Tag: kata Hamzah

  • Kerajaan Anwar ini tidak boleh tahan lama, kata Hamzah

    Kerajaan Anwar ini tidak boleh tahan lama, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa, kerajaan perpaduan yang ditubuhkan hari ini adalah berdasarkan penipuan, khususnya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Dakwanya, Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghantar surat kepada Istana memberitahu bahawa BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    “Sedangkan Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk berkecuali dalam menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan.

    “Maka penubuhan kerajaan yang ada ini adalah disebabkan oleh penipuan yang dibuat oleh Zahid.

    “Insya-Allah, kerajaan ditubuhkan dengan cara menipu itu tidak boleh tahan lama.

    “Sebab hari ini sudah ada kebangkitan rakyat di seluruh negara berdoa kerajaan akan jatuh,” katanya berucap di hadapan kira-kira 150 hadirin di Kampung Labu Lanjut, Salak Tinggi, malam tadi.

    Kata bekas menteri dan Ahli Parlimen Larut itu, Anwar sebenarnya tidak dapat mengawal dirinya daripada menipu rakyat dan tabiat berkenaan sudah menjadi lumrah buatnya ibarat makan vitamin.

    “Dia bangun pagi cari jalan macam mana menipu. Sebelum tidur dia tipu, dalam mimpi dia tipu, bangun pagi dia tipu, tengah hari dia tipu, malam tipu.

    “Saya nak bagitahu dia tipu, dia bohong sudah menjadi makanan dia seperti vitamin. Sebab, kalau dia tak tipu dia sakit sebab itu dia kena tipu rakyat,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pada pilihan raya negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek pada 12 Ogos ini, PN mempertaruhkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sepang, Suhaimi Ghazali.

    Beliau akan berdepan dengan Lwi Kian Keong (PH) dan Nageswaran Ravi (Bebas) dalam saingan tiga penjuru. Kerusi itu mempunyai 47,335 pengundi.

  • Undi PN, dapat selamatkan UMNO, kata Hamzah

    Undi PN, dapat selamatkan UMNO, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta ahli UMNO menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu.

    Menurutnya, dengan cara itu saja dapat mengubah masa depan UMNO sekali gus membolehkan parti tersebut diterima semula oleh rakyat.

    “Kepada orang UMNO, cukuplah. Kalau benar sayangkan UMNO, pastikan ‘kepala’ atau presiden kamu itu baik.

    “Kalau ke pasar beli ikan, contohnya ikan senangin kita akan tengok kepala dia dulu, kalau baik kita beli dan kalau kepala baik, ekornya juga baik.

    “Hari ini presidennya busuk. Kita tak mahu seluruh ahli UMNO jadi busuk,” katanya berucap pada Majlis Sembang Santai di Juasseh di Kuala Pilah malam tadi.

    Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau mendakwa, ramai ahli UMNO kini melihat PN sebagai parti alternatif buat mereka.

    Sehubungan itu beliau meminta ahli parti itu yang tidak suka kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengundi PN.

    Sebab itu saya minta ahli UMNO kalau tak suka kepada Ahmad Zahid, jangan biar saja tetapi caranya dengan mengundi PN dengan beritahu ‘kau sebagai Presiden telah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan PRN ini.

    “Saya mahu kalau boleh orang UMNO sedar, marilah bersama kita (PN). Kalau tak mahu keluar parti tiada masalah, tapi marilah bersama perjuangan ini dengan mengundi PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, PN mahu melihat pemimpin negara tidak kira dari parti mana sekalipun mempunyai tanggungjawab dan penuh integriti dalam menentukan masa depan negara.

    Malah beliau juga menyatakan keyakinan gelombang rakyat yang mahukan perubahan sedang berlaku di seluruh negeri.

