Tag: kata Hadi Awang

  • Tak patut buru orang belum nyata kesalahan pukul 3 pagi, kata Hadi Awang

    Tak patut buru orang belum nyata kesalahan pukul 3 pagi, kata Hadi Awang

    BERSEMPENA sambutan Maal Hijrah 1445, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengimbau perjuangan Nabi Muhammad SAW menegakkan negara Madinah yang ditukarkan daripada nama asalnya Yathrib atau Taibah.

    Ahli parlimen Marang itu turut membandingkan perbandingan konsep madani oleh Rasulullah SAW dengan Malaysia Madani yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

    “Maka, tidak sepatutnya berlaku sepertimana peristiwa orang yang baru sahaja dituduh dan belum nyata kesalahannya, namun terpaksa ditangkap dan diburu pada jam tiga pagi.

    “Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain, serta bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi.

    “Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT,” katanya pada kenyataan yang terbit di Harakahdaily hari ini.

    Walaupun tidak menyebut nama, Presiden Pas itu dipercayai mengulas kejadian penangkapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor.

    Sanusi ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa 18 Julai lalu sekitar pukul 3 pagi dan didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.

    Sementara itu, Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran.

    “Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku,” dakwanya lagi.

    Sambutan Maal Hjrah 1445 (2023) peringkat kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

  • PRU15 bukti kebangkitan anak muda tegak Islam, kata Hadi Awang

    PRU15 bukti kebangkitan anak muda tegak Islam, kata Hadi Awang

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bukti kebangkitan semangat anak muda yang mahu menegakkan Islam tanpa terpengaruh dengan ‘gelombang’ membinasakan, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, semangat tersebut lebih kuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang apabila golongan berkenaan sama sekali tidak tertarik kepada pemimpin terjun padang untuk menari dan menyanyi bagi ‘menggoda’ mereka.

    “Perkara itu mengatasi orang tua sibuk dengan urusan hidup tanpa memahami bahaya kelekaannya, sehingga ditenggelamkan oleh gelombang yang membinasakan.

    “Barangkali yang mabuk dadah dan syabu sahaja boleh bernafsu tanpa mengira tua dan muda,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada perilaku umat akhir zaman kini seperti kaum Nuh AS, sehingga ditenggelamkan oleh taufan dahsyat atau kaum Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang disesatkan selama 40 tahun.

    Bagaimanapun Hadi menjelaskan, seteruk mana pun umat akhir zaman, Allah SWT tidak akan menurunkan dugaan seberat itu, namun cukup sekadar menjadi kalangan pengundi saluran satu yang tidak berubah, sehingga negara ditenggelamkan atau dia ditimbus ke dalam kubur.

    Sehubungan itu, Abdul Hadi memberitahu, ibu bapa dan pendidik memainkan peranan penting dalam perubahan anak muda secara menyeluruh dan sempurna.

    “Mereka (ibu bapa dan pendidik) amat diperlukan untuk membentuk anak yang bertenaga menongkah cabaran bagi melakar kemenangan yang bertenaga.

    “Begitu juga, menjadi pelapis yang tidak mematikan perjuangan kebaikan dan kebahagiaan yang berwawasan dunia serta akhirat,” ujarnya.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa Islam tetap dipelihara Allah SWT seperti dahulu oleh generasi muda atau kaum lain yang menganut atau menukar bangsanya.

    Menurut Abdul Hadi, slogan yang sering disebut sebagai kata-kata Hang Tuah iaitu tidak akan Melayu hilang di dunia merupakan ciptaan penjajah yang dijaja sewaktu di zaman persekolahannya.

    Bagaimanapun, beliau menerangkan hal tersebut tidak boleh melawan amaran Allah SWT menerusi surah al- A’raf ayat ke-34.

    “Dan tiap-tiap umat mempunyai ajal (batas waktu), maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).

    “Keadaannya itu terpulang kepada sikap suatu kaum atau bangsa untuk menyelamatkannya dengan melakukan perubahan, sama ada perubahan yang baik atau buruk,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar rapuh, kata Hadi Awang

    Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar rapuh, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

    Menurutnya, antara jemaah yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan itu juga terdiri kalangan mereka yang disebut oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri sebagai perompak dan penyamun.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan yang ditubuhkan itu adalah sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

    “Tambahan pula terdapat jemaah menteri yang dilantik merupakan kalangan yang disebut oleh pemimpin PH sendiri sebagai perompak dan penyamun.

    “Orang sebegini yang dilantik menjadi menteri. Ini yang berlaku. Kita sabar sekejap. Ini ujian yang Allah SWT berikan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, hari ini.

    Petang tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selesai mengangkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri I, manakala Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik Timbalan Perdana Menteri II.

    Kerajaan Perpaduan mempunyai 28 menteri adalah kabinet lebih kecil berbanding 31 jemaah menteri dalam kerajaan sebelum ini.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menggesa semua mengambil contoh perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW dalam usaha menegakkan syariat Islam di Malaysia.

    “Rasulullah SAW sendiri pernah diuji apabila turun ayat bahawa Nabi SAW akan memasuki Makkah. Namun apabila Nabi SAW ingin memasuki Makkah dalam peristiwa Hudaibiyah, disekat jalannya.

    “Selepas beberapa tahun barulah Nabi SAW berjaya memasuki Makkah dan membebaskannya daripada kekuasaan musyrikin Makkah.

    “Marilah kita mengambil contoh daripada perjuangan baginda Nabi SAW ini dalam usaha kita menegakkan syariat Islam di Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PRU-15 perlu diadakan segera, kata Hadi Awang

    PRU-15 perlu diadakan segera, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera jika mahu membina kekuatan kerajaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

    “PRU-15 juga perlu dilakukan apabila semua pihak bersedia dalam apa juga keadaan yang melanda ketika ini.

    “Memang pada dasarnya, kita bersetuju pilihan raya umum diadakan hingga habis penggal tapi kalau dalam keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan perlu disegerakan PRU itu.

    “(Kena) tengok keadaan dan kena ada persediaan, kalau tak ada persediaan tak boleh buat pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di Marang, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ketika ditanya mengenai cadangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas yang mencadangkan parti itu menggunakan logo sendiri pada PRU-15, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas masih menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15.

    “Itu pandangan peribadi (dan) sehingga hari ini, kita masih memakai simbol PN,” katanya.

    Sebelum ini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sebarang keputusan untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat adalah pendekatan yang tidak sesuai.

    Dr. Mahathir dipetik berkata, ini kerana terdapat kebimbangan dalam pelbagai pihak termasuk beliau sendiri sekiranya kes Covid-19 akan berterusan meningkat seandainya PRU-15 diadakan.