindahan mangsa banjir dengan menggunakan pesawat udara,” katanya.

    Katanya, terdapat laporan daripada PDRM mengenai beberapa kawasan seperti di Tanjung Karang, Selangor; Baling, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sudah dinaiki air.

    “Justeru itu, PPS sudah diaktifkan di kawasan terbabit dan misi bantuan juga diaturgerak kepada mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

    Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

    BERSATU menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebagai tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ini kerana keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 perlu dibuat selepas mendapat pandangan daripada Jemaah Menteri.

    Katanya, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara itu tetapi beliau perlu mendapatkan pandangan anggota Kabinet terlebih dahulu.

    “Apakah itu tujuan dan matlamat mereka? Saya tak tahulah… yang pentingnya dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen setelah berbincang dengan anggota Kabinet.

    “Apabila sudah sampai waktu untuk kerajaan membubarkan Parlimen, mungkin kerana sudah adanya keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.

    “Kalau kerajaan yang ada hari ini baik, sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh,” katanya pada sidang media selepas dialog awam Program Kita Demi Negara Siri Kedua Zon Sabah bertempat di pekarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MKT UMNO membuat ketetapan PRU15 diadakan tahun ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata UMNO perlu peka bahawa kerajaan dibentuk hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan, sebaliknya terdiri daripada pelbagai parti politik sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen.

    “Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang UMNO tidak berfikir panjang dan ini masalah. Saya pula fikirkan kepentingan rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat.

    “Visi kita adalah untuk memastikan negara kita menjadi antara negara terbaik di dunia yang mana semua di seluruh dunia datang untuk melawat, duduk dan memajukan negara ini bersama undang-undang yang dipercayai serta diyakini,” katanya lapor BH Online.

  • Dakwaan dera amah Indonesia, kerajaan jamin berlaku adil, kata Hamzah

    Dakwaan dera amah Indonesia, kerajaan jamin berlaku adil, kata Hamzah

    MENTERI Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi jaminan kerajaan akan berlaku seadilnya dalam kes membabitkan seorang pembantu rumah (amah) Indonesia yang mendakwa didera oleh majikannya Selasa lalu.

    “Sesiapapun yang terlibat dengan kesalahan termasuk kes penderaan terhadap pembantu rumah akan diambil tindakan tanpa kompromi.

    “Ya betul, siapa saja yang melakukan kesalahan kita akan ambil tindakan. Ini adalah satu perkara yang telahpun kita buktikan.

    “Sesiapa sahaja akan kita ambil tindakan. Begitu juga mereka yang menjadi pembantu rumah, kedua-dua juga bertanggungjawab antara majikan dan mereka sendiri kerana supaya semua ini berlaku adil kepada semua pihak,” katanya selepas hadir merasmikan Program Belia Prihatin Negara di Serdang hari ini.

    Menurutnya lagi kedua-dua pihak iaitu majikan dan juga pembantu rumah juga telah menandatangani perjanjian bagi menjamin hak masing-masing.

    Justeru katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan keadilan itu dinikmati oleh kedua-dua pihak, lapor Astro Awani.

    Semalam Astro Awani mendedahkan secara eksklusif satu kes yang membabitkan seorang amah wanita berusia 46 tahun yang bukan sahaja ‘dikurung’ dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam.

    Dia juga mendakwa bekerja secara ‘percuma’, tanpa dibayar.

    Mangsa turut mendakwa disimbah air panas sehingga melecur teruk di belakang badannya selain berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram akibat kekurangan zat.

    Kes tersebut mendapat perhatian Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono semalam yang mahukan tindakan tegas diambil dan mengenakan hukuman mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.