  • ‘Tak masuk akal, pengawal peribadi Sanusi juga polis’, kata Hamzah

    ‘Tak masuk akal, pengawal peribadi Sanusi juga polis’, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan tindakan polis menahan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor pada pukul 3 pagi, atas alasan mereka tidak dapat menghubungi ahli politik kontroversi itu dan pegawainya.

    Hamzah berkata, alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain itu ‘pelik dan tidak masuk akal’ kerana pihak polis sendiri ada meletakkan seorang anggotanya bersama Muhammad Sanusi untuk bertugas sebagai pengawal peribadi kepada Menteri Besar Kedah.

    “Polis boleh saja menghubungi pengawal peribadi Muhammad Sanusi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bila-bila masa,” ujar Ahli Parlimen Larut itu lagi.

    Beliau mendakwa, wujud ‘tangan ghaib’ yang mahukan Muhammad Sanusi ditangkap pada awal pagi bertujuan memalukan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Yang saya rasa amat pelik sekali adalah kerana sebagai Menteri Besar, beliau mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga datang daripada PDRM.

    “Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali bila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Muhammad Sanusi?

    “Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang (anggota) yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau.

    “(Polis) boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Muhammad Sanusi pada bila-bila masa.

    “Saya rasa ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Muhammad Sanusi ditangkap juga pada malam semalam kerana mereka nak memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan PN,” katanya.

    Beliau yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, tengah malam tadi.

    Semalam, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Muhammad Sanusi dibuat pada pukul 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang kelmarin untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.

    Selain gagal dihubungi, Muhammad Sanusi juga gagal dikesan polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    Menurut Razarudin, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi untuk proses pemakluman, namun turut tidak berjawab.

    Muhammad Sanusi ditahan pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, Kuala Lumpur, pagi semalam oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pertuduhan dua kes di bawah Akta Hasutan.

    Muhammad Sanusi juga bakal berhadapan satu lagi kes yang dilaporkan pada 14 Julai lalu.

    Mengulas lanjut, Hamzah berpandangan polis tidak wajar menahan Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu sudah memberi kerjasama pada polis dan bersetuju untuk ke mahkamah.

    Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak bahawa pernah berlaku kes seorang ‘pemimpin besar negara’ disabit kesalahan salah guna kuasa dan dipenjarakan kerana mengarahkan polis untuk kepentingan peribadi.

    “Janganlah sekali lagi perkara ini berlaku. Salah guna kuasa ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara.

    “Saya tidak menuduh, tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku, dan tak mustahil ianya boleh berlaku sekali lagi,” katanya.

    Beliau seterusnya meminta semua penyokong PN dan rakyat Kedah untuk bertenang, lapor Harian Metro.

  • PRN: Agihan kerusi PN dimuktamad minggu depan, kata Hamzah

    PRN: Agihan kerusi PN dimuktamad minggu depan, kata Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama parti-parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Rabu depan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa siri perbincangan telah dilakukan dan setakat ini hanya beberapa kerusi sahaja yang masih belum diputuskan.

    “Pintu rundingan akan ditutup sejurus Persidangan Majlis Presiden pada minggu hadapan,” ujarnya Ahli Parlimen Larut itu.

    Beliau berkata, apabila Majlis Presiden PN bersidang, ini bermakna tiada lagi ruang untuk berbincang dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan nama calon sahaja.

    “Bila dah ada kerusi-kerusi yang telah siapkan (melaui rundingan), maka (nama) calon-calon itu kita serahkan juga pada parti-parti komponen contohnya, kalau kita dah serahkan di kawasan kita ini DUN Pengkalan Berangan kalau kita beri pada Pas (maka) Pas (kena) cari calon yang sesuai untuk kawasan ini, begitulah cara yang akan ditentukan,” kata Hamzah, lapor Astro Awani.

    Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN di Binjai Rendah, Marang malam tadi.

