Tag: kata Hadi

  • Kapal terbang pergi haji pun ciptaan manusia, kata Hadi

    Kapal terbang pergi haji pun ciptaan manusia, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menggunakan analogi perjalanan ke Makkah menaiki kapal terbang ‘ciptaan manusia’ yang menurutnya mesti digunakan untuk menegakkan agama.

    Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, yang berhujah bahawa konsep parti Islam adalah ciptaan manusia dan oleh itu umat Islam tidak dipaksa untuk memberikan sokongan.

    “Ada ciptaan manusia yang mesti digunakan untuk agama. Macam kapal terbang yang manusia cipta boleh digunakan untuk pergi haji.

    “Nak pergi Makkah pun kena naik kapal terbang itu yang manusia buat bukan jalan kaki. Parti ini ciptaan manusia tapi untuk menegakkan agama dan bangsa,” kata Abdul Hadi ketika sidang media di Pusat Gerakan Pas Pulai di Johor Bahru hari ini, lapor Malaysiakini.

    Minggu lalu, Wan Salim berkata, seorang Muslim tidak akan berdosa jika mereka memilih untuk menyokong mana-mana parti politik selain parti yang disifatkan sebagai ‘parti Islam’.

    Berita Harian memetik Wan Salim sebagai berkata bahawa sikap taksub kerap mendorong seseorang dalam menyamakan antara rekaan manusia dengan ciptaan Allah.

    Pada masa itu, Wan Salim berkata demikian berikutan Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud menyifatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan sebagai orang ‘yang menentang perjuangan Islam’.

    Abdul Hadi membuat analogi itu selepas menghadiri ‘Dialog Rakyat’ bersama pengundi Pulai, yang dianjurkan oleh Pas bahagian tempatan sebagai sebahagian daripada kempen calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

    Turut hadir ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr. Radzi Md Jidin.

  • Islam perlu memimpin jamin kestabilan, keamanan rakyat, kata Hadi

    Islam perlu memimpin jamin kestabilan, keamanan rakyat, kata Hadi

    ORANG Islam perlu menjadi pemimpin dalam usaha menjamin kestabilan serta keamanan kepada rakyat di negara ini, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Ini merupakan perkara yang perlu direalisasikan bermula dengan usaha penyatuan orang Melayu-Islam sebelum melibatkan kaum-kaum lain.

    “Perjuangan Islam tak mati sampai ke hari ini dan ia (perjuangan) terus dihidupkan oleh kumpulan-kumpulan Islam.

    “Di Malaysia, kita nak satukan orang Melayu-Islam ini…mereka kaum yang asal datang ke sini, kaum lain (bukan Islam), kemudian…maksudnya yang bukan ekstrem dan menentang Islam.

    “Kita nak ajak kaum lain bersama dengan kita, kita tak halang mereka…tetapi biarlah Islam yang memimpin,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar malam tadi.

    Hadir sama, Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya; Datuk Dr. Radzi Jidin, Pesuruhjaya Pas Johor; Abdullah Hussin, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar; Misbahul Munir dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

    Untuk rekod, PRK DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 24 Julai 2023 lalu.

    Sementara itu Abdul Hadi berkata, apabila orang Islam memimpin, sudah tentu undang-undang Islam melibatkan hukum hudud dan qisas akan dilaksanakan.

    Bagaimanapun katanya, orang bukan Islam tidak perlu takut dengan pelaksanaan undang-undang Islam ini kerana ia lebih kepada usaha mendidik dan bukannya menyeksa.

    “Ya, undang-undang Islam yang mengandungi hukum hudud, qisas ini keras. Tetapi ia bertujuan untuk mendidik masyarakat dan bukan menyeksa; kena cukup syarat saksi, syarat hakim, syarat keterang..susah; tetapi penjenayah takut sebab ia (udang-undang Islam), didik rakyat.

    “Ini kerana hukuman dalam Islam hukuman yang tidak menyeksa. Hukum gantung, sebat tak sama dengan sivil…tak boleh cederakan, tak boleh pecah kulit, tak boleh angkat tangan tinggi daripada kepala dan sebat dalam undang-udang Islam disaksikan orang ramai untuk memalukan dan bukan menyeksa,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

    PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin 32 bakal calon yang dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos ini akan membawa kemenangan.

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua bakal calon yang diumumkan sudah melalui proses tapisan oleh Majlis Syura Ulama dan pimpinan parti selain perlu melakukan baiah atau ikrar taat setia kepada parti.

    Beliau yang juga Presiden Pas turut meminta semua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan PN seterusnya kekal mentabdir Terengganu.

    “Untuk maklumat, semua calon-calon yang kita pilih ini bagi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada penapisan dia dan ada ikrar dia… Pas ada penapisan Majlis Syura Ulama (untuk) tapis tiap-tiap orang calon.

    “Majlis Syura Ulama tapis pastikan calon ini seorang yang tidak fasik, adil, tidak buat dosa besar, tak buat salah laku (dan) mesti ditapis betul-betul.

    “(Calon yang bertanding perlu) lulus mengikut hukum dan syariat Islam bukan mengikut berita-berita orang cakap kerana hukum Islam ada caranya dan membuat tabayyun (menyemak atau memeriksa) mengikut ajaran Allah SWT,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang malam tadi.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, PRN kali ini PN menampilkan calon-calon yang mempunyai kewibawaan yang luar biasa bagi memastikan kemenangan parti itu.

    “Ini membabitkan 16 calon atau 50 peratus calon ulama atau berkelulusan agama, 13 calon daripada golongan profesional dan usahawan (39.5 peratus) dan tiga lagi calon dengan lain-lain latar belakang.

    “Ia menandakan bahawa satu keadaan dan satu kombinasi yang akan mampu menterjemahkan dasar dan hala tuju Pas untuk memimpin dan mengendalikan kerajaan (Terengganu) bagi penggal lima tahun yang akan datang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada majlis itu, seramai 33 calon termasuk seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diumumkan.

    Daripada 32 DUN di Terengganu, Pas akan bertanding di 27 kerusi DUN manakala kerusi Hulu Besut, Telemung, Permaisuri, Seberang Takir dan Kijal akan ditandingi calon Bersatu.

  • ‘Malaysia Madani’ Anwar jauh daripada ditunjukkan Rasulullah, kata Hadi

    ‘Malaysia Madani’ Anwar jauh daripada ditunjukkan Rasulullah, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah percubaan menipu rakyat dan seluruh dunia.

    Jelas Ahli Parlimen Marang itu, ini kerana pendekatannya terlalu jauh daripada makna sebenar yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

    Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, Hadi berkata, penubuhan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempunyai kelemahan ketara, terutama dalam kalangan pemimpin yang didominasi oleh wakil rakyat bukan Islam.

    “Kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan oportunis.

    “Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.

    “Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Hadi berkata, Anwar hanya melantik kepimpinan negara daripada kalangan mereka yang menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan sokongan bukan Islam dan bukannya masyarakat Islam yang mendominasi penduduk negara.

    Malah, dakwanya, ketirisan dalam kerajaan hari ini semakin ketara susulan pelbagai pendedahan membabitkan salah laku.

    “Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.

    “Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka,” katanya.

    Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Hadi dipercayai merujuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.