Tag: kata Azam Baki

  • Dakwaan rasuah di KLIA: SPRM jumpa Tiong esok, kata Azam Baki

    Dakwaan rasuah di KLIA: SPRM jumpa Tiong esok, kata Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pertemuan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing esok susulan dakwaan rasuah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Beliau berkata, pelancong dari China yang dikatakan menjadi mangsa kepada perlakuan rasuah berkenaan juga akan turut serta dalam pertemuan itu.

    “Sudah pasti maklumat mendakwa terdapat perlakuan rasuah didedahkan menerusi laporan media, jadi SPRM perlu mendapatkan maklumat berkenaan untuk penelitian.

    “Kita akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua individu berkenaan kerana tidak mahu ada individu cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang tegang,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Azam baki menyeru orang ramai bersabar kerana pihaknya akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

    Semalam, Azam berkata, pegawainya akan menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di KLIA dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

    Jumaat lalu, Tiong mengakui beliau adalah menteri dilapor mencetuskan kekecohan di KLIA bagi membantu seorang wanita warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Katanya, wanita itu ada memaklumkan ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” merujuk kepada sogokan.

    Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu, turut mendakwa ada pegawai meminta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan, RM3,000 lagi jika ingin masuk semula, selain RM12,000 bagi kos memproses visa.

  • SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS, kata Azam Baki

    SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS, kata Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam tindakan untuk menyelesaikan siasatan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS), kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

    “Pihak SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan berkenaan kes itu.

    “Siasatan masih dijalankan dan kita ada buka beberapa kertas siasatan di mana salah satu kertas siasatan telah dilengkapkan dan individu berkenaan telah dituduh di mahkamah.

    “Setiap kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan diserahkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk kajian sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azam bagaimanapun tidak mendedahkan siapa individu terlibat sama ada ia mengaitkan orang politik mahupun orang awam.

    Pada Selasa, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

    Pada 11 Ogos lalu, SPRM telah mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

    Sebelum itu, pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

    Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.