    Sebelum ini, media melaporkan proses pembahagian kerusi antara parti komponen dalam PN bagi menghadapi PRN sudah siap 97 peratus.
    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan untuk beberapa kerusi yang masih berbaki akan dilakukan dalam keputusan akhir yang akan diputuskan dalam tempoh terdekat.
    PRN akan diadakan di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

  • Titah Sultan Selangor bukti isu kalimah Allah belum dirujuk ke Majlis Raja-raja, kata Hamzah

    Titah Sultan Selangor bukti isu kalimah Allah belum dirujuk ke Majlis Raja-raja, kata Hamzah

    TITAH Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam membuktikan perkara ini dikeluarkan oleh perdana menteri sendiri, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, titah baginda yang meminta supaya isu itu dirujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja jelas menunjukkan bahawa isu ini belum dirujuk Majlis Raja-raja seperti yang didakwa oleh Anwar sebelum ini.

    “Kes Jill Ireland dikeluarkan oleh (ahli Parlimen) Tambun sendiri apabila kata dah rujuk kepada Majlis Raja-raja,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    “Semalam kita dapat tahu Sultan Selangor telah keluarkan kenyataan selaku pengerusi MKI bahawa baginda mahu isu ini dibawa ke Majlis Raja-raja.

    “Maknanya isu ini belum dirujuk lagi,” katanya lapor Malaysianow.

    Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

    Notis pemberhentian rayuan yang difailkan pada 18 April lepas itu menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

    Seterusnya pada 23 Mei lalu, Anwar ketika di Dewan Rakyat menafikan dakwaan bahawa keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah di mahkamah tidak dirujuk kepada Majlis Raja-raja.

    Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan perkara itu telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-raja.

    Pada masa sama, Hamzah turut memaklumkan bahawa usul persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) bagi memuktamadkan tafsiran dan penggunaan kalimah Allah di negara ini ditolak Yang di-Pertua Dewan Rakyat, semalam.

  • ‘Pengeluaran KWSP bersasar masih perlu’, kata Hamzah

    ‘Pengeluaran KWSP bersasar masih perlu’, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan meskipun kerajaan berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar disebabkan faktor tertentu, namun perkara itu dilihat masih perlu.

    “Ini kerana terdapat rakyat yang bergelut dengan kesusahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ada menteri kata, kalau pencarum mati esok simpanan dan caruman dalam KWSP akan pergi kepada waris sebagai salah satu alasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan pengeluarannya secara bersasar.

    “Betullah, tapi menteri takkan kita nak biarkan rakyat yang susah dan terhimpit untuk hidup itu mati dulu, sedangkan pengeluaran bersasar KWSP itu amat-amat membantu mereka?

    “Semalam kami dah buktikan solidariti Perikatan Nasional (PN) bersama para pencarum. Kami dengar denyut nadi mereka, dengar suara hati mereka dan perjuangkan tuntutan mereka,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tujuan utama KWSP ditubuhkan adalah bagi memastikan mempunyai simpanan di hari tua.

    Justeru, ia merupakan sebab kerajaan tidak membenarkan sebarang caruman dikeluarkan meskipun secara bersasar kerana ia bakal memberi impak terhadap masa hadapan tabungan.

    Ujar beliau, dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak RM145 bilion caruman KWSP telah dibenarkan keluar oleh pentadbiran sebelum.

    Tambah Rafizi, sekiranya dana tersebut berterusan menyusut, ia berisiko menghadkan keupayaan perbadanan berkenaan untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

  • Tiada sebab SPRM mahu panggil saya, kata Hamzah

    Tiada sebab SPRM mahu panggil saya, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan spekulasi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu memanggilnya untuk siasatan.

    Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, tiada sebab SPRM mahu memanggilnya untuk siasatan.

    “Hentikan spekulasi tidak berasas. Tiada sebab saya hendak dipanggil SPRM,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau sekali gus menekankan, pendakwaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan ahli dan perwakilan.

    “Sesiapa pun yang didakwa, parti ini akan tetap menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran, bukan dikira siapa bakal didakwa… sesiapapun yang didakwa secara salah, kami akan pertahankan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, meliputi empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

  • PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal, kata Hamzah

    PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal, kata Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera dibayar RM300 untuk undi awal.

    “Sekiranya terdapat laporan dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

    “Bila ada laporan polis, kami akan membenarkan PDRM menjalankan siasatan. Buat masa ini kami tidak menerima sebarang laporan polis untuk isu tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar, hari ini.

    Kelmarin, media melaporkan Anwar mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar, selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.

    Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu, Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk kawasan Parlimen Tambun di Perak berkata, dia menggesa SPR segera bertindak menyiasat kejadian tersebut.

  • Jika ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR, kata Hamzah

    Jika ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR, kata Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan kebocoran data 800,000 pengundi yang dikatakan data dimiliki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, siasatan hanya akan dibuat jika ada laporan polis dibuat.

    “Sekiranya data tersebut mengandungi maklumat nombor telefon ia bukan daripada data SPR.

    “Kalau ada nombor telefon bermakna bukan SPR yang punya. Kalau SPR hanya nama dan nombor kad pengenalan sahaja.

    “Itu tak betul, itu mesti ada orang yang menipu semata-mata untuk mencari keuntungan. Apabila ada laporan polis kita akan buat siasatan.

    “Setakat ini belum ada lagi yang mengaku menerima benda-benda seperti ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Arau, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu dilaporkan kebocoran data yang pertama kali dilaporkan pada April lalu sekali lagi mendapat perhatian ketika kempen PRU ke-15 memasuki minggu kedua.

    Data itu membabitkan maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR yang dilaporkan mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka.

    SPR mengumpul gambar-gambar ini sebagai sebahagian daripada laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.

  • PKR sengaja mahu calon sendiri kalah di Bagan Datuk, kata Hamzah

    PKR sengaja mahu calon sendiri kalah di Bagan Datuk, kata Hamzah

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) didakwa sengaja mahu calonnya kalah di Parlimen Bagan Datuk dengan meletakkan Shamsul Iskandar Md Akin untuk berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Dakwaan itu dibuat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Calon PN bagi kerusi Parlimen Larut.

    “Dia (Anwar Ibrahim) hantar Shamsul ke Bagan Datuk semata-mata kerana nak tentukan Shamsul kalah dan dia tiada lagi dalam parti sebab Shamsul ni dikatakan pengikut Azmin (Ali) waktu dulu,” katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Bukit Bertam di Larut.

    Katanya, Anwar sengaja mencari jalan menguburkan karier politik pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya.

    “Itulah jenis orang yang ada…mencari jalan supaya pancung calon-calon yang mereka rasakan tak boleh bersama mereka. Itu bukan agenda perjuangan sebenar.”

    Hamzah tidak menolak kemungkinan PKR dan UMNO meletakkan calon demi kepentingan peribadi presiden masing-masing.

    Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Zahid, Shamsul, calon PN, Muhammad Faiz Na’aman serta calon Bebas, Mohamed Tawfik Ismail.

    Shamsul pernah diberi gelaran ‘Giant killer’ selepas mengalahkan bekas Ketua Menteri Melaka di kerusi Parlimen Bukit Katil pada PRU 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2018 ketika ditukar nama kepada Hang Tuah Jaya.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan merosakkan bahan kempen kerap berlaku semasa tempoh berkempen, terutama di lokasi ‘panas’.

    “Perkara tidak amanah sentiasa berlaku dalam PRU, tetapi bukan semua tempat…ada tempat ganas, ada tempat bertembung sehingga mereka sanggup melakukan perkara bukan-bukan.

    “Kita serahkan kepada agensi untuk ambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memuat naik gambar tiga poster serta banting miliknya yang digantung di tepi jalan Taman Tun Dr. Ismail serta Bandar Utama dikoyak dan digunting individu tidak bertanggungjawab.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan laporan dibuat semalam.